Selasa, Disember 21, 2010

Seribu kali fikir belum tentu jawapnya YA.


Bajet kerajaan negeri Terengganu 2011 yang baharu diluluskan adalah RM1.887 bilion. Dan tentulah mengatasi beberapa bajet negeri lain yang dilihat sebagai negeri yang lebih kaya.


Dalam sektor swasta, kadar upah di Terengganu masih jauh di belakang walaupun perangkaan Unit Pembangunan Ekonomi (UPEN) menunjukkan kos sara hidup di Bandar Raya Kuala Terengganu adalah kedua tertinggi di Malaysia. Graduan yang memiliki Ijazah Pertama yang bekerja di sektor swasta paling asas akan dibayar RM1000.00 sebulan. Itu dikira sudah berbaloi dengan alasan lapuk majikan, “Makan minum di KT masih murah.” Soalnya apakah harga petrol di Terengganu lebih rendah berbanding negeri lain? Makan minumnya lebih murah? Mudah atau tidak untuk memiliki sebuah rumah sewa di Kuala Terengganu pada kadar bawah RM200.00 hari ini? Rumah sewa di Bandar Raya Kuala Terengganu paling murah adalah RM150 satu bilik. Itu pun keistimewaan yang diberi kepada pelajar-pelajar kolej swasta di sekitar Kuala Terengganu. Bagi mereka yang bekerja dan berkeluarga, secara puratanya RM350 – 450 sebulan.


Maka apakah yang akan diperoleh oleh golongan buruh terutama yang berada di sektor swasta? Apakah ada satu intensif kepada mana-mana majikan untuk mendapat sedikit dana; agar dengan suntikan dana khas itu dapat pula disalurkan dalam bentuk kenaikan gaji pekerja-pekerja? Adalah malang kalau anda mendengar seorang yang telah mempunyai pengalaman kerja dua tahun di KL, ditawarkan gaji RM1000.00 untuk skop kerja yang sama. Hal ini saya alami. Alasannya, “Kos sara hidup di KT masih rendah.” Walhal dalam kira-kira untung rugi majikan bayaran rendah dikekalkan untuk keuntungan yang tinggi. Jika gaji asas RM1000.00 sudah tentu ramai yang akan terpaksa memilih opsyen tidak menerima potongan caruman KWSP. Apalah yang hendak digagahkan lagi dengan nilai RM920.00 (ditolak caruman KWSP 8 peratus) jika seseorang itu sudah memiliki kereta? Bayaran ansuran kereta sahaja sudah separuh. Belum dicampur dengan ansuran PTPTN, sewa rumah, petrol dan makan minum. Sudah tentu menerima tawaran kembali bekerja di negeri kelahiran sendiri memerlukan renungan yang sedalam-dalamnya. Seribu kali fikir belum tentu dapat diputuskan pilihan YA.

Isnin, Disember 20, 2010

PTPTN 1%




Bilakah PTPTN akan mengeluarkan dokumen tawaran Ujrah?



Jawapan : Dokumen tawaran akan dikeluarkan pada 10hb setiap bulan. Bagi peminjam
yang telah mendaftar dan mengemas kini pada bulan semasa, dokumen tawaran akan
dikeluarkan pada 10hb bulan yang berikutnya.


Apakah asas penawaran Ujrah?


Jawapan : Asas yang digunakan adalah seperti berikut :
i. Jumlah pembiayaan : Berdasarkan jumlah baki hutang pada 1 Jun 2008
ii. Tarikh kuatkuasa : 1 Jun 2008
iii. Tempoh bayaran balik baru : Baki tempoh bayaran balik pada 1 Jun 2008
berdasarkan pinjaman asal


Apakah yang dimaksudkan dengan baki hutang pada 1 Jun 2008?


Jawapan : Baki hutang pada 1 Jun 2008 bermaksud jumlah prinsipal dan juga kos
pentadbiran yang masih belum dijelaskan, mengambil kira semua bayaran balik yang
telah dibuat sebelum 1 Jun 2008.


Bagaimanakah Ujrah dikira?


Jawapan : Jumlah Ujrah = Jumlah Pembiayaan Pokok x Kadar Ujrah (1%) x tempoh
bayaran balik (tahun)


Saya telah cuba mendaftar mengikut jadual yang telah ditetapkan tetapi telah diminta
mengemaskini maklumat selepas 1 Januari 2011.


Jawapan : Semakan terperinci perlu dibuat ke atas akaun pinjaman sedia ada anda bagi
mengelakkan kesilapan tawaran. Walau bagaimanapun tawaran yang akan diberikan
masih berkuatkkuasa pada 1 Jun 2008.

Selasa, Disember 14, 2010

Masih berbaki tujuh hari selepas permohonan ini

Bolehkah diundur melaksana rukun solat jika terlupa

A. Seorang yang terlupa suatu rukun ketika solat.

Ada dua keadaan.


1. Orang bersolat sendirian dan yang menjadi Imam.
Dia boleh mengundur untuk melaksanakan rukun sebelumnya. Sebagai contoh, apabila seseorang Imam atau orang yang solat sendirian teringat bahawa dia belum membaca al-Fatihah ketika rukuk, dia boleh berdiri semula dan membaca surah al-Fatihah. Kemudian dia rukuk semula seperti biasa dan menyempurnakan rakaat solatnya.

2. Menjadi makmum.
Tidak boleh berbuat seperti dalam (1) di atas. Hal ini kerana dia mengikut Imam. Rakaat itu tidak dikira. Dia hendaklah menambah rakaat selepas Imam memberi salam.


B. Apakah keutamaan seseorang makmum apabila Imam memberi salam, sedangkan dia belum selesai membaca doa (doa perkara sunat dalam solat)?


Dalam hal ini, makmum hendaklah memberi salam untuk mendapat fadhilat berjemaah sesuai dengan tuntutan makmum menurut kelakuan Imam. Doa selepas membaca tahiyat akhir adalah sunat. Maka melaksana rukun solat (memberi salam) lebih utama .


C. Seorang makmum memanjangkan sujud kerana berdoa sedangkan Imam sudah duduk membaca tahiyat akhir.


Menurut Imam al-Ghazali, perbuatan makmum ini HARAM. Memanglah ada hadis mengatakan sehampir-hampir dengan Tuhan ialah sewaktu sujud. Pun begitu, melewatkan bangkit dari sujud kerana berdoa menyalahi adab berjemaah. Hal ini kerana makmum memberatkan perkara sunat melebihi perkara wajib dalam solat. Jika seseorang hendak memanjangkan sujud untuk berdoa, bolehlah dilakukan ketika bersolat sendirian.


----Nota kuliah Maghrib, 12 Disember 2010. Kitab Muniatul Musholli, Ust. Abd. Aziz Arof. Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.


Sabtu, Disember 11, 2010

Doa nabi untuk kematian

Apabila Allah menceritakan kisah nabi terdahulu di dalam al-Quran, ada suatu bahagian kehidupan yang disebut. Allah menceritakan saat-saat akhir kehidupan Nabi Yaakub dan Nabi Ibrahim iaitu mereka berwasiat kepada anak-anak mereka, “…maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.” (Al-Baqarah: 132)


Manakala dalam kisah nabi Yusuf alaihissalam, Allah mengkhabarkan doa nabi Yusuf sebagai persedian menghadapi kematian. Firman Allah, (Nabi Yusuf berdoa),

“…sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.” (Yusuf: 101)


Bagaimana Rasulullah menghadapi kematian? Ilmu-ilmu berkaitan kehidupan nabi di dalam rumah diketahui melalui Ummu al-Mukminin Aisyah radhiallahu ‘anha. Aisyah mengajarkan kepada sahabat-sahabat termasuklah yang paling rapat dengannya Urwah Bin Zubair al-Awwam. Aisyah hidup lama setelah kewafatan nabi dan jenazahnya disemadikan di perkuburan Baqi’, Madinah.


Aisyah meriwayatkan nabi ketika hampir wafatnya pernah membasuh muka dari satu bekas kemudian berpaling ke arahnya sambil berdoa, “Allahumma a-‘inni ‘alaa ghamaraati al-gharqi wa sakaratil mauti.” [Ya Allah bantulah aku menghadapi ombak kematian dan mabuk mati.] Dalam riwayat lain Aisyah menyebut nabi berdoa, “Allahumma igh-firli wa ir-hamni wa-alhiqni bi ar-rahiiqi al-A’laa.”


Mabuk mati merupakan hal yang pasti dilalui oleh setiap manusia. Ketika ini syaitan akan menjelma dalam pelbagai rupa termasuklah wajah ibu, bapa, nenek dan orang-orang yang dikenali. Tujuannya ialah untuk menggoda manusia agar mengikutnya. Hanya amalan yang dapat menyelamatkan seseorang daripada tipu daya syaitan ini. Ketika nazak, manusia seperti berjuang dalam lautan maut, timbul tenggelam. Dia sama sekali tidak mendengar perbualan orang-orang di sekelilingnya. Disunatkan orang-orang yang sihat mentalqinkan Yasin kepada orang yang hampir mati agar dia menjadi tenang untuk menghadapi saat genting nyawa berpisah dari jasad.

Nota kuliah Maghrib, 10 Dis 2010, Ust. Hanafi Bin Abd. Rahman, Masjid al-Hidayah, Sentul.

Jumaat, Disember 10, 2010

Nasib kampung warisan KL

Pada 2 Muharram, aku berkunjung ke Madrasah Tarbiyah, Kg. Bandar Dalam, Gombak. Kuliah Maghrib disampaikan Ustaz Azhar Yahya. Selepas Isyak, majlis Budayawan Bertindak dan PAKSI bermula. Majlis dihadiri SN Dato’ A Samad Said, Prof. Dr. Zainon Ismail, Presiden TERAS, Presiden MTUC, wakil PERKASA, wakil Gabungan Anak Melayu Gombak, penulis/penyair, beberapa kumpulan band dan orang kampung Bandar Dalam. Majlis ini diadakan untuk menyatakan bantahan terhadap pembangunan yang akhirnya akan melenyapkan kampung warisan dari peta Bandaraya Kuala Lumpur. Menurut Pengerusi MUAFAKAT juga Penghulu Kg. Bandar Dalam, cikgu Hj. Ishak Surin, “Kampung Bandar Dalam diwartakan Kampung Warisan berusia 150 tahun bermula tahun 1860.”

Menurut beliau lagi satu pertemuan dengan pentadbir nombor satu DBKL pada 10 Ogos 2008. Dalam pertemuan itu sudah dimaklum bahawa dalam Draf KL 2020, pembinaan rel keretapi akan menyebabkan tanah sekolah tahfiz (tanah wakaf) diambil pihak pemaju. Hal ini amat menyedihkan. Perkara itu tidak mendapat respon melainkan baru-baru ini (29 – 31 Oktober 2010), pihak MUAFAKAT menerima kunjungan perunding projek. Nyata sekali bantahan mereka sekali-kali tidak dipandang berat oleh pihak DBKL. Dalam kes ini, pihak terbabit seharusnya meneliti kepentingan penduduk apalagi melibatkan tanah wakaf. Isu yang sedang hangat dalam Draf KL 2020 ialah kepupusan tujuh buah kampung warisan di KL merangkumi Kg. Bandar Dalam, Kg. Sungai Mulia, Kg. Sungai Merali, Kg. Chubadak, Kg. Puah, Kg. Puah Seberang dan Kg. Padang Balang.

Dalam majlis tersebut, Antologi Puisi 56 Penyair turut dilancarkan.

Rabu, Disember 08, 2010

Telah KAU renggut damai kami


Foto dirakam dari tingkap bilikku, Aras 10. Di salah satu blok Flat Perumahan Awam, Jalan Sentul Pasar. Ribut melanda petang 08 Disember 2010.


Tuhan
ENGKAU Maha Mengetahui
di bawahan teduhan itu
saban malam kami mengalas perut

Tuhan
kami masih mengurut dada
merafakkan syukur kami
tiada nyawa dipagut
tentera langit-MU itu

Tuhan
kerananya kami terpaksa
menunggu mentari esok
mencari sesuap nasi

Tuhan
kami gentar lagi bimbang
andai pembaringan kami
akan ranap lemas dalam sungai alpa

Tuhan
terima kasih
ENGKAU masih menyanyangi kami

Sabtu, Disember 04, 2010

Eufemisme baharu abad baharu

Yang menyedihkan media perdana menggambarkan euforia dengan membandingkan harga negara jiran. Kononnya kita harus bersyukur kerana harga itu tetap jauh lebih rendah daripada harga-harga di Thailand, Singapura dan Brunei. Dan kita pun memahami satu eufemisme baharu abad ini iaitu selaras/seragamkan harga sama dengan naik harga.
Untuk rekod; RON 95 naik harga 5 sen (RM1.90/liter). LPG naik harga 5 sen (RM1.90/kg). Gula naik harga 20 sen (RM2.10/kg).Diesel naik harga 5 sen (RM1.80)

Kiblat pertama Masjid al-Haram

Pengarang kitab ini mengambil hadis susunan Imam Tirmizi yang diriwayatkan oleh Barraa Bin Azib. Hadis ini menceritakan bahawa kiblat pertama ialah Baitullah al-Haram (Kaabah). Kemudian apabila hijrah ke Madinah baginda menjadikan Masjid al-Aqsha sebagai kiblat. Hari ini dalam sukatan pendidikan agama anak-anak kita dinyatakan masjid Al-Aqsha sebagai kiblat pertama. Dejaay radio ketika menyentuh isu umat Islam Palestin juga menyebut perkara yang sama.

Hal ini bermakna pendapat yang mengatakan Masjid al-Aqsha sebagai kiblat pertama tidak tepat. Ibadah solat disyariatkan tiga tahun sebelum hijrah. Ketika di Makkah, Kaabah dijadikan kiblat. Tetapi apabila tiba di Madinah, baginda berijtihad kiblat yang perlu diguna ialah Masjid al-Aqsha. Tujuan nabi menjadikan Masjid al-Aqsha sebagai kiblat ialah untuk menjinakkan hati orang Yahudi supaya mereka tertarik dengan Islam. Pun begitu Yahudi sangat degil dan angkuh kerana nabi berbangsa Arab Quraisy, bukan dari kalangan mereka. Orang-orang Yahudi sebenarnya mengenali nabi seperti mereka kenal anak mereka. Firman Allah, “Orang-orang yang dikurniakan al-Kitab, mereka mengenalinya (Rasulullah) seperti mereka kenal anak-anak mereka.”[1] Apabila mendengar ayat ini Umar al-Khattab bertanya kepada Abdullah bin Salam, pendita Nasrani yang warak ketika belum Islam; “Apakah benar ayat ini?”. Sahabat Abdullah bin Salam menjawab, “Bahkan. Mereka kenal nabi lebih daripada mereka kenal anak mereka. Mereka yang membaca al-Kitab (Taurat dan Injil) mengetahui tanda kenabian. Mereka tahu bintang pada malam kelahiran nabi. Mereka tahu tanda besar bagi penganut Majusi.” Dalam sirah nabi, Abdullah bin Salam sendiri menguji nabi untuk mengesahkan baginda sebagai nabi terakhir dengan bertanya dua soalan. Pertama ditanya apakah makanan pertama ahli syurga. Kedua, bagaimana wajah seorang anak mengikut (menurun) wajah ayah atau ibunya? Nabi dapat menjawab dengan betul kedua-dua soalan ini.

Apabila sampai 16 hingga 17 bulan, nabi dapati Yahudi di Madinah tidak lembut hati. Malah mereka dengan angkuh melanggar perjanjian dengan nabi. Nabi mendongak ke langit menunggu wahyu Allah. Suatu ketika nabi berkata kepada Jibrail, “Aku suka akan Tuhanku mengarahkan Ka’abah sebagai kiblat kami.” Jibrail menjawab, “Aku sebagai hamba seperti kamu juga. Tiada daya upayaku mengubah hal itu.” Ketika nabi melawat Bani Sulaim, dan menunaikan solat Asar turunlah arahan mengubah kiblat ketika mereka sedang solat. Firman Allah yang bermaksud, “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”[2] Dua rakaat pertama nabi menghadap ke jihat Masjid al-Aqsha. Dan dua rakaat terakhir nabi mengubah kiblat ke jihat Masjid al-Haram.

Perbahasan

Sesetengah ashab AS-Syafi’ie berpendapat bahawa menghadap ke jihat al-Aqsha adalah ijtihad nabi. Manakala sebahagian mengatakan bahawa hal itu merupakan perintah Allah. Mereka yang berpendapat menghadap Masjid al-Aqsha merupakan arahan Allah kerana apabila nabi mengharapkan kiblat ditukar ke arah Kaabah, baginda menunggu-nunggu arahan dari Allah.

Kedua, bolehkah al-Quran memansuhkan sunnah? Dan sebaliknya. Ketiga, apakah kita hari ini apabila berkunjung ke Masjid Dua Kiblat (Masjid Qiblatain) di perkampungan Bani Sulaim boleh bersolat menggunakan dua jihat kiblat? Dalam hadis ini, ayat 144 surah al-Baqarah memansuhkan sunnah nabi (ijtihad) menghadap ke jihat Masjid al-Aqsha dan sunnah itu dinamakan Sunnah Haram. Maka orang yang berkunjung ke Masjid Qiblatain selepas turun ayat ini haram menggunakan jihat Masjid al-Aqsha sebagai kiblat. Dalam perbahasan ayat al-Quran memansuhkan hadis dan sebaliknya amat sukar untuk difahami. Sebagai contoh, ada ayat al-Quran mengarahkan kita diam apabila dibacakan ayat al-Quran[3]. Tetapi dalam satu hadis nabi bersabda, “Tiada solat bagi siapa yang tidak membaca Ummul Kitab – al-Fatihah.” Imam Abu Hanifah (Mazhab Hanafi) berpegang kepada ayat ini. Maka dalam solat yang imamnya membaca secara jahar (Subuh, Maghrib dan Isyak), makmum tidak perlu membaca al-Fatihah dan mendengar bacaan al-Quran imam. Manakala Imam Syafi’ie berpendapat, makmum tetap perlu membaca al-Fatihah kerana hadis nabi bersifat khusus manakala ayat al-Quran bersifat umum. Maka hadis yang mempunya arahan khusus lebih utama daripada dasar al-Quran yang umum. As-Syafi’ie berpendapat ayat 204 surah al-A’raaf tidak mengkhususkan bacaan al-Quran itu dalam solat atau di luar solat.



Nota
[1] Ayat 146, surah al-Baqarah.

[2] Ayat 144, surah al-Baqarah.

[3] Ayat 204, surah al-A’raaf.


Nota Kuliah Maghrib, 03 Dis 2010, Masjid al-Hidayah, Jln Sentul Pasar, Sentul, KL. Ust. Raihan Abdul Aziz, kitab Bahrul Mazi karangan Idris Bin Abdul Rauf al-Marbawi.

Rabu, Disember 01, 2010

Selasa, November 30, 2010

Kan sudah kena. Padan muka aku.




RM600.00, harap-harap dapat diskaun. Insya-Allah.


50% discount for traffic summons on again


By SARBAN SINGH and CHITRA S NATHAN

newsdesk@thestar.com.my


SEREMBAN: The on-off discount for traffic offenders is on again, with those who settle their traffic tickets within two weeks from today getting a 50% discount.


Those who settle their dues after the two-week period but by the end of the month will be entitled to a 30% discount.After that, offenders will be required to pay the full amount of the summonses issued to them.


The move is to get offenders to pay their summonses and reduce the backlog before the government starts blacklisting offenders from Feb 28.


Kemas kini pada 01 Dis 2010; jam 0915.

Isnin, November 29, 2010

Cerita-cerita: Nostalgia dan lain-lainnya


Cerita 1


Ibu bapa orang yang paling memahami diri kita. Tetapi kadang-kadang selaku anak, kita jarang-jarang cakna kesulitan ibu bapa. Sehingga kini banyak perkara yang cuba saya lakukan demi ‘membalas’ pengorbanan mereka. Saya sentiasa sedar, pengorbanan itu tidak dapat dibalas sampai bila-bila. Ketika saya terlantar di wad ketika berusia 9 tahun, ayah dengan susah payahnya berulang-alik sejauh 60 kilometer dari kampung ke Hospital Besar Kuala Terengganu. Ketika saya mengalami sendiri lelah berteksi dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang, kemudian bervan dari Kuala Berang ke kampung dengan masa menunggu sahaja tidak pernah kurang dari satu jam, baharulah saya mengerti getirnya. Getir berulang alik setiap dua hari sehingga terpaksa melupakan kerja pada hari-hari menjenguk saya di hospital. Belum lagi dikira kos perjalanan dan makan minum sepanjang tempoh lawatan itu. Belum lagi dicampur kegundahan hati meninggalkan anak kepada kakitangan hospital. Tika itu bulan puasa, dan saya ditahan di wad selama tiga minggu.


Waktu itu saya disyaki mengalami masalah buah pinggang kerana gemar memakan makanan ringan. Setiap hari saya dibekalkan 30 sen. Dua puluh sen saya guna untuk membeli makanan ringan dan bakinya saya simpan. Sehinggalah suatu hari ayah perasan mata saya sembab seperti orang tidur bertiarap. Pembantu perubatan di Klinik Desa Tengkawang mengesyorkan kes saya dirujuk ke Hospital Besar Kuala Terengganu. Di wad, saya diberi minum air kosong pada kadar yang banyak melebihi kadar biasa dua gelas sehari yang saya minum sebelum itu. Bermakna saya tidak berpuasa seperti orang lain. Seminggu sebelum raya, saya keluar dari wad. Pesan doktor, “Kurangkan makan makanan ringan. Kurangkan minuman bergas.” Sehingga kini, saya hanya kuat pantang minuman bergas, tetapi kadang-kadang gatal tangan juga memakan makanan ringan. Gatal itu kerana menumpang orang lain makan, bukan disebabkan saya membeli makanan ringan itu sendiri. Ada kemungkinan sekali atau dua kali dalam sebulan saya memakan makanan ringan.


Cerita 2


Jam 2.30 pagi, 27 November 2010. Saya terima panggilan Ust. Hj. Shukri Osman, kakitangan di Pusat Islam USM Kejuruteraan. Beliau memaklumkan saya dua hal. Pertama bosnya akan datang. Kedua rasa belah bahaginya untuk hadir ke majlis kenduri saya. Jam 1.00 petang lebih dia menelefon lagi mengkhabarkan kedudukannya di Jerteh. Dan akhirnya dia sampai ke teratak (berusia 30 tahun) ayah jam 1.45 petang. Begitulah sungguh-sungguh dia bersama isteri dan anak lelakinya Abrar (dua tahun dua bulan) berkereta dari Bandar Baharu, Kedah. Ustaz Shukri menunjukkan contoh yang baik kepada saya kerana dia masih berkereta lama seperti dia masih bujang dahulu walaupun pada kedudukannya kini sudah mampu memiliki kereta yang lebih baik. Saya tabik pada sifat qana’ah yang beliau amalkan itu.


Kami bersembang seketika kerana beliau mahu beredar untuk bermalam di Pasir Mas, Kelantan. Menyampaikan hadiahnya dan tanda ingatan seorang lagi rakan sejawatnya Ust. Shahroni Ibrahim. Ketika itu juga Ust. Hj. Shukri menghubungi bosnya. Ketika itu Ust. Yusof berada di Chalok, Setiu. Beliau bertolak dari Alor Setar selepas Subuh. Ustaz Yusof tiba bersama semua ahli keluarga beliau kecuali anak sulungnya pada jam 3.30 petang. Banyak perkembangan terbaharu yang dikongsi. Pertambahan kakitangan Pusat Islam, projek sukarelawan membantu mangsa banjir di Kedah, perkembangan staf-staf Pusat Islam ketika saya berkhidmat di sana (khidmat biasa bukan staf), perihal anak beliau yang sudah menjadi usahawan ternak dan tentu sekali beberapa orang rakan saya yang terus berada di kampus kejuruteraan.


Betapa orang yang hebat melakukan perkara yang hebat juga. Berada jauh di Kedah untuk meraikan bekas seorang anak buah dan sahabat adalah perkara hebat. Meski setelah meninggalkan alma mater, saya belum meluangkan masa menjenguknya semula, masih ada ikatan hati yang belum berpisah. Betapa ketika saya menyatakan rasa terharu, lalu dijawab oleh Ust. Yusof, “Khidmat enta lebih besar daripada apa yang saya lakukan hari ini (memenuhi jemputan walimah).” Saya sentiasa doakan semoga kehidupan mereka dirahmati-NYA. “Allaahumma ahsin li-man ahsana ilayya – Ya Allah, berbuat baiklah kepada sesiapa yang berbuat baik kepadaku.”


Cerita 3


Apabila ibu mendapat tahu saya gulana memikirkan soal wang kenduri, dia mengamankan saya, “Emak tidak kisah pasal wang. Biarlah apa kata adik beradik yang lain.” Ya. Kalau diikutkan ‘skema’ sampai umur saya empat puluh tahun pun, belum tentu wang untuk sebuah majlis jamuan perkahwinan saya cukup. Dengan kadar waktu menyimpan wang yang terbatas (36 bulan), syukurlah saya hanya mampu kumpulkan wang untuk membeli barang hantaran dan maskahwin. Kenapa? Tentulah disebabkan saya tega tidak mahu meminjam wang dari bank untuk kahwin. Saya betul-betul tidak meminjam wang dari bank. Pun begitu, sebagai anak hal ini tidak harus dibiarkan begitu saja. Ada rasa serba salah sehinggalah saya kira dapat mengembalikan semula kos perbelanjaan kenduri kahwin itu. Dan saya memantapkan azam mencabar diri sendiri melunaskan cita-cita dan harapan saya itu dengan menulis. “Ya Rabbi yassir wa laa tu’assir.


Cerita 4


Dan sehingga kini, saya sedar betapa dalam setiap detik Allah sentiasa menjaga diri saya walaupun sesekali saya lalai menjaga hak saya terhadap-NYA. Sungguh zalim hamba-MU ini Ya Tuhan.


Isnin, November 22, 2010

Buku inspirasi haji yang menarik


Penerbit: Rijal Media.
Pengulas: Naimisa Yusof.


“Tulislah apa yang terbit dari hati.”


Demikian kata-kata inspirasi yang membuatkan sesebuah penulisan mempunyai ‘magnet’. Menulis dari hati melahirkan ekspresi yang luhur, jujur dan tidak terselindung dengan suatu hal yang tidak baik seperti mahu menunjuk-nunjuk kepandaian.

Mungkin kita tercari-cari bahan bacaan yang mampu memberi motivasi langsung untuk melakukan seuatu hal. Misalnya haji. Buku Kusaksikan keajaiban Tanah Suci tulisan wartawan Roslan Hamid adalah antara pilihan yang tepat. Lihat sahaja gaya penulisan saudara Roslan Hamid dalam koleksi Dilema Seorang Wartawan Muslim atau siri-siri penulisan dalam kolum akhbar tempat dia sedang bertugas.

Buku kecil ini adalah catatan pengalaman peribadi beliau menunaikan haji bermula dari persiapan haji - mengumpul wang, berkursus sehinggalah bergelar haji. Penulis juga melontarkan idea dan persoalan berkaitan falsafah haji yang perlu dihayati. Menunaikan Rukun Islam kelima ini bukan sekadar mengorbankan wang ringgit, masa dan tenaga bahkan perlu diinsafi natijah kepada diri. Orang-orang kaya memang diberi kelebihan wang untuk menunaikan haji berulang kali. Tetapi haruskah begitu? Dan apakah dengan itu orang miskin menjadi kurang bernasib baik tidak berkesempatan menjadi tetamu Allah di Makkah?

Penulis berkongsi pengalaman peribadi secara bersahaja dan mungkin akan dialami oleh bakal haji. Selaku pembaca, olahan dalam buku ini sangat memberansangkan. Ada nilai inspirasi tersendiri. Misalnya sesetengah orang berpendapat haji perlu ditunaikan apabila urusan anak-anak beres. Atau setelah semua anak dewasa. Penulis memberi contoh benar pengalaman beliau menunaikan haji bersama isteri ketika anak bongsu mereka berusia tiga tahun. Yang pasti buku ini tidak menyajikan panduan haji kerana sifatnya (motif penulisan) sebagai stimulus bagi menggerakkan minda dan tindakan pembaca untuk sama-sama menanam niat menyahut seruan Allah.

Setelah membaca buku ini, saya dapati stigma baru dalam minda untuk mengubah persepsi terhadap pelaksanaan haji. Terima kasih dan syabas kepada penulisnya. Semoga Allah memberi kekuatan kepadanya untuk menghasilkan buku-buku inspirasi dalam aspek yang lain pula. Insya-Allah.

Sabtu, November 20, 2010

Syukur: Acara bedah karya RSM lancar



Bedah karya Rahsia Sebuah Manuskrip oleh Naimisa Yusof
MPH Midvalley, KL.

Pengenalan


“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”
(surah al-Qamar: 17)


Hands Andersen (1805-1875) dari Odense Denmark, penulis cerita klasik kanak-kanak yang terkenal dengan cerita Ugly Duckling menukilkan, "Most of what I have written is a reflection of myself. Every character is from myself."

(Oxford Children's Encyclopedia 8 - Biography, Oxford University Press, edisi kemas kini 2004, halaman 10)


Rahsia Sebuah Manuskrip: Sebuah karya eksperimen


Manuskrip novel ini mengambil masa yang panjang (dan hal ini tidak harus berlaku pada mana-mana penulis sebetulnya), kira-kira tiga tahun.


Penulisan novel berasaskan imaginasi, sejarah benar dan fakta-fakta yang dicedok daripada jurnal-jurnal sains. Bagi melancarkan penulisan, idea digarap menggunakan teknik andalan peristiwa. Seperti sesetengah orang berpendapat bahawa Salina adalah peristiwa yang dekat dengan penulisnya SN Dato’ A Samad Said (SN DASS).

Jika kita membaca Salina oleh SN DASS, Ranjau Sepanjang Jalan (SN Shahnon Ahmad), Daerah Beta (Azizi Abdullah), Laskar Pelangi (Andrea Hirata) atau Matahari di Atas Gili (Lintang Sugianto) [sekadar menyebut beberapa karya] – ada milieu yang diolah penulis-penulisnya. Sebab itu sepanjang jalur cerita Rahsia Sebuah Manuskrip diselitkan kisah-kisah masyarakatnya. Sebahagiannya berkembang seiring dengan suasana sosial di tempat itu sendiri.


Sudut pandang orang ketiga digunakan dan dilontar sama ada oleh Munir, ahli keluarga atau temannya. Kritikan terhadap sosial diwakilkan melalui pandangan watak-watak utama dan sampingan.


Sebagai satu usaha menempatkan bahasa Melayu di tempat yang selayaknya, dialog yang ditulis sepenuhnya baku. Tiada dialek kenegerian malahan boleh dianggap luar biasa (surreal) kerana perbualan kanak-kanak juga ditulis menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.


Watak dan perwatakan


Watak utama Munir, Hannan. Sepanjang-panjang cerita diselitkan watak tambahan yang kadang-kadang tidak perlu.


“Tetapi mungkin ada eksperimen tersendiri yang cuba dijalankan pengarang, sehingga sekecil-kecil watak yang tidak begitu perlu dalam membantu jalan cerita (tidak diperdalam dan dikembangkan sewajarnya kerana memang tidak diperlukan), turut disebut nama mereka satu-persatu dalam novel ini.”

(Pn. Najibah Abu Bakar, Goodreads Malaysia)


Pembaca yang mencari kepuasan membaca dengan cara menghayati perwatakan watak utama mungkin kecewa. Hal ini kerana aspek perwatakan tidak ditekankan. Malahan konflik utama watak utama sengaja dikaburkan sehingga akhirnya dikejutkan dengan kesudahan yang tidak dijangka.


Sinopsis


Di sebalik deretan kertas kuning dan berhabuk. Tidak ada siapa peduli. Sebuah manuskrip yang sukar ditafsirkan, kompleks dan penuh dengan nada-nada cinta. Setiap helaian padat dengan catatan cerita suka dan duka.


Setelah sekian lama manuskrip itu dipandang sepi, baru detik ini ada yang menyedari hadiran manuskrip tersebut. Sebuah manuskip yang bakal mengungkai rahsia sekian lama terpendam. Mungkinkah hajat Munisa Kamil terlaksana? Adakah cinta berputik di hati Munir dan Hannan mekar atau gugur sebelum berkembang? Bersama-sama kta menyelami kemelut cinta yang melanda dalam RAHSIA SEBUAH MANUSKRIP.


"Dibeleknya beberapa halaman. Sekeping poskad lama jatuh. Imej Jabal Nur tersergam indah melatari sisi bergambar. Tulisan jawinya cantik.

“Selamat maju jaya. Aku akan terus di sini. Impianku menjadi pensyarah Bahasa Arab semakin pasti. Doakan keamananku."


Penutup


Semoga karya kecil ini menjadi catatan sejarah zaman ‘kegemilangan’ dasar penswastaan. Juga sejarah sekumpulan kecil manusia pedalaman yang lingkaran hidupnya penuh dengan rasa rendah diri. Nantikan sequel Rahsia Sebuah Manuskrip ini, insya-Allah.


Sisipan sequel Rahsia Sebuah Manuskrip.

ENTAH. Amat seni perasaan itu. Bertembung mata dengan pensyarah baharu itu menimbulkan tanda tanya. Dia sendiri sukar menghurai rasa hati itu setepatnya. Sekembali dari kuliah terakhir hari itu, dia bersantai dengan sahabat baiknya.

Dia menyampaikan kegusarannya, “Zu, aku perasan pensyarah baharu itu memandang aku semacam sahaja.”

“Perasaan engkau sahaja. Dia tenung bukan mengambal. Dia tidak telan orang!” Zuhaida menggayakan tangan kanannya seolah-olah ular menelan mangsa.

Dia cuba membetulkan persepsi Zuhaida. “Bukan begitu. Aku tidak rasa apa-apa. Jauh hendak rasa bersalah. Cuma pelik.”

Zauhaida maju beberapa langkah. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi kayu di hadapan mereka. Zuhaida mengetatkan tali kasut kanan. Angin tasik bertiup tenang. Beberapa ekor bangau melayah singgah di atas tanah berbentuk pulau di tengah-tengah tasik. Air tasik memancut dari kincir pam pengudaraan. Sungguh mengasyikkan pemandangan itu. Pulau buatan ini tidak terlalu kotor airnya. Jika airnya statik, pastilah akan berlaku pencemaran. Dan akhirnya mengalami proses eutrofikasi.

Papan tanda kayu jati berukir kelarai bunga berembang di sebelah kiri mereka. Dia berlama-lama menghadap ke arah papan tanda itu.
“Agaknya begitulah Dr. Hannan memandang kamu.” Zuhaida membenam keasyikannya tatkala melihat dia asyik memerhati ukiran papan tanda tersebut.
Dia menyanggah, “Sama tetapi tidak serupa. Kayu jamadat. Orang bernyawa, punya hati dan perasaan.”


[Petikan dari Bab 7]


Naimisa Yusof, 20112010, Sentul, KL.

Isnin, November 15, 2010

Sama-sama kita renung.


Bahagian 3




Bahagian 5




Bahagian 6



Masa depan negara terletak pada kesediaan dan kesedaran kita untuk berubah. Tidak perlu bimbang pada apa jua ketakutan terancang yang ditimbul oleh mereka yang mahu mengekalkan kuasa.

Ahad, November 14, 2010

Mutiara kitab Fiqh al-Manhaji Imam Asy-Syafi'e

Had pandangan seorang lelaki terhadap bakal tunang/isteri.

Seorang lelaki diharuskan melihat muka dan tapak tangan wanita yang ingin dinikahinya. Melihat rupa adalah sebagai memandang keelokan rupanya. Hikmah melihat tapak tangan depan dan belakang supaya diketahui kelembutan dan kesuburan wanita itu.

Dalam hal ini, jika si lelaki tidak berpuas hati dengan sekadar melihat muka dan tapak tangan; bolehlah dia menghantar seorang wakil perempuan untuk melihat betis wanita itu. Hal ini kerana Rasulullah pernah menghantar Ummu Sulaim untuk melihat seorang perempuan yang ingin dikahwini baginda dengan sabdanya, “Lihatlah kedua-dua betingnya (betis).”

Adat meminang

Setelah berpuas hati, bolehlah lelaki menyatakan hasrat untuk meminang wanita tersebut. Meminang seorang yang bukan mahram (wanita ajnabi) bolehlah dinyatakan secara terus terang jika wanita itu mempunyai keadaan berikut.
• Wanita anak dara.
• Belum menjadi tunang orang lain.
• Bukan isteri orang.

Pernyataan terus terang misalnya, “Saya mahu kahwin dengan kamu.” Atau, “Saya mahu menyunting kamu sebagai suri hati saya.”
• Meminang wanita-wanita selain itu hendaklah dibuat secara kiasan jika melibatkan;
• Wanita dalam iddah baain iaitu iddah disebabkan cerai dengan talak tiga.
• Wanita dalam iddah yang kematian suami.
Lafaz ta’yir (kias) dinyatakan seperti, “Awak sudah lama menyendiri, tidak sunyi?”

Haram meminang wanita berikut:

• Wanita yang telah menjadi tunang orang lain atau telah memberi komitmen (persetujuan) kepada seorang lelaki lain untuk bertunang ketika si lelaki tersebut merisiknya.
• Wanita dalam iddah raj’ie iaitu wanita yang dicerai dengan talak satu atau dua.

Jika berlaku kes lelaki kedua meminang seorang perempuan dan dia (perempuan) menerima, kemudian mereka berkahwin. Ulama As-Syafi’iyyah berpendapat akad nikah tersebut sah, tetapi si lelaki menanggung dosa kerana perbuatannya.

Bahana Hikmat Pelalau

Ada satu kes seorang lelaki was-was dalam memilih wanita yang akan menjadi isterinya. Pertama kali setelah melihat wanita tersebut dia bersetuju. Tetapi akhirnya timbul perasaan syak sehingga dia membatalkan hasrat menyunting wanita tersebut. Ada kes seorang lelaki menolak lebih sepuluh orang wanita yang pada awalnya dia rasa tertarik. Kes ini dipanggil pelalau. Istilah sastera lama ada menyebut hikmat pelalau iaitu jampi serapah untuk menyekat perkahwinan atau untuk memenangi hati gadis kepunyaan orang lain[1]. Sihir ini menyebabkan si lelaki yang dijampi menjadi tidak mantap hatinya untuk menerima seseorang wanita meski wanita itu sudah cukup syarat.

Bagi kes pelalau ini, mengikut perubatan Islam mangsa hendaklah banyak mengamalkan zikir ayat 115 surah al-Mukminuun.

Seseorang wanita yang dirisik boleh diketahui kebaikan dan keaibannya melalui orang-orang yang rapat dengannya. Menyatakan keaiban seorang wanita (jika ditanya) oleh lelaki bakal tunangnya tidak termasuk dalam dosa mengumpat yang diharamkan.

Nota kuliah Maghrib, Ust. Abdul Manaf, Kitab Fiqh al-Manhaji, tulisan Imam Syafi’e. 13 Nov 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.

Nota kaki
[1]Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 873.

Sabtu, November 13, 2010

Menerima nasihat itu susah

“Wahai anakku yang disayangi, memberi nasihat itu mudah. Tetapi menerima nasihat itu susah kerana kebanyakan orang suka mengikut nafsu.” (Imam al-Ghazali[1])

Dalam tasawwuf, nasihat diertikan sebagai iraadatu al-khair li ghairi iaitu ‘berkehendak akan kebaikan kepada yang lain’. Jaafar Bin Maghram pernah diminta nasihat oleh Maimun, “Berilah kepadaku nasihat apa yang aku tidak suka.” Hal ini bermakna nasihat yang baik berbentuk teguran yang akan menyebabkan penambahbaikan (islah) kepada sesuatu perkara yang dilihat pincang. Tentu sahaja nasihat seperti ini amat berat untuk diterima oleh orang yang mendewakan nafsu dalam dirinya.

Diri manusia ada seketul daging dipanggil al-qalb (hati). Tasawwuf mengatakan hati sebagai shoohib al-qaraar. Apa itu shoohib al-qaraar? Setiap diri memiliki sisi baik dan buruk. Yang baik adalah akal. Akal dibantu ilmu syariat. Yang buruk adalah nafsu. Nafsu disokong iblis dan syaitan. Hatilah yang mengendali sesuatu tindakan manusia setelah menilai kehendak akal dan nafsu. Apabila akal tidak dikalahkan nafsu, maka perkara baik akan diputuskan oleh hati. Baiklah natijah tindakan seseorang. Tetapi sebaliknya jika kem nafsu dan syaitan beraja, natijahnya jahatlah tindakan seseorang.

Justeru disebabkan manusia lebih cenderung mengikut nafsu, hendaklah dia mendidik nafsu. Bagimana hendak didik nafsu? Mendidik nafsu bermula dengan maqam taubat, sebelum berpindah kepada maqam khauf dan rajaa, seterusnya maqam qana’ah dan maqam yang lebih tinggi. Maqam taubat ini ialah kembali kepada Allah dengan bertadzallul di hadapan Allah. Tadzallul ertinya menghina diri dalam munajat kita kepada Allah dengan menyatakan semua dosa yang pernah dilakukan. Ada kisah ulama silam duduk dalam maqam taubat ini bertahun-tahun lamanya.

Apakah kesan maqam taubat? Bagaimana kita hendak tahu maqam taubat telah dicapai? Jawabnya apabila kita merasa benci jika melihat maksiat. Jika kita masih suka melihat maksiat, maknanya maqam taubat belum kita lulus.


Nota.

[1]Kitab Ayyuha al-Walad, Imam al-Ghazali.

Kuliah Maghrib Uts. Noor Hafizi, 9 November 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.

Khamis, November 11, 2010

Acara buku saya.

Insyaallah, novel “RAHSIA SEBUAH MANUSKRIP” juga turut akan dibedah oleh penulisnya, Naimisa Yusof.


Anda dijemput bertemu penulis secara LIVE!

Bertempat di MPH Mid Valley, KL, pada 20 November 2010 (Sabtu), jam 2:00 hingga 4:00 petang.


Saya dengan rendah hati menjemput rakan-rakan yang berkelapangan mengikuti Acara Bedah Buku ini.


Laporan acara di sini

Peluh sudah menjadi salju

UPSR 2010.


Hampir 50 ribu calon UPSR 2010 mendapat 5A. Tahniah diucapkan kepada mereka. Salah seorangnya adik saya, Nur Hafizah. Saya menduduki peperiksaan ini pada tahun 1993 1994, dan menjadi orang pertama mendapat keputusan penuh, 4A ketika itu. Tahun ini, sekolah di pedalaman tempat kami belajar berjaya menonjolkan dua orang mendapat 5A dan dua orang mendapat 4A 1B. Hal ini dikira pencapaian yang memuaskan dengan status sekolah sebagai sekolah pedalaman. Terubat juga lelah cikgu-cikgu menyapu tar terlebih setiap pagi ke sekolah.


Bertuahnya menjadi adik di hujung-hujung.


Nur Hafizah, anak ke-10. Di bawahnya ada dua orang lagi adik perempuan. Ketika dia ber-UPSR, abang-abang dan kakak-kakaknya sudah berkerjaya. Sebagai dorongan, kami awal-awal lagi membuka ‘tender’ untuk setiap A yang akan diraih. Hal ini termasuk juga ayah. Yang menariknya, ada yang menawarkan pakej percutian (ala-ala Cuti-cuti Malaysia) di negeri sebelah Selatan Malaysia. Seorang lagi menawarkan usaha menyerapnya masuk ke Maktab Sains, tetapi itu bukanlah tender asalnya. Itu hanya kebetulan. Saya? Bila saya bertanya lalu Nur Hafizah menjawab, “Berilah apa-apa yang abang nak bagi.” Saya memang mengambil sikap tidak menyatakan apa-apa janji sedari awal yang lain-lain ‘membuka tender’. Yang pasti, saya juga akan memberi hadiah sebagai apresiasi terhadap kejayaan cemerlang ini.

Sudah pasti penat ayah dibayar.


Yang pasti, kejayaan ini akan menjadikan ayah dan bonda hilang lelah mencari rezeki. Akhir-akhir ini setelah ayah bersara daripada jawatan sampingannya sebagai Guru KAFA Yayasan Islam Terengganu, ditambah pula beban hutang baharu projek penanaman semula; bonda banyak membantu ayah di ladang. Betapa hebatnya bonda. Pertolongan itu saya kira pengorbanan tulus bonda meringankan kerja-kerja ayah. Walhal kalau diambil kira, kerja sebagai suri rumah sepenuh masa pun tidak pernah menjadikan bonda mempunyai rehat yang banyak. Tetapi bonda tidak kisah. Asal sahaja dia dapat meringankan kerja-kerja ayah. Sudah pasti juga terbayar segala pesan bonda kepada anak-anak. Meski ada kalanya kami menjadi degil dan lebih gemar bermain daripada mengadap buku.


Kejayaan perlu sentiasa didorong


Saya masih ingat, waktu seusia Nur Hafizah dahulu ayah akan menemani saya mengulang kaji pelajaran jika sudah melewati jam 10 malam. Kadang-kadang emak akan duduk di sisi sambil melipat kain baju. Waktu itu jika ada beberapa perkara yang tidak saya faham, saya boleh bertanya ibu atau ayah. Jika mereka tahu atau mempunyai idea, jawapan akan diberi. Zaman berlalu dan beberapa subjek bahari diperkenal. Subjek baharu ini pula diajar dalam bahasa Inggeris. Maka Nur Hafizah tidak lagi boleh bertanya soalan matematik yang mudah kepada emak dan ayah kerana mereka tidak dapat memahami bahasa Inggeris. Betapa emak dan ayah pernah menyatakan kekesalan dalam hal ini. Sebagai alternatif, ayah tidak kedekut menyatakan persetujuan dalam mesyuarat PIBG (ayah sebagai AJK PIBG), menyarankan kelas tuisyen diadakan. Betapa kerana kelas ini penting, ada sekali Nur Hafizah tidak diajak ketika kami sekeluarga mempunyai agenda di luar. Ya, tidak silap saya ketika rombongan menghantar kakaknya masuk universiti. Begitu disiplin yang diserap kepada kami anak-anak ayah dan ibu.

Isnin, November 08, 2010

Belajar sifat manusia dahulu

Mari kita kaji sifat-sifat manusia zaman dahulu sehingga kita dapat mengikut mereka. Sabda Nabi S.A.W, “Sebaik-baik kurun adalah kurunku.”


Hebatnya sahabat-sahabat, apabila diajak turun berjuang di medan Badar, mereka sanggup. Meski kekuatan mereka amat kecil berbanding dengan kekuatan musuh. 313 orang berhadapan dengan 1000, tentulah dengan nisbah 1 orang tentera Muslim melawan tiga orang tentera Musyrik. Pada awalnya, diadakan mubarakah iaitu seorang tentera Muslim mara untuk berhadapan dengan tiga orang tentera musuh. Tentera Muslim yang pertama ini berjaya menewaskan musuh yang pertama dan kedua. Apabila berhadapan dengan musuh ketiga, dia juga berjaya menusuk rusuk musuh dan mati. Tetapi dia sendiri cedera juga. Tentera Muslim ini akhirnya syahid dua hari sesudah Perang Badar. Setelah itu baharulah tentera-tentera lain berhadap-hadapan secara keseluruhan. Dalam perang ini, nabi berdoa kepada Allah dengan sungguh-sungguh sehingga basah serban di bahunya. Andai kata tentera Muslim tewas, tentulah tiada lagi orang yang akan menegakkan Islam di muka bumi.


Apakah rahsia kekuatan sahabat-sahabat? Mengapa mereka sanggup mengorban jiwa raga untuk Islam?


Pertama, ayat 2 surah al-Anfal. Mafhum ayat, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (al-Anfal:2)
Tetapi dalam ayat lain (ar-Ra’du:28) Allah berfirman, (mafhumnya) - “Tidakkah dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

Apakah berlaku berselisihan dalam hal ini? Sebenarnya tiada sebarang percanggahan antara kedua-dua ayat ini. Ayat dalam surah Ar-Ra’d merupakan peringkat pertama (tahap paling bawah) keadaan seorang hamba terhadap Penciptanya. Pada tahap yang lebih tinggi, seorang yang beriman menjadi gementar hatinya kerana tidak dapat merasa aman melainkan jika melaksana semua perintah dan menjauh segala larangan Allah. Bermakna pada peringkat ini, seseorang tidak boleh duduk diam melainkan dalam dirinya ada usaha untuk menzahirkan tuntutan Allah. Betapa hari ini kita lihat, ada orang langsung tidak kisah terhadap ayat-ayat al-Quran. Apabila melakukan sesuatu, agama menjadi rujukan kedua selepas nafsu.


Kedua, ayat 124 surah at-Tawbah. Mafhum ayat, “Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini? Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya).” (at-Tawbah:124)

Ayat ini turut dalam keadaan orang musyrik mempersenda orang-orang beriman. Mereka bertanya, “Apakah dengan penurunan sesuatu ayat al-Quran menjadikan iman seseorang bertambah?” Maka Allah menceritakan kejelekan sikap mereka di dalam al-Quran.
Menurut bekas Mufti Sabah dalam kitab Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, untuk menambah iman seseorang perlu:


  1. Kenal Tuhan. Awal-awal agama adalah mengenal Allah. Bagaimana hendak kenal Allah? Apakah perlu kenal dzat Allah? Untuk mengenal Allah, lihatlah kepada af’aal Allah. Iaitu kekuasaan dan kebesaran Allah dalam ciptaan-NYA. Kita sekali-kali tidak boleh berfikir tentang dzat Allah (takyif/membagaimana Allah), kerana Allah Tuhan yang tidak sama dengan apa jua yang terlintas dalam fikiran manusia. Hal ini sesuai dengan sifat Allah yang ‘Bersalahan (tidak sama) dengan segala sesuatu.’

  2. Kenal diri. Sesiapa yang kenal dirinya, maka dia mengenal Tuhannya. Renung diri kita. Dari mana kita datang? Apa tujuan kita diciptakan? Ke mana kita akan pergi sesudah mati? Betapa dalam diri manusia yang asalnya dari setitis mani yang hina, mengalami peringkat penciptaan dalam tiga kegelapan, ditambah Allah dengan pancaindera. Kemudian dikeluar ke bumi dengan kelebihan akal untuk berfikir dan kekuatan menguasai makhluk-makhluk lain di alam semesta. Renunglah ke dalam diri, setiap hari lebih 100000 kali jantung berdenyut tanpa perlu mengguna bateri. Elektron dalam sinaps manusia bergerak dengan kelajuan 400 km/jam. Dan setiap lima saat mata kita berkedip tanpa kita sedari. Sedarkah kita dalam badan kita ada penapis paling lasak iaitu buah pinggang? Dan hebatnya susu dicipta hasil campuran air mani dan darah. Hebatnya Allah!

  3. Kenal Rasul. Allah menurunkan syariat dengan mengutus rasul. Ada 313 orang rasul tetapi yang wajib kita tahu hanya 25 orang. Selain rasul Allah mengutus 124 ribu (sesetengah pendapat ulama 125 ribu) orang nabi.

Catatan: Rumusan Kuliah Jumaat, 05 Nov 2010, 9.00 - 10.30 pagi. Kolej Darul Quran, Kubang Lembek, Manir. Sambungan kuliah ini pada Jumaat berikutnya. Tetapi saya tidak berpeluang mengikutinya minggu depan.

Rabu, November 03, 2010

Putrajaya lagi

Dan esok ke Putrajaya lagi. 8 Nov pun ke Putrajaya lagi. Selagi tidak selesai projek dengan satu kementerian ini, begitulah. Perlu berulang-alik mengdakan mesyuarat melapor perkembangan projek. Dan khabarnya ada seorang yang saya kenal juga baru berpindah tempat kerja ke Putrajaya. Amir namanya.

Tercipta satu sejarah


Dan inilah sejarahnya.

Selasa, November 02, 2010

Betulkah caj dikira berasas baki berkurangan?



Lihatlah bagaimana asas pengiraan yang merugikan peminjam. Ujrah 1 persen untuk generasi saya hanya boleh dimanfaatkan pada Jun 2011. Di bawah adalah contoh pengiraan berasas baki berkurangan. Dan bayaran tambahan 50 peratus lebih rendah daripada pengiraan yang sedang digunakan pihak PTPTN.

Dilema 95 atau 97



Dilema; kalau benda ini betul secara saintifik, apakah nanti terpaksa beralih kepada RON97? Harga RON97 sudah meningkat lagi 5 sen. RM2.15 bermula 2 Nov 2010.

Isnin, November 01, 2010

Ada semua baru meriah



Bonda ketika memberi kata putus, "Kalau hendak buat kenduri, biarlah semua ada di rumah."


Maka cadangan asal membuat bekwoh berselang sehari ketika raya puasa dahulu pun dilambatkan sedikit. Kata emak lagi, "Bukan sengaja lengah-lengah. Tidak meriah kalau tiada semua orang. Adik-adik dah masuk kerja pada hari raya kelima."


Maka sebab itu, ijab kabul kami pada 04 Syawal kemudian kenduri di sebelah perempuan. Keesokannya adik-adik saya yang berkerja luar negeri sudah pulang ke tempat kerja. Malahan yang seorang itupun siap bertolak pada malam itu juga bersama bakal ibu mertua dan jejaka pilihannya.

Ok, jemputlah kepada semua sahabat yang berkelapangan. Jika mahu kad istimewa, silalah emel alamat anda kepada hanafi.mohamad[at]gmail.com.

Jumaat, Oktober 29, 2010

Menaikkan bidaan dalam lelongan

“Akhir zaman ini seperti mana yang disebut dalam hadis nabi, aka nada golongan tanajuz.” Kata Ustaz Imran.

Golongan ini menaikkan harga jualan dalam proses bidaan (lelongan) sedangkan sebenar-benarnya dia tidak mahu membeli. Tujuan membida hanya untuk memastikan harga barang yang dilelong naik lebih tinggi daripada harga yang sepatutnya.

Saya ingat hal ini. Saya pernah lalui pengalaman ini. Tetapi saya tidak pernah melakukan perkara ini. Dalam jual beli di ebay atau lelong dot com, perkara ini biasanya berlaku. Mungkin hal ini juga berlaku dalam sesi lelongan awam yang lain. Katalah si A mahu melelong barang, maka dia berpakat dengan Si B. Apabila ada seorang memulakan bidaan, maka Si B akan menaikkan nilai bidaan. Orang yang mahu membeli barang lelongan itu akan terus menaikkan harga asal sahaja setiap kali dibida, nilainya akan mengatasi nilai yang dibida Si B. Dan seringkali harga yang dilelong akan melebihi separuh harga asal barang jika dibeli baru. Dalam proses penjualan barang pascaguna (used item), biasanya harga yang munasabah adalah 1/3 hingga ½ harga asal yang baharu. Ia juga bergantung kepada keelokan barang yang hendak dijual. Dalam lelongan awam melibatkan kenderaan, harga biasanya ditentukan oleh susut nilai.

Berbalik kepada proses jual beli secara lelong melalui internet. Kadang-kadang diskripsi barangan lebih baik berbanding keadaan sebenar produk. Bagaimana seseorang boleh percaya barang yang hendak dijual sama seperti yang dipapar dalam gambar? Lainlah halnya jika kita dapat melihat secara fizikal barang yang didagangkan. Dalam banyak hal, pembeli biasanya akan merujuk kepada testimonial pembeli terdahulu sebelum mengambil keputusan meneruskan urusniaga tersebut. Tetapi ramai di kalangan mereka tidak sedar, bahawa terdapat unsur menaikkan harga bidaan secara terancang yang lebih menunguntungkan penjual.


“Maka benarlah hadis nabi, bahawa akhir zaman ini telah berlaku penipuan dalam bentuk tanajuz ini.” Kata Ustaz sebagai mengakhiri kuliah sebelum khutbah Jumaat.

Pentazkirah: Ust. Imran Selamat. Masjid al-Hidayah, Sentul, 29 Okt 2010.

Khamis, Oktober 28, 2010

Browser IE ditutup secara automatik


“Hello, apabila saya buka browser Internet Explorer dia tertutup secara automatik.” Kata orang yang menghubungi saya.


Lalu saya meluangkan masa melihat masalah pengadu. Bila dibuka browser IE, hanya beberapa saat website dapat dilihat. Kemudian akan berlaku lantunan (blinking) dan alamat URL berubah. Pada bahagian alamat URLnya akan ada res://ieframe.dll/acr_error.htm#http://.
Dan anda diberitahu browser tidak dapat membuka laman web yang cuba anda layari.


Bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini?

Perkara ini sebenarnya disebabkan oleh satu virus jenis Trojan yang bersembunyi di sebalik tabs tertentu yang ditambah dalam browser. Apabila tabs tersebut diklik, ia akan menjana virus yang akan menyerang sistem. Dalam kes ini, sistem IE akan diserang menyebabkan gangguan perayauan sehingga kadang-kadang tetingkap IE ditutup secara automatik.

Langkah 1: Klik Start > All Programs > Windows Update. Kemudian kemaskinilah apa-apa yang dicadangkan.

Langkah 2: Muat turun perisian Anti-Malware Malwarebytes. Terdapat versi percuma. Anda juga boleh memuat turun yang dijual jika anda kaya atau murah hati. Perisian Malwarebytes boleh diperoleh di sini.

Langkah 3: Install Malwarebyte dan saring komputer anda. Kemudian anda akan dimaklumkan virus yang berada dalam PC anda. Tekan show report, dan buang semua virus.

Langkah 4: Buang cache dan cookies daripada browser IE anda. Tutup tetingkap IE dan buka semula.

Selesai.

Rabu, Oktober 27, 2010

Kejarlah kemajuan, tapi bukan ini caranya

"Dan ada di antara manusia: Orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan."(6): Surah Luqman.


Satu lagi perkembangan dalam hiburan di Malaysia yang mengejar taraf negara maju. Lihat di sini.


Pertubuhan yang degar-degar sembang pasal orang Melayu pun sedikit bengong. Tengok di sini


Dan apakah kita mampu tersenyum?



Tersenyumkah kita kerana penaung festival ini orang Islam?

Selasa, Oktober 26, 2010

Langka bumi: Akan berulangkah tragedi lama?


Novel Hj. Azizi Abdullah berjudul Daerah Beta, terbitan DBP. Bukanlah cerita pembacaan buku tersebut yang mahu diwar-warkan. Novel ini mengambil satu latar peristiwa tragik sekitar tahun 1982 di Bukit Merah [1]. Dan ada isu yang sangat membimbangkan berbetulan perkembangan semasa yang berlaku di negara kita.

Sedar atau tidak, satu kilang pemprosesan Lathanides akan beroperasi semula selepas sembilan bulan digantung operasinya sejak November 2009. Lathanides digunakan dalam pembuatan mentol dan bateri kering. Kilang ini asalnya mahu dibangunkan di Terengganu tetapi tidak diluluskan oleh kerajaan negeri Terengganu pada tahun 2007. Pun begitu, kerajaan negeri Pahang telah bersetuju menerima pelaburan RM1 bilion di Gebeng. Merujuk kepada kenyataan media bertarikh 20 April 2010, adalah suatu yang membimbangkan juga. Apakah dengan menggantungkan penerusan projek selama sembilan bulan itu mampu memberi jaminan bahawa tragedi (kesan radioaktif) tidak memudaratkan penduduk berhampiran? Kalaupun tidak, adakah langkah keselamatan ketat diambil untuk memastikan pekerja kilang tidak terdedah pada radiasi? Semoga persoalan pendek ini membuka kesedaran kita semua terhadap bahaya bahan radioaktif. Kenyataan media projek tersebut boleh dirujuk di http://www.lynascorp.com/content/upload/files/Project_Updates_200410_FINAL.pdf [2]

Menurut satu artikel yang diterbitkan oleh Chinese Society of Rare Earths, "Setiap tan nadir bumi dihasilkan, kira-kira 18.7 kilogram fluorin dan 13 kilogram habuk. Dan menggunakan asid sulfurik dalam proses pengkalsinan untuk menghasilkan bijih langka bumi menghasilkan 9600 sehingga 12000 meter padu sisa gas. Gas ini termasuklah debu asid sulfurik, sulfur dioksida dan asid hidrofluorik selain sisa air berasid. Laporan kajian aktiviti melombong langka bumi di China yang tidak mengikut piawai rawatan yang betul menunjukkan hampir 10 juta tan air sisa setahun.
Air ini menyebabkan pencemaran terhadap sumber air dan sistem pengairan tanah pertanian."
Apabila nadir bumi diektrak, bahan yang berbaki bersifat radioaktif. [3]

Maka kita tunggu dan lihat apakah kesan yang pernah berlaku di Bukit Merah 28 tahun lampau akan berulang di Gebeng, Kuantan dalam masa lima hingga sepuluh tahun akan datang.


Sumber:
[1] Kronologi Tragedi Radioaktif Bukit Merah
[2] Surat saya kepada akhbar, telah disiarkan.
[3] China’s Rare Earth Elements Industry: What Can the West Learn?, oleh Cindy Hurst, Penganalisa di U.S. Army’s Foreign Military Studies Office,
Fort Leavenworth, KS.


[*]Kemas kini 12 Mac 2011: Taking a Risk For Rare Earth

Isnin, Oktober 25, 2010

Apakah perlu lagi menara tinggi

Diedit Jam 10.10 AM, 26 Okt 2010.
----------------


----------------

Klik pada imej untuk menyokong grup ini.

Dikemas kini lagi; Tun M pun kata Menara 100 tingkat tidak perlu.

Syukurlah tidak sesat

Jumaat. Jam 7.30 malam mula bergerak. Memandu sendirian dari KL. Ketika berhenti rehat di Hentian Rawat dan Rehat Temerloh selama 1 jam, saya bertemu seorang bekas kakitangan dalam kumpulan syarikat. Dia dalam perjalanan ke Terengganu juga. Sekarang sudah pun bertugas di Putrajaya. Sempat juga membeli tiga buah buku. Dua judul milik kenalan saya cikgu Wan (Zayu Hisyam) untuk saya hadiahkan pada adik-adik yang masih kecil. Sebuah lagi buku Ust. Zaharuddin Abd. Rahman.

Sabtu. Saya tiba jam 3.00 pagi. Seperti biasa, jalan Pengadang Baru penuh dengan motorsikal anak-anak muda tiada kerja. Khabarnya polis Terengganu sudah tidak boleh berbuat apa-apa untuk membanteras kegiatan rempit di kawasan yang keras dengan hantu rempit itu. Setiap kali 'pertunjukan' dibuat yang kadang-kadang ekor motorsikal mencecah jalan dan mengeluar percikan api, saya sering berdoa kalau-kalau lagak ngeri itu berkesudahan dengan kemalangan. Kalau rebah mesti ada mana-mana anggota badan yang patah. Itulah jahatnya saya berdoa untuk mereka. Ya, bayangkan kalau anda memandu di tempat ini, rasa selamat memandu juga hilang. Jalan berlorong dua 'sempit' selain bingit deruman enjin meotrsikal. Kalau dikira-kira jumlah mereka sampai 400 orang. Saya bertanya dan tiada jawapan, “Ke mana kawalan dari dekat terutama ibu bapa?” Mengapa dibiarkan anak-anak berpeleseran sebelah malam?

Sabtu, jam 8.30 pagi baharulah saya bertolak ke Kuala Berang. Syukurlah. Saya telah mendapat gambaran ke Sungai Derhaka. Maka tidaklah terkejar-kejar atau bimbang tersalah jalan. Jam 9.15 setepatnya bergerak dari rumah ayah dan tiba 45 minit kemudian. Ketika tiba di tempat berkumpul kira-kira 500 meter ke Masjid Sungai Derhaka, masih ada sebuah kereta dalam rombongan kami yang belum tiba (Saya fikir tentulah saya yang terakhir sampai). Rumah-rumah lama di Sungai Derhaka dibina dua tingkat. Bahagian bawahnya tinggi kira-kira muat meletak kereta. Dan tingkat dua juga menjadi aras selamat kalau-kalau dilanda banjir.

Jumaat, Oktober 22, 2010

Harapnya tidak tambah masa kecederaan


Dua minggu lepas, isteri saya menunjukkan pekeliling JPNT berkaitan sayembara deklamasi Puisi anjuran DBP Wilayah Timur dan JPNT. Pekeliling itu menyebut penyertaan digalakkan dari kalangan guru, pelajar dan kakitangan sekolah. Pertandingan ini diadakan pada 23 Oktober di Perpustakaan Awam Kuala Terengganu. Tarikh tutup penyertaan pada 15 Oktober. Saya merujuk kepada satu lagi hebahan Persatuan Penulis Terengganu (PELITA) pada 14 Ogos. Dalam iklan ini dinyatakan penyertaan terbuka kepada umum. Maka terlepaslah peluang saya untuk mencuba nasib dalam pertandingan ini. Dan saya fikir, “Tentu ada sebabnya.”


Dua hari lepas, bonda menghubungi saya mengajak ke majlis akad nikah sepupu di Kg. Sungai Derhaka. Majlis jam 10.00 pagi. Bermakna jam 7.30 pagi saya harus bertolak dari rumah di K Terengganu, turun ke Kuala Berang. Kemudian bertolak dari Kuala Berang sekitar jam 8.30 pagi. Saya fikir wajar diawalkan sedikit (iaitu jam 8.30 pagi) kerana menimbangkan kebarangkalian tersesat. Saya dilahir dan dibesarkan di Terengganu tetapi waktu muda remaja saya tempang. Tempang kerana sejak usia 13 tahun sudah belajar di Kelantan. Waktu cuti pula jadi tempang terperap di rumah. Tidak banyak berjalan. Sehingga suatu hari saya ke Marang seorang pakcik bertanya, “Anak ni orang KL?” Demikianlah orang Kuala Berang yang dimomokkan dengan dialek hulu sebenarnya tidaklah terlalu kekampungan. Cara kami bercakap pun sebenarnya seperti orang KL!


Tetapi itulah yang sering ditanya kepada saya. Dan lebih teruk ada yang meminta saya memberi contoh ayat orang hulu. Saya jawab, “Saya tidak pandai.” Memang di rumah, kami bercakap biasa-biasa. Ayah dan emak tidak pernah bercakap dialek hulu. Sebab itu kami tidak pandai bercakap selanga hulu melainkan pertuturan biasa orang Terengganu.


Apa pun, saya doakan semoga sayembara deklamasi puisi sempena Bulan Bahasa Kebangsaan berjalan lancar dan meriah. Jika ada lebih waktu, saya akan cuba meninjau kemeriahan sayembara ini. Insya-Allah.



Jalan inilah yang akan dilalui, tetapi dalam pangkalan data Google, tiada pula nama kampung yang disebut di atas.

Khamis, Oktober 21, 2010

Pau, pau dan PAU.

Pau boleh diistilahkan sebagai sejenis makanan berinti. Pau juga bermaksud kerja jahat memeras wang atau kepunyaan orang lain. Terbaru, PAU jadi akronim perhimpunan di PWTC. "PAU yang ketiga itu aku tak mahu masuk campur." Aku suka pau yang pertama saja. "Harap-harap PAU tidak melahirkan lebih ramai kaki-kaki pau kolar putih."

Dilarang membaca dalam masjid

Sabtu lepas, dalam perjalanan pulang dari Low Yatt kami singgah di Masjid XXXX, KL(nama perlu dirahsiakan). Menunaikan solat Asar. Papan tanda di luar masjid ini sangat menarik perhatian saya. ‘DILARANG BERBARING, TIDUR DAN MEMBACA DI DALAM MASJID’.


Larangan di masjid ini saya kira yang terbanyak setakat ini. Jika masjid lain, mungkin akan hanya ada larangan menggunakan ponsel dan tidur di dalam masjid. Tetapi di sini, terdapat satu tambahan iaitu membaca. Wajarkah pihak masjid memandomkan keintelektualan umat Islam dengan melarang aktiviti membaca? Apakah jika saya membaca di dalam masjid akan mengganggu orang lain bersolat? Lainlah halnya jika seseorang membaca al-Quran dengan suara nyaring di dalam masjid sehingga mengganggu orang lain bersolat. Ya, dalam tafsir ayat al-Quran yang bermaksud, “Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalang (orang lain) mengingati Allah….” – salah satunya disebut bahawa waima membaca al-Quran dengan nyaring pun sudah dikira menzalimi orang daripada mengingati Allah (solat). Tetapi dalam konteks membaca buku, tidaklah menjadi budaya di Malaysia membaca kuat-kuat. Setiap orang biasanya membaca dengan senyap. Dan tentulah di masjid, tiada pun seorang ibu yang akan membaca cerita untuk didengar oleh anaknya. Yang ada, orang biasa membaca buku agama atau mengulang kaji pelajaran (membaca nota atau buku teks) di dalam masjid. Tidak pernah pun diadakan sesi menelaah secara berkumpulan yang memungkinkan akan mengganggu jemaah bersolat.


Justeru larangan membaca di masjid adalah tidak wajar. Saya bersetuju kalau larangan membaca di dalam masjid melibatkan bahan lucah atau hiburan semata-mata. Tetapi menghalang semua jenis bacaan lain yang bermanfaat adalah suatu yang tidak tepat.

Rabu, Oktober 20, 2010

Pasca Bajet 2011: Rumah siap pahat berbunyi

Hutang isi rumah tertinggi Asia


KUALA LUMPUR 19 Okt. - Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bimbang dengan peningkatan paras hutang isi rumah yang berjumlah 77 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas.

Dalam laporan tahunan 2009 Bank Negara Malaysia (BNM), hutang isi rumah dilaporkan meningkat kepada 76.6 peratus bagi tahun ini, yang tertinggi di Asia, daripada 63.9 peratus KDNK pada 2008.

Nisbah Pinjaman-kepada-nilai (LTV) perlu dikurangkan untuk menangani kenaikan ini.

"Pada masa depan, sepatutnya terdapat lebih banyak pinjaman perniagaan berbanding pinjaman isi rumah. Lebih banyak pinjaman perniagaan akan menyumbang kepada pertumbuhan kita," kata Felo Penyelidikan Kanannya, Dr. Foong Kee-Kuan.

Kebimbangan itu dibangkitkan semasa taklimat media mengenai laporan Prospek Ekonomi Malaysia yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Memetik laporan Petunjuk Perbankan dan Monetari bank pusat itu, MIER berkata, pinjaman isi rumah pada April, Mei, Jun, Julai dan Ogos tahun ini masing-masing berada pada 10 peratus, 11.7 peratus, 12.5 peratus, 11.9 peratus dan 11.8 peratus.

"Paras hutang isi rumah kita membimbangkan dan tiada langkah-langkah disebut untuk menangani isu ini dalam Bajet 2011.

"Sekiranya senario ini berterusan bersama dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan, ia boleh menterjemahkan kepada pengangguran dan menyebabkan orang bermasalah untuk membayar pinjaman mereka," katanya.


Sumber: Utusan Malaysia

Selasa, Oktober 19, 2010

Berpengaruh lagikah dia?






"Sebenarnya orang seperti Mahathir ini memang dilahirkan Allah untuk menjadi batu pengasah kepada kita. Anggalah dia sebagai batu yang akan menajamkan pemikiran kita dan mengenalikan kita dengan mentara keTuhanan. Biarlah dia terus berkata-kata selagi mahunya. Makin banyak dia mengeluarkan kata-kata maka rakyat akan lebih mengetahui dia dan mengenali peribadinya." Tulis Mohd Sayuti Omar.

Jumaat, Oktober 15, 2010

Bagaimana hendak tahu CMS portal

Sesebuah portal yang dibangunkan menggunakan CMS Sumber Terbuka LIFERAY boleh diketahui jika keadaan berikut terjadi.

Apabila anda menaip /c/portal/login di belakang alamat URL portal itu, anda akan dibawa ke panel login pengguna.

Contoh seperti di bawah.

www.portalsaya.com/c/portal/login

(Nota: Web portalsaya.com tidak pernah wujud setakat ini).



Tahukah anda? Pembangunan portal menggunakan Liferay di Malaysia telah bermula sejak tahun 2000 lagi. Dan hampir 160 portal di Malaysia direka dengan menggunakan Liferay.

Khamis, Oktober 14, 2010

Nilai wang.

(i)

KUALA LUMPUR (AFP) - – The Malaysian government on Wednesday said it would again delay the implementation of a controversial goods and services tax due next year in the face of strong public opposition.


"The government would like to announce the postponement of the implementation of the Goods and Services Tax (GST)," the finance ministry said in a statement.


Pada satu tahap, kemungkinan kita akan menarik nafas lega. Tetapi nafas lega itu buat sementara waktu sahaja. Cukai ini tetap akan dilaksana. Soalnya, kenapa tidak
dibatalkan terus?

(ii)

Pagi tadi ketika selesai mesyuarat, ada makan-makan. Saya kata, "Sudah makan." Tetapi makanan itu masih ada sehingga saya setuju makan kerana satu ayat sahaja.
Kata kakitangan kementerian itu, "Makanan yang ditempah ni vendor yang akan bayar. Kami akan claim daripada vendor." Maknanya kompeni yang saya wakili akan bayar makanan itu. Saya tidak tahulah itu seloroh atau polisi terkini kerajaan.

Rabu, Oktober 13, 2010

Inilah waktunya usah berlengah.

Hendaklah seseorang tidak melengah-lengah waktu untuk berbuat amal kebajikan. Kerana berlengah-lengah itu merugikan. Kata ustaz, “Sebagai contoh, orang suka datang awal ke masjid. Sebelum azan sudah sampai. Dia duduk di luar, melihat kereta lalu lalang. Dia tidak menunaikan solat sunat sebelum maghrib. Biarlah orang lain menunaikan solat sunat. Dia tengok-tengok saja. Baginya tidak ada solat sunat sebelum maghrib. Tetapi tidakkah jika datang awal boleh ditunaikan solat sunat tahiyyatul masjid? Boleh beriktikaf sebentar sementara menunggu azan?”

Dalam jumhur as-Syafie, sunat ditunaikan solat sunat sebelum maghrib walaupun tarafnya bukan sunat muakkadah (sunat yang amat dituntut).

Pada pandangan ahli tasawwuf, masa sekarang adalah waktu dan kesempatan yang diberi Allah untuk beribadat. Maka apabila seseorang terfikir untuk melakukan kebaikan, lakukanlah pada waktu itu juga. Usah ditangguh pada saat lain. Hal ini akan menyebabkan si pelaku menyesal pada hari kebangkitan. Katakanlah jika seseorang tergerak hatinya untuk menunaikan solat, tetapi dia bertangguh dengan alasan akan menunaikannya setelah sampai ke rumah. Bagaimana sekiranya dalam perjalanan pulang itu dia dijemput menghadap Allah? Tidakkah itu satu kerugian baginya? Justeru bersegeralah melakukan kebaikan. Kita tidak tahu apa yang bakal menimpa kita sedetik lagi, lima minit lagi. Mati boleh datang bila-bila masa.

Imam al-Ghazali menukilkan hadis nabi yang bermaksud, “Jika seseorang yang berusia 40 tahun sedangkan amal kebaikan tidak melebihi amal kejahatannya, maka bersiap sedialah dia ke neraka.” Mengapa empat puluh? Ulama tasawwuf sependapat umur 40 adalah usia matang. Nabi Muhammad dilantik menjadi nabi dan rasul ketika berusia 40 tahun. Pada usia ini manusia mencapai pemikiran matang untuk menentukan hala tuju hidupnya di akhirat. Usahlah kita memandang dari sudut pandang rahman dan rahim Allah. Jika dilihat dari sudut ar-Rahman Allah itu, DIA berkuasa memberi hidayah kepada seseorang yang hidup hampir seratus tahun dengan dosa. Dan saat akhir hidupnya dia bertaubat dan menjalani jalan ke syurga. Tetapi pandanglah dengan pandangan tasawwuf. Bahawa setiap detik adalah waktu untuk kita membetulkan diri menuju tujuan asal kita diciptakan. Kita diciptakan untuk beribadah kepada-NYA.

Apa sahaja yang kita lakukan bernilai ibadah selagi tidak terpesong dari tuntutan agama. Kerja kita. Pengajian kita. Memberi nafkah kepada anak-anak. Jual beli kita. Main saham dan lain-lain.


Nota: Ringkasan kuliah Maghrib, kitab Ayyuha al-Walad (Duhai Anak Kesayanganku), karangan Imam Al-Ghazali, syarah oleh Ust. Nor Hafizi. Masjid al-Hidayah, Sentul, KL. 12 Oktober 2010.

Isnin, Oktober 11, 2010

KPLI oh KPLI.


Berdasarkan iklan, 24 Oktober 2010 tarikh tutup permohonan KPLI (termasuk J-QAF) sesi pengambilan Januari 2011. Tahun-tahun sebelum ini, saya saksikan ramai yang memohon KPLI sudah mempunyai pekerjaan yang boleh dikiran lumayan di sektor swasta. Lihat sahaja calon-calon M-Test, adakah anda lihat mereka datang dengan Vios, Honda City, Accord, Grand Livina, Lancer, Altis, dan lain-lain? Cuma anda tidak akan melihat calon-calon M-Test datang berbasikal! Lumayan atau tidak adalah subjektif. Sebagai contoh, saya bekerja di firma swasta tetapi tidak berpuas hati dengan kebajikan yang diabai. Paling asas, caruman KWSP tidak dibuat seperti yang termaktub dalam surat tawaran kerja. Saya sudah mengingatkan pihak terbabit dalam satu surat, dan sehingga kini surat itu tidak dibalas malah dalam rekod saya individu tersebut juga sudah berhenti kerja.


Saya maklumkan betapa KWSP perlu dicarum dan menjadi kesalahan majikan jika mengabaikannya. Sebenarnya apabila berada dalam keadaan ini, cara terakhir ialah melapor kepada KWSP. Pihak KWSP akan memberi borang yang wajib diisi dengan pen hitam. Pekerja perlu menyediakan salinan kad pengenalan, surat tawaran kerja (offer letter), penyata cukai tahunan (biasa diberi setiap akhir tahun – di dalamnya dinyatakan jumlah caruman tahunan yang wajib dibayar majikan), slip gaji bulanan bagi bulan-bulan KWSP tidak dicarum tetapi dipotong dari gaji pekerja. Apabila KWSP mengarahkan majikan membayar caruman, jumlah yang dibayar termasuk dividen yang diisytihar KWSP.


Sesetengah pekerja sektor swasta yang mahu beralih angin kerana mahu memberi masa yang lebih kepada keluarga. Bidang perguruan adalah kerjaya yang paling banyak cuti. Setidak-tidaknya jika bukan kedua-dua pasangan mengambil KPLI, salah seorang berjaya diserap masuk sudah memadai. Hal ini bermakna, KPLI adalah tiket mudah untuk mereka yang mengidam menjadi sebahagian daripada puluhan ribu kakitangan awam. Maklum sahaja, menjadi kakitangan awam mudah segala. Urusan pinjaman perumahan, kenderaan, kesihatan dan lain-lain. Tetapi perkara paling penting yang wajar disedari oleh calon-calon KPLI ialah memilih kerjaya guru bukan sebagai ‘balas dendam’ kerana tidak dapat menjadi kakitangan awam dalam bidang lain. Biarlah pilihan itu disebabkan kesedaran tinggi untuk memartabatkan ilmu dan profesyen perguruan itu sendiri.


Setakat ini, saya baharu mencuba untuk peperiksaan M-TEST sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2007 dan 2008. Kedua-duanya belum berjaya. Tahun lepas saya tidak mencuba. Tahun ini mahu mencuba lagi. Kata emak, “Anak si pulan si pulan empat kali ambil M-Test baru berjaya.” Kata emak lagi, “Kawan kakak engkau tu, tujuh kali baru lepas.” Alamak! “Takkanlah saya pun perlu membuat cubaan demi cubaan sehingga berjaya mendapat KPLI?” Apa pendapat anda?


Pautan berkenaan permohonan KPLI ambilan Januari 2010: http://kpli.moe.gov.my/application_jan2011/.
Pautan semakan MTEST KPLI Ambilan Januari 2011: http://kpli.moe.gov.my/mtest11/index.cfm
Pautan semakan temuduga KPLI ambilan Jan 2011. Guna Google Chrome untuk capaian yang lebih laju.
Selamat maju jaya.
Nota: Saya tidak dipanggil temuduga. :D

Orang yang pernah menipu akan ditipu


Semalam saya membeli sebuah akhbar perdana kerana terpaksa. Ada satu iklan berkaitan guru yang mahu dirujuk isteri. Saya katakan kepada isteri, “Beli akhbar ini, tidak ada yang menarik kecuali bahagian iklan, kartun dan sisipan sasteranya.”

Ketika mencari-cari iklan yang dimaksudkan, saya tertarik dengan tulisan Noraini, muka surat 9. Ceritanya berkaitan penipuan pelajar di Tronoh yang menghantar ucapan dalam kolum Salam Perantau. Pelajar tersebut diberitakan menukar Tronoh menjadi Toronto. Dan khabarnya pihak akhbar sangat kesal dengan penipuan tersebut.

Saya berpendapat adalah wajar jika sesekali ahkbar yang pernah menipu melalui laporan berita berat sebelahnya ditipu. Baharu mereka tahu betapa orang yang membaca laporan berat sebelah mereka sakit hati apabila ditipu. Saya bukan menggalakkan penipuan, tetapi biarlah insiden ini dilihat sebagai satu muhasabah di pihak akhbar itu sendiri.

Setuju?

Jumaat, Oktober 08, 2010

Sistem Automasi Laporan Kerja: JIRA

JIRA asalnya dari perkataan Jepun Gojira atau yang diinggeriskan Godzilla. JIRA merupakan perisian sistem pengesanan aliran kerja yang dibangunkan oleh Atlassian. Bagi kerja yang mempunyai aliran kerja yang melibatkan sekumpulan manusia, terutama dalam bidang IT, laporan kerja akan dibuat secara automatik. Bayangkan jika anda bekerja di Shell misalnya, dokumentasi kerja sahaja sudah mencapai 126MB. Dokumentasi itu berupa laporan teks sahaja, tidak termasuk grafik.


Satu contoh aliran kerja syarikat yang menawarkan khidmat membina laman web. Ia bermula dari pembinaan laman web sehinggalah kepada kemaskini laman atau baik pulih laman jika berlaku kerosakan. Satu pasukan yang dimasukkan dalam sistem JIRA terdiri daripada Ketua Kumpulan (KP), pembangun laman web – tiga orang (pengaturcara, pengurus kandungan @ content uploader, pereka grafik), dua orang pegawai QC (Ketua QC & Tester), pengadu (requester) – biasanya pelanggan. Sistem bermula apabila pengadu mengemukakan satu isu berkaitan laman web. Pada peringkat ini pengadu menghantar satu tiket ke dalam sistem. Ketua QC akan menentukan isu yang dikemukakan berkaitan atau tidak. Jika sah, ketua QC akan memanjangkan isu ini (verified). Status tiket ini sekarang diklasisifikasi sebagai ‘Open’. Tugas KP pada masa ini ialah mengenal pasti isu yang dikemukakan pengadu kemudian mengenal pasti tugasan untuk diserahkan kepada mana-mana pembangun laman web. Ingat, pembangun laman web dalam contoh ini terdiri daripada tiga orang.


Jika isu yang dikemukakan melibatkan kandungan grafik, maka yang terlibat hanyalah pereka grafik dan pengurus kandungan. Ketua kumpulan akan memberi tugasan dan nama ahli yang terlibat akan tertera dalam kolum ‘Assignee’. Bermakna setiap orang dalam aliran kerja ini seramai tujuh orang akan dapat mengetahui individu yang perlu melaksanakan tugas. Katakan pereka grafik sudah mendapat tugasan, dia perlu membuka tiket yang dikhususkan kepadanya. Sebaik sahaja dia membaca permasalahan yang dikemukakan, dia perlu menekan butang ‘Progress’ dan masa kerjanya mula dikira. Dalam sistem ini, keberkesanan kerja dapat dipantau terutama apabila melibatkan hal-hal segera (ad-hoc) seperti banner laman web perlu dikemaskinikan pada jam 4.00 petang sedangkan tiket dihantar pengadu pada jam 9.00 pagi. Mungkin satu banner sempena hari raya baharu diingati oleh pengadu pada hari tersebut kerana terlalu sibuk dengan persiapan rayanya. Mungkin perkara itu sudah diminta oleh bos pengadu beberapa hari sebelum itu.


Katalah pereka grafik dapat menyiapkan banner dalam masa satu jam, dia perlu menekan butang ‘Comment’ dengan memasukkan komen ‘Banner telah siap dan diserahkan kepada Pengurus Kandungan – En. X’. Selaku orang yang ditugaskan, En. X juga boleh membuka tiket si pengadu dan menjalankan fungsinya dengan memasukkan kandungan menggunakan CMS berkaitan laman web yang mereka gunakan. Apabila selesai, En. X perlu menekan butang ‘Resolved’. Berikutnya QC Tester akan membuat penilaian sama ada banner itu dimasukkan dengan betul dan tiada bug dalam laman web. QC Tester juga membuat kerja yang sama iaitu menekan butang ‘Progress’ dan ‘Resolved’ apabila memulakan dan menamatkan kerjanya. Sekali lagi, Ketua QC akan menyemak kerja QC Tester, jika selesai akan diletakkan status ‘Verified’. Status tiket dalam sistem menjadi ‘Closed’. Akhir sekali, si pengadu perlu memadam tiket tersebut atau membiarkan sistem melupuskannya secara automatik.


JIRA dibina untuk memantau keberkesanan kerja. Setiap yang terlibat dalam aliran kerja akan mengetahui tahap-tahap sesuatu isu diselesaikan. Boleh jadi pada satu tahap berlaku kelewatan, maka pengadu mempunyai kuasa mendesak agar kerja dilakukan dengan cepat. Hal yang tidak bagus dalam sistem ini ialah apabila si pengadu mengamuk. Biasanya pengadu wanita. Dia akan mencelah dengan memasukkan komen pedas. Ya, kita faham. Wanita memang terlebih emosional berbanding dengan lelaki. Kedua, apabila orang yang ditugaskan gagal menyelesaikan kerja dalam kekangan masa yang ditetapkan, secara automatik sistem akan melaporkan ‘kegagalan’nya. Bermakna sistem bertindak sebagai pemberi amaran kepada individu tersebut. Syarikat yang menggunakan sistem JIRA hanya menetapkan maksimum tiga kali untuk seseorang menerima kad merah. Selepas tiga kali, prestasi pekerja dianggap sebagai tidak memuaskan dan dia boleh dipecat. Inilah yang ditakuti oleh pekerja swasta yang dimasukkan dalam sistem pemantauan kerja JIRA ini.


Dan kelebihan JIRA adalah kitaran kerja dalam penyelesaian isu berbangkit akan dapat dibuat secara sistematik. Setiap rekod kerja dibuat secara automatik dan pekerja tidak lagi perlu membuat laporan kerja secara manual. Dengan ini dokumentasi kerja tidak perlu lagi ditaip secara manual. Alangkah bagus jika dasar kerajaan tanpa kertas yang mahu dibuat kerajaan menggunakan sistem ini. Maka tiadalah budaya lepak di kalangan kakitangan awam. Saya bukan menuduh. Kalau setiap kali saya ke Putrajaya, jam 9.30 – 10.00 pagi adalah perkara biasa sesetengah kakitangan awam bersantai di kafetaria. Lenggang-lengang kangkung lagi. Saya lihat perkembangan positif apabila syarikat saya menggunakan JIRA. Secara peribadi, saya pun berkerja dengan sangat menjaga kekangan waktu yang ditetapkan. Terkenan mengajar dateline adalah perkara normal. Apakah kemudian hari nanti saya juga akan ‘ditendang’ keluar jika tidak mencapai KPI yang ditetapkan? Wallahu’alam.

Isnin, Oktober 04, 2010

Benarlah tulisan Ahmad Boestaman

“Dalam kursus saya dulu antara lain ada saya terangkan pentingnya kita merosakkan imej lawan kita dalam kempen-kempen pilihan raya.” Nurdin meneruskan kata-katanya, “Merosakkan imej lawan ini penting untuk menaikkan imej kita supaya dapat mengalahkan atau merendahkan imej lawan. Bila imej kita naik dan imej lawan menurun, harapan kita untuk mencapai kemenangan sangat baik bahkan terjamin.” (Ahmad Boestaman, Garis Hitam Membelah Langit, muka surat 165)


Demikian halnya kita melihat saban hari berlaku pelbagai aksi dan reaksi politik yang heboh diperkatakan. Dan sudah menjadi perang psikologi, suatu perkara biar salah kalau diulang-ulang akhirnya akan menyebabkan audien berfikir hal itu sebagai kebenaran. Kalau tidak silap saya isu pemberian wang ehsan RM100 oleh kerajaan Pulau Pinang dilaporkan TV3 selama seminggu hampir setiap malam. Juga menjadi berita utama arus perdana. Demikian gambaran buruk diberi terhadap kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang. Reaksi yang diberi juga tidak kurang hebat. Ada cabaran agar ADUN pembangkang di Pulau Pinang mengembalikan semula wang gaji. Saya suka meneliti hal ini secara sederhana dan memerhati hujah pihak yang lebih berautoriti. Inilah jawapan yang memuaskan:
http://drmaza.com/home/?p=1238

Dalam TC Oktober 2010



Ada latar peristiwa pengusiran setinggan Kg. Baru, Kl dan gaya urusniaga petronas yang merugikan syarikat utama petroleum dan negara amnya dalam cerpen kali ini. Selamat membaca.

Judul asal saya pada perkataan Lazuardia ialah Lazuardi. Saya harap ia kesalahan menaip pengendali facebook TC sahaja.

Khamis, September 30, 2010

Seriuskah usahawan kita?

Dalam kepala seorang usahawan ada satu paradigm ketergesaan. Pantang ada peluang, pasti dimanfaatkan. Peluang bagi seorang usahawan adalah keuntungan. Sebab itu saya menjadi letih apabila melayan karenah bekas bos kilang produk makanan kesihatan dahulu. Masakan tidak? Jika di awal bulan sebagai seorang Pengurus Pengeluaran, saya membuat unjuran sekian banyak aktiviti pembuatan di kilang. Tiba-tiba pada pertengahan bulan, volum pembuatan perlu ditambah beberapa peratus. Dan tentulah rutin normal pembuatan perlu diubah. Masa kerja dan penggunaan bahan mentah pun perlu dinilai semula. Dan kadang-kadang terpaksa juga pulang sekitar jam 2 atau 3 pagi. Akhirnya saya fikir saya bukanlah orang yang kompeten untuk terus bersabar melayan ragam pengurusan bekas bos saya itu.

Tadi saya menelefon seorang usahawan real estate property di Kuala Terengganu. Saya hubungi nombor telefon yang tertera dalam laman webnya. Tetapi dia tidak menjawab panggilan itu. Saya susuli maksud panggilan dengan esemes. Selepas tiga jam tidak mendapat respon, akhirnya dia menjawab esemes saya. “Mahukah?” Saya balas, “Maaf. Sudah dapat tempat lain.” Begitulah sikap sesetengan usahawan Melayu yang kita ada. Sebahagian mereka berniaga dalam keadaan bersungguh-sungguh tetapi kadang-kadang culas. Memang patut pun usahawan tadi itu terlepas sedikit wang yang sepatutnya akan mengalir ke akaun perusahaannya. Zaman teknologi bukan lagi zaman untuk usahawan Melayu berfikir negatif dengan mengandaikan panggilan yang dibuat tidak penting, salah dail, atau main-main.


Saya fikir kalau saya menelefon seorang usahawan bukan Bumiputera, pasti dia akan menelefon semula jika tidak sempat menjawab panggilan. Usahawan bukan Bumiputera akan menyediakan satu fenomena terdesak dengan mengatakan, “Encik, memang ini yang terakhir. Yang lain semua sudah penuh. Rugi kalau tidak confirm sekarang.” Demikian kadang-kadang kerana unsur terdesak itu secara psikologi pelanggan akan sanggup meski peniaga menawarkan harga yang tinggi sedikit. Dan biasanya pelanggan yang terpedaya akan terkena.


Berapa banyak Durian Mas?

Ada satu kisah dalam al-Quran ketika nabi Ibrahim memohon kepada Allah menunjukkan bukti kekuasaan-NYA menghidup akan benda yang telah mati, lalu Allah bertanya, “Apakah kamu tidak beriman (mempercayainya)?”


Lantas Nabi Ibrahim menjawab, “Bahkan, tetapi aku ingin memantapkan lagi keyakinanku.”


Maka Allah pun memerintahkan Nabi Ibrahim mencincang burung dan meletakkan daging-daging itu di empat bukit. Sehingga akhirnya Allah kembalikan semula dalam bentuk yang hidup dengan mencantum semua daging yang dipisah-pisahkan itu. Inilah sejarah yang tersebut dalam ayat 260 surah al-Baqarah.


Maka apabila saya memberitahu kepada sesetengah orang SK Durian Mas, rata-rata mereka menyangka dan lebih kenal Durian Mas di Dungun. Dan sebagai menguatkan kepercayaan mereka, ada baiknya saya paparkan nama-nama sekolah yang ada perkataan Durian Mas di Terengganu. Dan semoga mereka pun berpuas hati.


Saya pun tidak pasti kenapa dalam negara kita ada banyak nama tempat yang sama. Misalnya Bidor terdapat Perak dan Hulu Terengganu. Tapah pun ada di Perak dan Hulu Terengganu. Pasir Puteh ada di Kelantan dan Ipoh. Langgar ada di Kelantan dan Kedah. Batu Hampar ada di Kedah dan Kuala Terengganu. Kampung Durian Mas ada di Dungun dan Manir, kedua-duanya di Terengganu. Sekadar menyebut beberapa tempat.





Diedit semula dari keputusan carian di laman web Direktori Sekolah Malaysia.



Selasa, September 28, 2010

Banner web portal ini macam menarik.



Kenapa? Cuba perhati betul-betul.