Sabtu, November 20, 2010

Syukur: Acara bedah karya RSM lancar



Bedah karya Rahsia Sebuah Manuskrip oleh Naimisa Yusof
MPH Midvalley, KL.

Pengenalan


“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”
(surah al-Qamar: 17)


Hands Andersen (1805-1875) dari Odense Denmark, penulis cerita klasik kanak-kanak yang terkenal dengan cerita Ugly Duckling menukilkan, "Most of what I have written is a reflection of myself. Every character is from myself."

(Oxford Children's Encyclopedia 8 - Biography, Oxford University Press, edisi kemas kini 2004, halaman 10)


Rahsia Sebuah Manuskrip: Sebuah karya eksperimen


Manuskrip novel ini mengambil masa yang panjang (dan hal ini tidak harus berlaku pada mana-mana penulis sebetulnya), kira-kira tiga tahun.


Penulisan novel berasaskan imaginasi, sejarah benar dan fakta-fakta yang dicedok daripada jurnal-jurnal sains. Bagi melancarkan penulisan, idea digarap menggunakan teknik andalan peristiwa. Seperti sesetengah orang berpendapat bahawa Salina adalah peristiwa yang dekat dengan penulisnya SN Dato’ A Samad Said (SN DASS).

Jika kita membaca Salina oleh SN DASS, Ranjau Sepanjang Jalan (SN Shahnon Ahmad), Daerah Beta (Azizi Abdullah), Laskar Pelangi (Andrea Hirata) atau Matahari di Atas Gili (Lintang Sugianto) [sekadar menyebut beberapa karya] – ada milieu yang diolah penulis-penulisnya. Sebab itu sepanjang jalur cerita Rahsia Sebuah Manuskrip diselitkan kisah-kisah masyarakatnya. Sebahagiannya berkembang seiring dengan suasana sosial di tempat itu sendiri.


Sudut pandang orang ketiga digunakan dan dilontar sama ada oleh Munir, ahli keluarga atau temannya. Kritikan terhadap sosial diwakilkan melalui pandangan watak-watak utama dan sampingan.


Sebagai satu usaha menempatkan bahasa Melayu di tempat yang selayaknya, dialog yang ditulis sepenuhnya baku. Tiada dialek kenegerian malahan boleh dianggap luar biasa (surreal) kerana perbualan kanak-kanak juga ditulis menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.


Watak dan perwatakan


Watak utama Munir, Hannan. Sepanjang-panjang cerita diselitkan watak tambahan yang kadang-kadang tidak perlu.


“Tetapi mungkin ada eksperimen tersendiri yang cuba dijalankan pengarang, sehingga sekecil-kecil watak yang tidak begitu perlu dalam membantu jalan cerita (tidak diperdalam dan dikembangkan sewajarnya kerana memang tidak diperlukan), turut disebut nama mereka satu-persatu dalam novel ini.”

(Pn. Najibah Abu Bakar, Goodreads Malaysia)


Pembaca yang mencari kepuasan membaca dengan cara menghayati perwatakan watak utama mungkin kecewa. Hal ini kerana aspek perwatakan tidak ditekankan. Malahan konflik utama watak utama sengaja dikaburkan sehingga akhirnya dikejutkan dengan kesudahan yang tidak dijangka.


Sinopsis


Di sebalik deretan kertas kuning dan berhabuk. Tidak ada siapa peduli. Sebuah manuskrip yang sukar ditafsirkan, kompleks dan penuh dengan nada-nada cinta. Setiap helaian padat dengan catatan cerita suka dan duka.


Setelah sekian lama manuskrip itu dipandang sepi, baru detik ini ada yang menyedari hadiran manuskrip tersebut. Sebuah manuskip yang bakal mengungkai rahsia sekian lama terpendam. Mungkinkah hajat Munisa Kamil terlaksana? Adakah cinta berputik di hati Munir dan Hannan mekar atau gugur sebelum berkembang? Bersama-sama kta menyelami kemelut cinta yang melanda dalam RAHSIA SEBUAH MANUSKRIP.


"Dibeleknya beberapa halaman. Sekeping poskad lama jatuh. Imej Jabal Nur tersergam indah melatari sisi bergambar. Tulisan jawinya cantik.

“Selamat maju jaya. Aku akan terus di sini. Impianku menjadi pensyarah Bahasa Arab semakin pasti. Doakan keamananku."


Penutup


Semoga karya kecil ini menjadi catatan sejarah zaman ‘kegemilangan’ dasar penswastaan. Juga sejarah sekumpulan kecil manusia pedalaman yang lingkaran hidupnya penuh dengan rasa rendah diri. Nantikan sequel Rahsia Sebuah Manuskrip ini, insya-Allah.


Sisipan sequel Rahsia Sebuah Manuskrip.

ENTAH. Amat seni perasaan itu. Bertembung mata dengan pensyarah baharu itu menimbulkan tanda tanya. Dia sendiri sukar menghurai rasa hati itu setepatnya. Sekembali dari kuliah terakhir hari itu, dia bersantai dengan sahabat baiknya.

Dia menyampaikan kegusarannya, “Zu, aku perasan pensyarah baharu itu memandang aku semacam sahaja.”

“Perasaan engkau sahaja. Dia tenung bukan mengambal. Dia tidak telan orang!” Zuhaida menggayakan tangan kanannya seolah-olah ular menelan mangsa.

Dia cuba membetulkan persepsi Zuhaida. “Bukan begitu. Aku tidak rasa apa-apa. Jauh hendak rasa bersalah. Cuma pelik.”

Zauhaida maju beberapa langkah. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi kayu di hadapan mereka. Zuhaida mengetatkan tali kasut kanan. Angin tasik bertiup tenang. Beberapa ekor bangau melayah singgah di atas tanah berbentuk pulau di tengah-tengah tasik. Air tasik memancut dari kincir pam pengudaraan. Sungguh mengasyikkan pemandangan itu. Pulau buatan ini tidak terlalu kotor airnya. Jika airnya statik, pastilah akan berlaku pencemaran. Dan akhirnya mengalami proses eutrofikasi.

Papan tanda kayu jati berukir kelarai bunga berembang di sebelah kiri mereka. Dia berlama-lama menghadap ke arah papan tanda itu.
“Agaknya begitulah Dr. Hannan memandang kamu.” Zuhaida membenam keasyikannya tatkala melihat dia asyik memerhati ukiran papan tanda tersebut.
Dia menyanggah, “Sama tetapi tidak serupa. Kayu jamadat. Orang bernyawa, punya hati dan perasaan.”


[Petikan dari Bab 7]


Naimisa Yusof, 20112010, Sentul, KL.

1 ulasan:

Afida Anuar berkata...

Tahniah naim...

3 tahun atau sebulan atau 10 tahun tak penting, yang penting hasilnya..alhamdulillah..