Isnin, Januari 25, 2010

Membaca surah selepas al-Fatihah

Setelah membaca al-Fatihah, disunatkan membaca ayat al-Quran dari surah lazim atau ayat al-Quran yang dihafal. Seorang imam perlu berhenti seketika (saktah) sebelum memulakan bacaan surah ini. Saktah itu sekira-kira panjangnya makmum selesai membaca surah al-Fatihah. Ketika ini imam bolehlah membaca surah yang hendak dibaca secara sir (perlahan). Sebagai contoh, imam ingin membaca surah Al-Fiil, maka bolehlah dia membaca surah al-Humazah secara sir sebelum membaca surah al-Fiil secara jahar (kuat).
Dalam solat imam membaca secara jahar (solat fardhu Subuh, Maghrib dan Isya’), imam perlulah membaca ayat-ayat al-Quran mengikut muwaalat (turutan sususan surah dalam al-Quran). Bacaan surah tidak harus membaca secara menyongsang misalnya membaca surah An-Nash pada rakaat pertama, kemudian membaca al-Kaafiruun pada rakaat kedua. Bacaan surah selepas membaca al-Fatihah dalam rakaat pertama dan kedua hukumnya sunat haiat. Pun begitu, sebagai mencapai kesempurnaan solat bacaan ini tidak harus diabaikan. Rasulullah S.A.W membaca surah yang lebih panjang pada rakaat pertama berbanding rakaat kedua kecuali dalam solat Jumaat dan sunat hari raya. Dalam solat-solat ini nabi membaca surah al-A’laa (sabbihis) pada rakaat pertama dan al-Ghaasyiah pada rakaat kedua. Surah al-Ghaasyiah lebih panjang daripada al-A’laa iaitu 26 ayat. Sedangkan al-A’laa hanya 19 ayat. Selain daripada ini, bacaan surah hendaklah mengikut keutamaan (al-Aulaa) iaitu dari segi muwaalatnya.
Bagaimana dengan seseorang membaca surah al-Falaq pada rakaat pertama kemudian an-Naas pada rakaat kedua? Jika dilihat, an-Naas lebih panjang daripada al-Falaq. Jika an-Naas dibaca keseluruhannya, ia disebut sebagai membelakangkan sunnah (Khilaf as-Sunnah). Manakala jika dibaca secara menyongsang, ia disebut sebagai membelakangkan keutamaan (Khilaf al-Aulaa). Ulama membahaskan hal ini dengan menyebut, surah An-Naas perlulah dibaca pada rakaat kedua dengan syarat ayat yang dibaca menyamai bilangan ayat surah al-Falaq atau lebih pendek daripada itu. Contoh kedua khilaf al-Aulaa berlaku sebagaimana berikut. Seseorang membaca surah al-Humazah dalam rakaat pertama, kemudian membaca surah al-Quraisy dalam rakaat kedua. Walhal jika dilihat muwaalat surah, al-Fiil lebih utama dan lebih pendek juga berbanding dengan surah al-Humazah. Hal ini berbeza jika membaca surah at-Tiin dalam rakaat pertama, kemudian membaca surah al-Qadr dalam rakaat kedua. Hal ini bermakna jika membaca surah al-‘Alaq (19 ayat), tindakan itu sudah termasuk dalam khilaf as-Sunnah, melainkan kalau dibaca setakat ayat yang kelapan kerana surah at-Tiin mengandungi 8 ayat sahaja.
Begitu juga halnya dengan amalan solat sunat Taraweh. Imam memulakan bacaan bermula surah At-Takaatsur kemudian membaca surah al-Ikhlaash dalam rakaat kedua. Bacaan dalam rakaat kedua diulang-ulang. Adalah lebih elok sekiranya dibaca mengikut muwaalat surah sehingga lengkap dua puluh  rakaat Taraweh tersebut.
Ringkasan kuliah Maghrib, 24 Jan 2010, Ust. Abdul Aziz Arof, Kitab Fathul Muin (halaman 75-76), Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.

Jumaat, Januari 22, 2010

Tabloid baru keluaran KKSB


Dan memang responsif.
Hari ini saya melangkah ke gerai akhbar dan sudah membelinya.


Terima kasih kepada pihak terbabit kerana mengambil tindakan yang betul.

Ini bukan surat cinta


Saudara Pengarang,

Saya telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung iklan video pornografi yang dihantar melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Mesej dihantar menggunakan nombor telefon bimbit bukan nombor pelayan (server). Saya percaya bahawa pihak SKMM sudah memanjangkan perkara tersebut kepada pihak Maxis memandangkan pengiklan menggunakan nombor Maxis. Pihak Maxis menghubungi saya dan memaklumkan bahawa mereka tidak boleh menghalang aktiviti pemilik nombor berkenaan. Pada hemat saya, hal ini disebabkan mereka mahu menjaga pelanggan dan tidak mahu kehilangan pendapatan. Pegawai perkhidmatan pelanggan Maxis tersebut mencadangkan saya membuat laporan polis atau tidak menghiraukannya. Tidakkah perkara itu kurang memberi keselesaan dan berpotensi menggugat keamanan rumahtangga? Bayangkan jika suatu hari seorang Imam menerima mesej seperti ini dan kebetulan pula mesej itu dibaca oleh isterinya. Tidakkah ini suatu yang mengaibkan imam tersebut? Saya tidak tahu bagaimana penghantar mesej mendapatkan nombor telefon bimbit saya. Saya langsung tidak mengenali pemilik nombor terebut. Beberapa rakan sepejabat saya turut mendapat mesej yang sama dan mereka juga kurang selesa.
                Sebagai langkah mudah yang saya fikir dapat menyelesaikan masalah ini ialah:
Pertama: SKMM mungkin boleh menasihat secara terus kepada pemilik nombor telefon agar tidak mengulangi perkara tersebut. Gunalah apa-apa fakta perundangan yang boleh menyebabkan pesalah laku itu berhenti melakukan perbuatannya. Saya sudah beberapa kali menasihati penghantar mesej tersebut tetapi dia langsung tidak mengendahkannya.
Kedua: Pihak penyedia perkhidmatan rangkaian perlu menyediakan satu kaedah untuk memberi kebebasan kepada pengguna telefon bimbit menghalang/menyekat fungsi panggilan atau SMS daripada nombor-nombor tertentu.
Semoga pendapat ini dapat membantu saya dan orang lain yang terganggu apabila menerima iklan atau mesej berbaur lucah.

Sekian, terima kasih.
Naimisa, Sentul.

HSPM ke-18


Kenangan bersama Hj. Azizi Abdullah, salah seorang novelis yang dikagumi.
Saya khabarkan kepada beliau, "Buku habis." Tapi sebetulnya, "Belum habis, cuma tidak dipamer atas rak bahagian novel." 'Apa yang tidak kena sebenarnya?' fikir saya.


Sahabat saya Nimoiz TY yang memenangi hadiah. Tahniah, Nik!

Selasa, Januari 19, 2010

Hebahan konvensyen



Maklumat lanjut di sini.

Telur berdiri.

Maha suci Allah. Apabila berlaku gerhana matahari, air laut pasang. Dan ada kaitannya dengan keseimbangan graviti.

Dan itulah yang dibuktikan dalam kajian dalam gambar di atas. Gambar dirakam detik 3.40 petang, 16 Jan 2010. Eksperimen sekumpulan pelajar dari UM. Dan ini satu lagi ilmu baharu buat kita semua.

Ahad, Januari 17, 2010

Syirik

Hakikat syirik ada empat


  1. Meninggalkan solat atau main-main dengan solat.

  2. Merasakan dengan kudrat yang diberi Allah adalah hak milik sendiri. Sebagai contoh orang yang menyumbangkan sesuatu untuk pembinaan masjid berbangga dengan mengatakan, "Kalau bukanlah aku yang memberi sumbangan, masjid ini tidak wujud."

  3. Merasakan ilmu yang diberi Allah milik sendiri. Sebagai contoh ilmuwan yang merasakan kerana dengan kepadandaiannya sendiri sesuatu perkara memberi manfaat kepada manusia lain. Walhal ilmu itu tidak diperoleh melainkan dengan izin Allah jua.

  4. Merasakan sesuatu amalan (yang jelas salah/sesat) sebagai ibadat yang disyariatkan. Sebagai contohnya, wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Mereka berpendapat kononnya wanita zaman dahulu menutup rambut kerana mahu menghalang pasir/debu mengenai rambut.


Syirik adalah suatu dosa yang tidak diampunkan Allah. Firman Allah, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar." (An-Nisaa:48)


Penyakit-penyakit syirik


  1. Berbangga dengan sedikit ilmu yang ada sehingga merasakan jika tidaklah dengan kepandaiannya sesuatu perkara tidak akan berlaku/wujud.

  2. Menjadikan alim ulama atau orang yang dekat dengan Allah sebagai perantara untuk memohon hajat sehingga berlebih-lebihan memujanya. Adapun bertawasul dengan alim ulama tidak salah tetapi beriktikad bahawa merekalah yang mempunyai kuasa untuk memenuhi sesuatu hajat adalah iktikad yang sesat dan syirik kepada Allah.

  3. Mengambil/melantik tuhan dari kalangan ulama (arbaaban) selain Allah. Kerana mengagumi seseorang tokoh, orang membuat patung dan menyembahnya pula. Hal inilah yang berlaku pada zaman nabi Nuh, nabi Shuib sehinggalah berpanjangan pada zaman Jahiliyyah seterusnya hingga sekarang. Yahudi mengatakan ‘Uzair anak Tuhan. Begitu juga Nasrani mengatakan Isa al-Masih sebagai anak Tuhan. Rujuk ayat 31 surah At-Taubah.

  4. Mengatakan sesuatu yang halal atau haram dalam syariat datangnya dari nabi Muhammad, bukan daripada Allah. Sebagai contoh, menuduh nabi mengharamkan amalan riba kerana mahu membantut kuasa ekonomi bukan Islam. Hal ini samalah dalam konteks Malaysia hari ini sesetengah orang mengatakan hukum hudud adalah rekaan sesetengah parti, Hudud PAS - misalnya*. Walhal jelas hudud dinyatakan secara naqli dalam Al-Quran.

  5. Bersumpah dengan nama selain Allah. Sebagai contoh berkata, “Demi ibuku.” Atau “Demi bapaku.” Bersumpah hanya boleh menggunakan nama Allah dengan menyebut, “WaLLAH,” atau “WabiLLAH,” atau “Watallah.”
  6. Menunaikan haji bukan kerana Allah. Sesetengah orang apabila menunaikan haji mahu dipanggilkan haji atau hajah. Mereka marah kalau orang tidak memanggil mereka dengan gelar ‘Tuan Haji,’ atau ‘Mak Hajah,’ atau ‘Hajah’ yang menggambarkan mereka sudah ke Makkah menunaikan rukun Islam yang kelima itu.

  7. Bernazar dengan menyembelih haiwan kepada berhala-hala atau bukan kerana Allah. Sebagai contoh amalan puja laut. Sebelum mahu menangkap ikan, dikorbankan kerbau kononnya dengan korban itu semangat laut akan menjaga keselamatan mereka sepanjang berada di laut.

  8. Menamakan anak dengan nama-nama yang mengaitkannya dengan berhala atau orang yang dimuliakan. Sebagai contoh menamakan anak dengan nama ‘Abdu al-Uzza (Abdul Uzzza) atau ‘Abdu al-Latta (Abdul Latta). Uzza dan Latta adalah nama berhala. Atau menamakan ‘Abdul Muhammad. ‘Abdu membawa maksud hamba. Penggunaan nama ‘Abdu hendaklah dipadankan dengan nama-nama Allah sahaja.


Bagaimana mengubat penyakit syirik?

Dalam al-Quran dinyatakan kaedah bahawa Allah mengutuskan ar-Rasul sebagai cara membasmi kemusyrikan. Maka tidak lain tidak bukan usaha dakwah perlu dijalankan untuk memahamkan masyarakat tentang syirik sama ada Islam atau bukan Islam. Dakwah umpama menghadirkan menghadirkan cahaya. Apabila cahaya hadir, dengan sendirinya kegelapan akan beredar. Sebaliknya jika cahaya dijauhkan (tidak dilakukan kegiatan dakwah) kegelapan (dakyah) akan mengambil tempat.


Nota kaki:
*Tambahan contoh yang ditambah sendiri oleh penulis.

Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik (arbaaban) selain dari Allah dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Mariam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan. (At-Taubah: 31)


-::: Nota kuliah Subuh, Ust. Hj. Zawari al-Hafiz, 17 Jan 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul. (Untuk rekod, ini kuliah pertama al-Fadhil ustaz di masjid Al-Hidayah Sentul).

Sabtu, Januari 16, 2010

Memanfaatkan Reader

Melanggan masukan blog menggunakan Reader (Google). URL: http://reader.google.com. Log masuk menggunakan nama (username) akaun Google yang biasa untuk Gmail.

Teks


Apabila anda mengikut sesuatu weblog, senarai weblog akan dipaparkan dengan nama yang diset dalam tag title. Nombor dalam kurungan menunjukkan entri weblog yang belum dibaca.


Pun begitu pemilik Reader boleh menamakan semula weblog untuk memudahkan pengecaman.



Anda tidak perlu melawat weblog yang diikuti. Entri weblog dipaparkan di sebelah kanan.


Sepuluh weblog Google yang disyorkan pada pagi Jumaat jam 8.00 pagi.


  1. Islam Cintaku

  2. sahabatmusleem

  3. rebeccailham

  4. ulasbuku

  5. minggupenulisremaja

  6. anwarridhwan

  7. mawarshafie

  8. sufigirl

  9. tukartiub

  10. idhamlim.


Kelebihan menggunakan Reader ialah anda boleh membaca entri blogger dalam Draf, iaitu entri yang belum disiarkan kepada umum dalam weblognya.

Jumaat, Januari 15, 2010

Membaca Amin dalam solat

Dinukilkan juga dalam kitab ini tentang bacaan Rabbiqhfirli(Rabbku, ampunilah aku) (berdasarkan hadis hasan soheh). Sheikh Ali Subram Sulasi berkata, "Tidak menjadi kesalahan jika menambah dengan wa li waalidayya (dan kedua-dua ibu bapaku)".


Selepas menghabiskan bacaan Fatihah, disunatkan membaca Amin. Hadis Bukhari nombor 747 berbunyi, "Apabila imam menyebut Amin, maka sebutlah Amin. Maka sesungguhnya sesiapa yang bersamaan bacaan Amin nya dengan bacaan Amin malaikat, diampunkan dosa-dosa terdahulu."


Terdapat empat wajah Amin dalam solat:


  1. Menyebut ‘A’ dengan kadar satu harakat dan memanjangkan ‘miin’ dengan kadar empat – enam harakat. Bermaksud, "Perkenankanlah."

  2. Membaca dengan memanjangkan sebutan Alif (dengan kadar dua harakat) dan miin (empat – enam harakat). Bermaksud, "perkenankanlah permohonan kami."

  3. Memanjangkan sebutan ‘A’ dengan kadar enam harakat dan mensaqalkannya ke dalam huruf miim seperti membaca hukum mad lazim kalimi mustaqqal. "Aaaaaammiiiiiiin." Maksudnya, "Kami benar-benar datang kepada-Mu, dan hanya Engkaulah yang layak menerima permohonan kami."

  4. Menyebut ‘Aa’ dengan imalah, iaitu melewehkan bunyi ‘Aa’ (sebutannya menjadi Eemiin). Bermaksud, "Hanya Engkau yang dapat memberi petunjuk."

Dalam mazhab Syafie, disunatkan menyebut Amin seperti dalam (2) di atas seperti yang biasa kita dengar.


(Rumusan kuliah Maghrib, Uts. Abdul Aziz Arof, 26 Disember 2009, Masjid al-Hidayah, Sentul. Kitab Fathul Muin, ms 72 – 73)

Ahad, Januari 10, 2010

Resensi Menggapai Puncak


  • Judul:Menggapai Puncak
  • Penulis:Razali Endun
  • ISBN:9789836294807
  • Halaman:253 muka surat
  • Cetakan:Pertama (2007)
  • Pengulas:Naimisa Yusof


Menggapai Puncak adalah sebuah novel yang dihasilkan dalam projek perolehan judul antara Dewan Bahasa dan Pusataka (DBP) dengan Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI). Sentuhan orang yang berpengalaman dalam dunia pengangkutan awam ini semestinya suatu yang memberangsangkan.


Kisah kejayaan seorang anak muda bernama Ujang, anak kelahiran Kuala Pilah dalam dunia korporat khususnya pengangkutan awam. Beliau merupakan Pengarah Urusan Salira Angkut Berhad. Dia memulakan kerjaya dengan bekerja di stesen minyak sebagai jurupam dan pencuci kereta. Ketika bekerja di stesen minyak itu, dia diperkenalkan secara langsung kepada Dr. Cempaka seorang pensyarah di Universiti Malaya. Dan kemudiannya Ujang berjaya melanjutkan pelajarannya di universiti atas dorongan Milah. Akhirnya Ujang berjaya menggenggam ijazah sarjana dalam bidang pengurusan dan pentadbiran awam. Setelah berjaya memiliki ijazah, Ujang memohon permit mengusahakan bas mini. Bermula dengan tiga buah dengan dibantu sepupunya Lamat dan Kasim, foreman yang berkerja satu tempat kerja dengannya. Akhirnya dia beralih ke bidang perkapalan untuk membekalkan kapal penumpang menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.


Menjadi ahli korporat yang berjaya menghadapi beberapa cabaran seperti amanah. Penulis mengetengahkan beberapa perkara penting dalam dunia korporat yang mesti dimurnikan seperti amalan rasuah, untung atas angin (konsep Ali Baba atau mutakhir ini francais), perhubungan dengan orang politik dan pengurusan perniagaan. Idea yang cuba disampaikan di samping kritikan terhadap perkara-perkara dasar itu sungguh menarik. Apakah tidak boleh dibuat suatu yang berbeza daripada amalan biasa? Orang-orang korporat rata-ratanya dalam persepsi umum tidak boleh lari daripada salah tanggap terlibat dengan rasuah, bantuan orang politik berpengaruh yang kemudiannya dipergunakan untuk kepentingan ahli politik dari segi kewangan, sikap sambil lewa dengan menyerahkan urusan perniagaan kepada bangsa lain dengan hanya mengambil untung atas angin. Dalam novel ini dinyatakan cabaran-cabaran serta dilema melibatkan ahli korporat membetulkan salah tanggap itu. Ujang digambarkan sebagai seorang yang jujur, tidak pernah meninggalkan solat serta tidak terlalu tamak. Dia lebih rela memandu sendiri bas mini yang diusahakannya di peringkat awal walaupun akhirnya permit bas mini ditamatkan.


Selain dunia perniagaan, penulis juga memasukkan unsur budaya Negeri Sembilan terutama melibatkan Adat Perpatih. Pembaca pasti berpuas hati dengan garapan kreatif penulis menggambarkan Adat Perpatih yang sinonim dengan 'Adat bersendi syarak, syarak bersendi Kitabullah'. Ujang dan Milah sebenarnya berasal dari suku yang sama sebelah induknya. Dalam Adat Perpatih, Ujang tidak boleh berkahwin dengan Milah. Mereka senasab iaitu Suku Paya Kumbuh yang berasal dari tanah Minang (muka surat 118). Tetapi dari segi syarak, mereka boleh berkahwin. Disebabkan itu, Ujang terpaksa keluar dari suku. Demikianlah yang dikatakan adat bersendi syarak, iaitu kefleksibelan adat mematuhi syarak. Syarak mengatasi adat dalam segenap perkara. Akhirnya Ujang berkahwin dengan Milah dan melalui upacara adat lan seperti kadim dan semenda. Bahagian yang memuatkan unsur budaya kedaerahan inilah yang menarik. Sekali gus membezakan cara penyampaian ceritanya dengan novel lain. Penulis menggunakan dialek Negeri Sembilan dalam dialog-dialog.


Cerita ini dimulakan dengan perjalanan Ujang daripada rundingan di Itali dengan syarikat pembekal kapal penumpang. Mr. Antonio mahu menaikkan kos setiap kapal sebanyak 30 peratus. Sebelum mendapat kata sepakat, dia terpaksa pulang kerana dimaklumkan induknya sakit. Ujang menyerahkan rundingan seterusnya kepada Ir. Dr. Irwan dan Faizul. Semasa dalam penerbangan itulah Ujang terkenang perjalanan hidupnya sehinggalah dia berjaya. Dalam perjalanan pulang, dia bertemu dengan pasangan Palestin yang kemudiannya salah seorang daripada mereka dibunuh di lapangan terbang Rom. Perjalanan pulang ini menemukan Ujang dengan Dr. Cempaka dan suaminya yang sedang bercuti. Kedua-dua mereka sudah bersara. Sebagai mengenang jasa mereka, Ujang menawarkan jawatan Pengarah Urusan kepada salah satu anak syarikat dalam kumpulannya. Itulah sahaja cara Ujang membalas jasa baik kedua-dua orang manusia yang pernah membantunya dahulu. Setelah menyambung penerbangan, kapal terbang berhenti di Dubai sebelum berlepas semula ke Kuala Lumpur. Dia bertemu pula dengan Muskil yang pernah cuba menipunya dahulu. Kebetulan Muskil terpaksa menukar penerbangan dari Makkah selepas menunaikan umrah kerana kapal terbang asal rosak. Dalam masa yang sama, Ir. Dr. Irwan menyampaikan khabar gembira tentang rundingan pembelian kapal. Tiba-tiba berlaku kecemasan. Hal ini memaksa juruterbang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Colombo.

Penerbangan semula ke Kuala Lumpur penuh dengan tanda tanya. Ujang menerima beberapa mesej ucapan tahniah. Apakah disebabkan dia terselamat daripada nahas atau kejayaan menyelesaikan rundingan kapal? Apakah sebenarnya kesudahan kepada ucapan tahniah itu? Benarkah induknya benar-benar sakit? Apakah yang dijustifikasikan oleh Milah memintanya pulang segera dengan alasan kononnya induknya sakit? Semua ini akan terjawab setelah anda membaca novel ini.


Ralat:
Novel ini mempunyai satu ralat yang ketara iaitu nama watak isteri Tan Sri Kunak.
Pada muka surat 213 dicatat begini: Melor rupa-rupanya isteri kedua Tan Sri Kunak.
Manakala dalam muka surat 250, ditulis begini: Pemegang saham utamanya ialah Puan Cempaka, isteri Tan Sri Kunak. Dan diperincikan Puan Cempaka seperti berikut (muka surat 251) – Cadangan pengambilalihan saham-sahamnya dalam syarikat oleh Samudera Berhad yang dikuasai oleh Tan Sri Kunak melalui isteri keduanya sebagai proksi benar-benar menguja emosi dan pendirian Ujang.
Sebetulnya, pada halaman 250 itu, Puan Melor, bukan Puan Cempaka.


Jumaat, Januari 08, 2010

Mengapa kita tidak berdialog?

Pada zaman kemegahan empayar Rom, terdapat dua golongan Yahudi di Palestin. Satu di Bukit Sayun (Zayyun) dan satu lagi di Bukit Samir (Samiri). Bukit Sayun merupakan tapak yang menempatkan Haikal Sulaiman (singgahsana nabi Sulaiman). Pada asalnya, bani Israel di Bukit Sayun didakwahkan nabi Isa kepada agama tauhid. Tetapi mereka menolak dakwah itu dengan mendakwa nabi Isa sebagai anak zina. Mereka inilah kemudiannya mengasaskan gerakan Zionis. Apabila nabi Isa beralih kepada kelompok bani Israel di Bukit Samir, baginda mendapat beberapa orang pengikut yang dikenal sebagai al-Hawariyyun. Mereka yang berpegang kepada akidah yang benar amat kecil bilangannya seperti pendita-pendita yang menjadi guru kepada Salman al-Farisi. Seorang lagi pendeta Yahudi yang terkenal dan sempat hidup di zaman nabi ialah Yahuza. Pendita yang alim inilah menasihati Abu Talib agar menjaga nabi Muhammad daripada dilihat oleh Yahudi. Peristiwa ini berlaku dalam perjalanan dagang Abu Talib ke Syam.


Pun begitu, orang-orang yang menolak nabi Isa menjalankan usaha untuk merosakkan ajaran tauhid itu. Mereka yang berada di Bukit Sayun menulis surat kepada pembesar Rom, memandangkan Palestin di bawah takluk empayar besar tersebut. Seorang pembesar Rom bernama Marcus berminat mengumpul dan membukukan surat-surat yang dihantar kepadanya. Akhirnya terbitlah Injil yang diseleweng dan dinamakan sebagai Injil Marcus. Kemudian daripada itu, terdapat penulis lain pula melakukan usaha yang sama sehingga terbitnya kitab-kitab lain seperti Injil Matta, Injil Luqaa dan Injil Muhannast. Empat versi inilah yang diiktiraf oleh kerajaan Rom. Setiap kandungan kitab ini bertentangan antara satu sama lain. Manakala segolongan yang masih berpegang dengan akidah yang benar dikenal sebagai Unitarian tetapi mereka ditekan hebat. Unitarian masih berpegang bahawa Allah, hanya Tuhan yang sebenar-benarnya. Akibat tekanan itu mereka dibunuh sehingga terpaksa bersembunyi di kawasan pedalaman.


Al-Quran mengisahkan bahawa nabi Isa mengajarkan kaumnya bani Israel tentang keesaan Allah. Firman Allah yang bermaksud, "Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al-Masih Isa Ibni Mariam itu hanya seorang Pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Mariam dan (dia juga tiupan) roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhluk-Nya).” (An-Nisaa: 171)


Selain ayat ini, konsep keesaan Allah disebut dalam ayat 17, 72-76 surah Al-Maidah. Mari kita lihat ayat-ayat dalam surah al-Maidah. Ayat 17 bermaksud, "Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Mariam". Katakanlah (wahai Muhammad): (Dakwaan itu tidak benar) kerana siapakah yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Dia mahu membinasakan Al-Masih Ibni Mariam berserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya? Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Dia menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." Manakala dalam ayat berikutnya, firman Allah berbunyi, "Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Mariam. Padahal Al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga dan tempat kembalinya ialah Neraka dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.


Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa (Allah) dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani. Tiadalah Al-Masih Ibni Mariam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana Kami jelaskan kepada mereka (Ahli Kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu). Katakanlah (wahai Muhammad): Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."


Maka jelaslah bahawa Kristian yang disebarkan mutakhir ini bukanlah ajaran sebenar. Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa, nabi Isa hanya diutuskan kepada bani Israel. Bermakna penyebaran agama atau pecahan daripada ajaran itu dengan sendirinya tertolak setelah datangnya Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad. Kedua, jelaslah bahawa konsep triniti yang dipegang oleh mereka jauh dari kebenaran hakiki. Senario di Mesir suatu ketika dahulu dikuasai oleh ajaran Kristian. Memandangkan mereka dari bangsa yang sama, proses dialog agama mudah berlaku. Sebab itu bukanlah suatu yang menghairankan jika di Mesir masjid dan gereja dibina sebelah menyebelah, hanya dipisahkan oleh jalan. Apabila berlaku dialog, pendeta-pendeta Kristian tidak mempunyi hujah untuk menegakkan dakwaan mereka tentang konsep triniti. Akibatnya, populasi umat Islam di Mesir bertambah dari 20 peratus kepada 80 peratus sehingga sekarang.


Hal ini juga turut berlaku di negara Eropah. Misalnya di England terdapat seorang penduduk Arab yang berhijrah ke sana menterjemah al-Quran dalam bahasa Inggeris. Hasilnya bermula tahun 70-an Islam mula mendapat tempat di kalangan orang-orang Eropah. Komuniti Islam mewujudkan pusat dakwah dan berdialog dengan masyarakat bukan Islam terutama Kristian. Tentu sahaja anda kenal arwah Ahmad Deedat yang terkenal sebagai seorang pendakwah yang berani dan bijak berpidato dengan khalayak Barat, dan beliau amat pakar dalam bidang perbandingan agama. Banyak sekali hujah-hujah yang dibuktikan benar dan mengabsahkan kepalsuan ajaran Kristian yang berjaya dilakukannya. Islam mula mendapat tempat di kalangan orang Barat setelah peristiwa pelanggaran Menara Pusat Dagangan (WTC) di Amerika. Senario ini amat membimbangkan misiniori Kristian sehingga menjalankan usaha dakyah mereka di kalangan umat Islam yang miskin. Misalnya di Afrika, diedarkan cakera padat (CD) yang kononnya membacakan ayat al-Quran, tetapi sebenarnya Bible.


Belakangan ini, kita melihat terdapat usaha yang pesat dijalankan juga di Malaysia. Mereka terpaksa menggunakan semula pegangan satu mahzhab yang mereka sendiri menolaknya iaitu mazhab Unitarian dengan mengatakan Allah sebagai tuhan mereka. Walhal dalam terjemahan bible samada versi Inggeris atau Indonesia, God diterjemah dengan ‘god’ dan ‘tuhan’. Bukannya God yang merujuk kepada Allah. Kekeliruan ini sengaja ditimbulkan demi menarik segelintir masyarakat Melayu Islam yang kurang mantap akidahnya. Perkara inilah yang ditentang. Pun begitu, kita perlu mengambil sikap rasional dan proaktif seperti mengadakan dialog dengan pihak yang terlibat agar perkara ini dapat dijernihkan semula. Awas, tindak balas negatif seperti yang berlaku kini hanya akan memburukkan keadaan jika tidak ditangani dengan berhemah. Jangan kita terperangkap dengan kerangkap samar. Sebarang provokasi perlu dielak semampu mungkin. Soalnya mengapa dalam keadaan kita sebagai Islam yang memegang tampuk pemerintahan, mempunyai sekian banyak institusi agama Islam - tidak ada usaha yang tersusun untuk berdialog dengan orang bukan Islam? Khususnya Kristian.

Sabtu, Januari 02, 2010

Adab Azan dan Iqamat

Antara adab azan dan iqamat ialah orang yang azan hendaklah iqamat. Dalam suatu peristiwa Ziyad bin Abdillah diarahkan azan Subuh. Setelah selesai solat sunat sebelum fajar (sunat Subuh), Bilal berdiri untuk iqamat. Rasulullah menegur Bilal seraya meminta Ziyad iqamat.


Perkara 153: Pada bab yang menyatakan tegahan orang yang azan tanpa wuduk.
Imam At-Tirmizi mengeluarkan satu hadis dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud, “Tidak dibenarkan azan melainkan orang yang berwuduk.” (Laa yu-azzinu illa mutawadh-dhiun).
Imam Syafie menegaskan bahawa makruh hukumnya seseorang melaungkan azan dalam keadaan tidak berwuduk. Jika ketika azan, tiba-tiba terbatal wuduk maka diharuskan dia meneruskan azan.


Perkara 154: Pada bab yang menyatakan bahawa orang yang azan menghadap kiblat.
Orang yang azan hendaklah berdiri menghadap kiblat seluruhnya. Sebahagian mukanya boleh dihalakan ke kanan dan kiri ketika menyebut lafaz haiyya ‘ala ash-sholah dan haiyya ‘ala al-falah seperti yang dilakukan oleh Bilal bin Rabah.


Perkara 155, bilakah makmum berdiri membuat saf.
Apabila iqamat, terdapat beberapa qaul (pendapat) tentang waktu makmum perlu berdiri membina saf solat.

  • Ulama salaf (adh-Dhahhaq, Abu Sufian As-Sauri) dan Imam Syafie berpendapat bahawa makmum harus berdiri setelah selesai iqamat.

  • Imam Ahmad Bin Hanbal berpendapat saf dibina seawal-awal iqamat dilaungkan.

  • Imam Malik berpendapat, saf perlu dibina ketika bilal mengucapkan haiyya ‘ala ash-sholah….

  • Imam Abu Hanifah dan ulama Kuffah berpendapat, saf perlu dibina ketika bilal mengucapkan qad qaamati ash-sholah….


-------------------

Rumusan Kuliah Maghrib, Ust. Raihan Abdul Aziz, 16 Muharram 1431H, (01.01.2010), Masjid al-Hidayah, Sentul, KL. Kitab Bahrul Mazi, Jilid 2.

Jumaat, Januari 01, 2010

Kalau ada soalan ketiga...


Tahniah saya ucapkan kepada al-Fadhil Ustaz Ellias Zakaria kerana dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP). Beliau memulakan tugas secara rasmi bermula 15 Muharram 1431H (01.01.10). Pernah dahulu ketika beliau menjadi Pengarah Pusat Islam USM, membuat suatu hal yang bermakna kepada saya. Ya, secara spesifiknya. Dalam lawatan beliau meraikan kakitangan Pusat Islam di kampus kejuruteraan, dia pernah bertanya polisi yang ditetapkan, apakah dilaksanakan juga seperti yang dibuat di kampus Minden? Ketika itu saya sudah kira-kira enam bulan menginap di Bilik Pembantu Imam. Soalannya kepada Tn. Hj. Md Yusof Abdul Rahim, “Adakah Pembantu Imam diberi elaun?” Maka untuk bulan berikutnya sehinggalah saya menamatkan khidmat sebagai Pembantu Imam, saya diberi sedikit elaun. Saya sebenarnya dalam dilema apabila soal elaun ditimbulkan. Malah saya bertanya pada diri, "Apakah nilainya khidmat saya (di sisi-NYA) kalau diberi elaun?” Perlu diketahui, Pembantu Imam itu bukan satu jawatan rasmi dalam carta organisasi Pusat Islam kerana tidak ada dalam peruntukan universiti seorang pelajar boleh memegang mana-mana jawatan. Hal itu tidak menjadi masalah kepada saya.

Dewasa ini banyak orang membincangkan masalah berkaitan generasi masjid. Dalam peristiwa hijrah, Rasulullah mencontohkan umatnya bahawa masjid adalah pusat kekuatan umat Islam. Syukurlah, kehidupan di universiti menjadikan saya tetap istiqamah setelah melangkah ke alam kerjaya. Sungguh bijak aturan-NYA. Di sini saya berkerja dan menginap di flat yang berhampiran dengan masjid. Sehingga satu dua kali saya ditanya, “Mahukah kalau saya cadangkan nama kamu untuk menjadi imam?” Sudah dua kali perkara itu ditanyakan. Saya belum mahu memberi jawapan pasti. Saya hanya menjawab, “Layakkah saya?” Dari segi kelayakan akademik, saya memang tidak layak. Kenapa? “Kalau bekas mufti pun tidak layak menyampaikan dakwah, apa pula yang ada pada saya? Saya tidak pernah bersekolah di sekolah agama.” Apa pun, saya akan fikir dan terus mempertimbangkan kemungkinannya. Asal sahaja datang kepada saya soalan yang sama buat kali ketiganya, “Hendak jadi imam tak?”