Hakikat syirik ada empat
- Meninggalkan solat atau main-main dengan solat.
- Merasakan dengan kudrat yang diberi Allah adalah hak milik sendiri. Sebagai contoh orang yang menyumbangkan sesuatu untuk pembinaan masjid berbangga dengan mengatakan, "Kalau bukanlah aku yang memberi sumbangan, masjid ini tidak wujud."
- Merasakan ilmu yang diberi Allah milik sendiri. Sebagai contoh ilmuwan yang merasakan kerana dengan kepadandaiannya sendiri sesuatu perkara memberi manfaat kepada manusia lain. Walhal ilmu itu tidak diperoleh melainkan dengan izin Allah jua.
- Merasakan sesuatu amalan (yang jelas salah/sesat) sebagai ibadat yang disyariatkan. Sebagai contohnya, wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Mereka berpendapat kononnya wanita zaman dahulu menutup rambut kerana mahu menghalang pasir/debu mengenai rambut.
Syirik adalah suatu dosa yang tidak diampunkan Allah. Firman Allah, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar." (An-Nisaa:48)
Penyakit-penyakit syirik
- Berbangga dengan sedikit ilmu yang ada sehingga merasakan jika tidaklah dengan kepandaiannya sesuatu perkara tidak akan berlaku/wujud.
- Menjadikan alim ulama atau orang yang dekat dengan Allah sebagai perantara untuk memohon hajat sehingga berlebih-lebihan memujanya. Adapun bertawasul dengan alim ulama tidak salah tetapi beriktikad bahawa merekalah yang mempunyai kuasa untuk memenuhi sesuatu hajat adalah iktikad yang sesat dan syirik kepada Allah.
- Mengambil/melantik tuhan dari kalangan ulama (arbaaban) selain Allah. Kerana mengagumi seseorang tokoh, orang membuat patung dan menyembahnya pula. Hal inilah yang berlaku pada zaman nabi Nuh, nabi Shuib sehinggalah berpanjangan pada zaman Jahiliyyah seterusnya hingga sekarang. Yahudi mengatakan ‘Uzair anak Tuhan. Begitu juga Nasrani mengatakan Isa al-Masih sebagai anak Tuhan. Rujuk ayat 31 surah At-Taubah.
- Mengatakan sesuatu yang halal atau haram dalam syariat datangnya dari nabi Muhammad, bukan daripada Allah. Sebagai contoh, menuduh nabi mengharamkan amalan riba kerana mahu membantut kuasa ekonomi bukan Islam. Hal ini samalah dalam konteks Malaysia hari ini sesetengah orang mengatakan hukum hudud adalah rekaan sesetengah parti, Hudud PAS - misalnya*. Walhal jelas hudud dinyatakan secara naqli dalam Al-Quran.
- Bersumpah dengan nama selain Allah. Sebagai contoh berkata, “Demi ibuku.” Atau “Demi bapaku.” Bersumpah hanya boleh menggunakan nama Allah dengan menyebut, “WaLLAH,” atau “WabiLLAH,” atau “Watallah.”
- Menunaikan haji bukan kerana Allah. Sesetengah orang apabila menunaikan haji mahu dipanggilkan haji atau hajah. Mereka marah kalau orang tidak memanggil mereka dengan gelar ‘Tuan Haji,’ atau ‘Mak Hajah,’ atau ‘Hajah’ yang menggambarkan mereka sudah ke Makkah menunaikan rukun Islam yang kelima itu.
- Bernazar dengan menyembelih haiwan kepada berhala-hala atau bukan kerana Allah. Sebagai contoh amalan puja laut. Sebelum mahu menangkap ikan, dikorbankan kerbau kononnya dengan korban itu semangat laut akan menjaga keselamatan mereka sepanjang berada di laut.
- Menamakan anak dengan nama-nama yang mengaitkannya dengan berhala atau orang yang dimuliakan. Sebagai contoh menamakan anak dengan nama ‘Abdu al-Uzza (Abdul Uzzza) atau ‘Abdu al-Latta (Abdul Latta). Uzza dan Latta adalah nama berhala. Atau menamakan ‘Abdul Muhammad. ‘Abdu membawa maksud hamba. Penggunaan nama ‘Abdu hendaklah dipadankan dengan nama-nama Allah sahaja.
Bagaimana mengubat penyakit syirik?
Dalam al-Quran dinyatakan kaedah bahawa Allah mengutuskan ar-Rasul sebagai cara membasmi kemusyrikan. Maka tidak lain tidak bukan usaha dakwah perlu dijalankan untuk memahamkan masyarakat tentang syirik sama ada Islam atau bukan Islam. Dakwah umpama menghadirkan menghadirkan cahaya. Apabila cahaya hadir, dengan sendirinya kegelapan akan beredar. Sebaliknya jika cahaya dijauhkan (tidak dilakukan kegiatan dakwah) kegelapan (dakyah) akan mengambil tempat.
Nota kaki:
*Tambahan contoh yang ditambah sendiri oleh penulis.
Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik (arbaaban) selain dari Allah dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Mariam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan. (At-Taubah: 31)
-::: Nota kuliah Subuh, Ust. Hj. Zawari al-Hafiz, 17 Jan 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul. (Untuk rekod, ini kuliah pertama al-Fadhil ustaz di masjid Al-Hidayah Sentul).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan