Ahad, November 16, 2008

Catatan dari laman taman syurga

Kala malam, fajar kazib masih berbalam. Hujan tidak henti-henti. Ada baiknya jika aku beriktikaf di masjid ini. Setelah turun dari pejabat, aku tidak mendapat tempat di dalam bas yang sesak dengan manusia. Manusia pekerja yang dikatakan berpusu-pusu pulang setelah kepenatan.
Hujan. Solat jamaah hanya satu saf. Kemudian bangkit selepas solat nawafil ustaz yang ditugas menyampaikan kuliah Maghrib. Aku toleh kiri kanan. Kiri kanan dan belakang. Lapan orang makmum masih duduk untuk mengikuti kuliah. Muqaddimah ustaz pada malam itu sinis sekali. “Maklum sahaja, hari hujan. Mungkin yang lain-lain kepayahan.”
Menurut ustaz, ada sekali Rasulullah bimbang apabila hujan. Menurut hadis yang diceritakan ustaz, nabi bimbang sekiranya hujan bukan lagi hujan rahmat. Tidakkah pada zaman Nabi Nuh, hujan diturunkan untuk menenggelamkan manusia? Hatta Jabal Judi yang disangka tinggi oleh anak Nabi Nuh juga tenggelam.
Ustaz lalu menyambung kuliahnya. “Malam ini kita sambung pengajian tafsir al-Quran kita bermula ayat 40 hingga 43, surah al-Baqarah.”
Lalu dibacakan ayat disusuli terjemahan harfiahnya. “Wahai bani Israel, ingatlah nikmat-nikmat yang Aku (Allah) kurniakan ke atas kamu dan tunaikanlah perjanjian di antara kamu dengan Allah, dan kepadaku kamu bertaqwa. Dan berimanlah apa yang diturunkan oleh-Ku yang membenarkan kandungan kitab kamu dan janganlah kamu tergolong dari kalangan orang-orang yang ingkar (kepada isi kandungannya) dan jangan kamu membeli ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit, dan kepadaku kamu bertaqwa. Dan janganlah kamu mencampurkan kebenaran dengan kebatilan, dan kamu menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya.”
Pertama sekali dihuraikan siapa bani Israel. Israel dalam bahasa Ibrani (Hebrew) adalah seperti berikut: ‘isra’ berakna hamba, ‘iil’ (el) bermakna Allah. Siapakah hamba Allah yang dimaksudkan? Dialah juga nama Nabi Ya'aqub alaihissalam (a.s) dalam bahasa Ibrani. Nabi Ishak mempunyai dua orang anak, pertama Ibrahim a.s yang dilahirkan oleh Siti Hajar (isteri kedua), manakala Ismail a.s dilahirkan oleh Siti Sarah. (Tambahan isi penulis: Sebab itu dalam urutan nama nabi dalam ayat Quran berbunyi ‘Ibrahiima wa Ismail wa Ishaqa wa Ya’qub wal Asbaatho’....). Manakala Ya’kub a.s adalah anak kepada nabi Ishak a.s. Kemudian ustaz berkongsi pesanan mu’allimnya di Jordan. “Maka kita tidak boleh berkata, orang-orang yang memusuhi umat Islam Palestin itu Israel, bahkan mereka al-Yahud (Yahudi). Kerana Israel itu adalah hamba Allah yang ta’at.” Hal ini bermakna dari segi konsep makna, negara Israel tidak wujud bahkan lebih cocok dengan nama negara Yahudi!
Tetapi orang Yahudi melalui gerakan Zionis tetap menamakan negara haram mereka di bumi Palestin sebagai Israel. Kenapa? Tidak lain tidak bukan kerana kepercayaan mereka akan kemuliaan kerana bersalasilah dari nabi Ya’kub a.s. Keangkuhan ini sangat jelas apabila mereka mendakwa sebagai nahnu abnaa-uLLAHu wa ahibbauhu – ‘kami anak-anak Tuhan (Allah) dan bangsa yang paling disukainya’. Walhal dalam sejarah, Yahudilah yang paling banyak membunuh nabi yang diutuskan kepada mereka.
Maka apakah nikmat yang perlu mereka ingat? Antaranya diselamatkan daripada ancaman Fir’aun. Ketika dikejar bala tentera, Allah menyelamatkan mereka dengan perintah membelah laut. Lalu Nabi Ibrahim a.s membelah laut. Mereka menyeberanginya kemudian diikuti Fir’aun tetapi Allah menenggelamkan Fir’aun yang zalim itu. Nikmat lain adalah ketika bani Israel disesatkan oleh Allah di sahara selama 40 hari 40 malam, Allah menurunkan al-manna dan salwa iaitu madu dari langit dan puyuh untuk dimakan. Seterusnya dinyatakan pula perjanjian di antara Allah dan Bani Israel. Iaitu seperti yang dinyatakan dalam surah Ash-Shof. Dikhabarkan kepada mereka bahawa akan lahir nabi akhir zaman iaitu Ahmad (Nabi Muhammad S.A.W). Tetapi mereka memungkirinya.
Bani Israel (yakni orang Yahudi) mengakui kebenaran nabi Muhammad tetapi mereka berkata, “Nabi Muhammad hanya diutuskan kepada bangsa Arab.”
Allah membalas hujah Yahudi ini dengan ayat-Nya “wa maa arsalnaaka illaa rahmatan li al-‘alamin” (Tidaklah Kami utuskanmu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam). Ketika orang musyrikin Makkah bimbang pengaruh nabi Muhammad tersebar ke Yathrib, mereka telah memaklumkannya kepada Yahudi. Maka pendeta Yahudi di Madinah meminta mereka memusuhi Rasulullah. Hal inilah yang dimaksudkan dengan mencampurkan kebenaran dengan kebatilan. Manakala menyembunyikan kebenaran pula merujuk kepada perbuatan Yahudi menyorok kebenaran kenabian nabi akhir zaman seperti yang dinyatakan dalam Taurat.

Dan tiba-tiba aku semacam sedar bahawa betullah, Israel merujuk kepada hamba Allah yang taat. Manakala yang derhaka digelar al-Yahud. Tidakkah di dalam satu ayat dalam surah Al-Maidah Allah berfirman, “Dilaknat bani Israel yang kafir……..” bermakna ada juga di kalangan mereka yang beriman dengan kandungan al-Kitab. Contohnya (yakni contoh yang hidup pada zaman nabi Muhammad) pendeta yang bernama Abdullah bin Salam (yang bertanya nabi darihal makanan pertama ahli syurga, bilakah berlaku kiamat dan bagaimana iras wajah seorang anak mirip wajah bapa atau ibunya) dan bapa saudara Khadijah yang buta, tetapi menjadi orang yang pertama meyakinkan Khadijah bahawa suaminya adalah nabi akhir zaman.

‘Ibrah (Pengajaran ayat)

1.Kita hendaklah sentiasa mensyukuri nikmat Allah.
Dan ustaz menambah, “Jika seorang ayah apabila berhadapan dengan anak dalam keadaan anaknya merungut. Misalnya mengeluh kerana makanan tidak sedap. Maka perlulah si ayah membandingkan keadaan mereka dengan orang-orang yang lebih teruk daripada mereka. Bayangkan, betapa di Sudan, Palestin dan mana-mana kawasan yang dilanda kebuluran, mereka sanggup mengutip kerak roti yang dibuang.
Selain itu, manusia juga kurang bersyukur kerana menyesali hari yang telah dilalui. Prof. Dr. ‘Aidh al-Qarni yang mengarang kitab La Tahzan (ketika di penjara). Katanya, “Mengapa kita perlu bersedih kerana semalam kita memakan roti basi. Sedangkan hari ini kita dapat memakan nasi yang lazat.” Kesedihan terhadap perkara yang berlalu menjadikan seseorang menyesal dan keluh kesah sedangkan masa tidak boleh dikitar semula.
2.Kita hendaklah sentiasa pegang janji.
Apabila kita membuat perjanjian dengan Allah, nescaya Allah akan menunaikan janjinya kepada kita. Menurut ustaz, “Dalam ayat yang kita bicarakan ini, janji Allah kepada bani Israel ialah keredhaan-Nya. Yakni mereka akan dimasukkan ke syurga jika patuh kepada perjanjian.”
Kata ustaz lagi, “Kita pun setiap kali solat, kita berjanji dengan Allah.”
Ketika membaca doa iftitah, kita menyebut “Sesungguhnya solatku dan amalanku, dan hidupku, dan matiku hanya kerana Allah Tuhan sekalian alam.”
Maka apakah kita berpegang pada janji ini? Malahan setiap manusia sejak alam arwah di malikul a’la (sebelum roh ditiup ke dalam rahim ibu) pernah membuat janji dengan Tuhan. “Alastu biRabbikum Qaalu bala syahidnaa...” (Tidakkah Aku Tuhan kamu, maka mereka (roh-roh) menjawab, ‘Ya. Bahkan. Kami menjadi saksi’)

------------ ------------
Secebis catatan berkuliah di Masjid Al-Hidayah, Sentul.
Nov 2008.