Surah al-Fatihah disepakati mengandungi tujuh ayat. Dalam kalangan imam mazhab yang empat, hanya As-Syafie mengatakan bahawa basmalah adalah termasuk dalam bilangan ayat dari surah Al-Fatihah. Manakala imam-imam lain berpendapat bahawa basmalah tidak termasuk ayat-ayat pembuka al-Quran ini. Mereka membahagikan ayat terakhir mengikut pendapat Syafi’eyyah kepada dua ayat, iaitu Siraatha al-ladziina an-‘amta ‘alaihim sebagai ayat keenam dan sambungannya sehinga akhir sebagai ayat ketujuh. Inilah surah yang di dalamnya terdapat 156 huruf, termasuk 14 huruf syaddah (bertanda sabdu). Hendaklah dibaca dengan jelas sebutan syaddahnya.
Jika bacaan syaddah ditiadakan misalnya pada kalimah iyyaaka menjadi iyaaka maksudnya berubah daripada ‘kepada Engkau (Allah)’ menjadi ‘kepada matahari’. Juseru sudah berubah pula makna ayat dan mencacatkan bacaannya. Begitu juga apabila menukar baris sesuatu huruf seperti membaca dengan baris kathrah (bawah) pada kalimah an-‘amta menjadi an’amti maka maksudnya berubah menjadi ‘Engkau (perempuan) yang mengurniakan’ atau mengubah baris taa fathah kepada dhammah (depan) menjadi an-‘amtu; yang bermaksud ‘yang aku kurniakan’. Barangsiapa yang membaca dengan salah secara segaja, batal bacaannya dan haram. Terdapat juga orang yang telor membaca kalimah na’budu menjadi na’buda. Orang yang telor sehingga bacaannya menjadi salah dimaafkan dan hukumnya terpakai untuk dirinya sahaja. Golongan ini tidak layak menjadi imam solat. Pun begitu, hendaklah dia bersungguh-sungguh belajar memperbaiki bacaannya. Menyebut al-hamdu dengan menebalkannya (tidak nipis dan berangin seperti sepatutnya) atau menyebut kaf bukan qaf pada kaimah mustaqiim – hal ini terdapat perselisihan pendapat. Ulama mustaqdimiin (terawal) menyatakan dibolehkan, manakala ulama mutaakhhiriin berpendapat sebaliknya.
Bagi mereka yang tahu tetapi sengaja membaca secara salah, misalnya di dalam ayat iyyaaka (yakni dibaca iyaaka) sesetengah ulama menghukumkannya sebagai haram malah boleh jatuh kepada kafir. Kerana bacaannya disengajakan dalam keadaan dia tahu.
Membaca bacaan atau zikir asing walaupun di luar solat bacaan itu disunatkan membatalkan bacaan Fatihah. Hendaklah diulang semula bacaan Fatihah dari awal. Contohnya seseorang itu bersin lalu menyambutnya dengan menyebut alhamdulillah, batal bacaan Fatihahnya. Tetapi jika bacaan zikir itu bersangkutan dengan solat, seperti bacaan sujud tilawah, bacaannya tidak batal. Sebagai contoh, saya masuk solat Subuh (Jumaat), dan membaca al-Fatihah. Setelah sampai ayat kelima, imam sujud tilawah. Maka saya perlu sujud, membaca zikir ketika sujud (sajada wajhiya liladzi khalaqahu washawwarahu washaqqa sam-‘ahu wabasharahu bihaulihi fatabaarakAllahu ahsanul khaaliqiin – tiga kali), kemudian apabila bangkit semula, saya perlu menyambung ayat keenam dan ketujuh. Begitu juga bagi orang yang menjawab amin sedangan dia membaca surah al-Fatihah, hendaklah dia menyambung ayat seterusnya. Begitu juga jika seorang makmum membaca ‘balaa wa ana ‘alaa dzaalika min asy-syaahidiin’ apabila imam selesai membaca surah At-Tin. Bacaan Fatihahnya tidak dikira batal.
Selain itu, bacaan Fatihah juga perlu dipastikan secara mu’awalat (berturutan), tidak diselangi dengan waqaf yang lama. (Tambahan pencatat: Masa purata bacaan surah Fatihah secara tartil ialah 40 – 45 saat). Cukuplah selang waktu di antara satu ayat kepada ayat berikutnya sekadar waktu menarik nafas. Hal ini terkecuali bagi mereka yang lelah yang terpaksa mengambil masa lebih lama untuk bernafas; atau sela waktu itu disebabkan batuk atau menguap. Pun begitu, tidaklah boleh sekiranya dibaca secara saktah, iaitu membaca secara tergesa-gesa dengan hanya berhenti satu-satu ayat dan menyambung ayat berikutnya dengan nafas yang sama.
(Rumusan Kuliah Maghrib, Ustaz Abdul Aziz Arof, 09 Ogos 2009, Kitab Fathul Mu’in, Masjid Al-Hidayah, Sentul, KL)
Siri berikutnya bersambung selepas raya 'Idul Fitri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan