Jumaat, Jun 23, 2006

Kod 19


Sesetengah orang amat terpesona dengan angka, sehingga angka di dalam al-Quran juga mahu dikaji. Jika kajian itu dibuat menepati disiplin ilmu, tidaklah mendatangkan masalah kepada sesiapa, tidak pula menyebabkan orang yang mengkaji terpesong daripada landasan sebenar.

Mungkin anda pernah terdengar Kod 19. Kod 19 ini diperkenalkan oleh seorang Arab Mesir yang dilahirkan di Amerika Syarikat pada tahun 1980. Beliau ialah Rashad Khalifa, lulusan doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang Biokimia Tumbuh-tumbuhan (Plants Biochemistry), beliau tinggal di Tucson, Arizona, Amerika. Secara umum Kod 19 mengatakan bahawa terdapat beberapa situasi dalam al-Quran yang secara angka boleh dibahagikan tepat dengan 19.

Sebagai contoh, Rashad Khalifa mengira unit kalimah dalam wahyu pertama, surah al-‘Alaq ayat 1-5. Beliau memisahkan ayat-ayat ini dalam unit kalimah tunggal dan menjumlahkannya menjadi 19. Kajian yang dilakukan oleh ilmuan Islam mendapati sebenarnya terdapat 25 kalimah dalam ayat-ayat ini.

Usaha beliau untuk membuktikan ketepatan Kod 19 ini menyebabkan dua ayat terakhir surah At-Taubah dibuangnya. Beliau berpendapat dua ayat ini tidak diyakini kebenarannya. Hujah yang disandarkan semata-mata kerana Zaid bin Thabit hanya menemui dua ayat ini ditulis oleh Abu Khuzaimah al-Ansari dan tidak terdapat dalam catatan sahabat yang lain. Walhal, Zaid bin Thabit yang mengumpul ayat al-Quran untuk ditulis merupakan seorang hafiz.

Setelah menolak dua ayat daripada surah at-Taubah, beliau berjaya membuktikan bahawa terdapat sembilan kalimah yang jumlahnya boleh dibahagi tepat dengan 19.
Klik untuk membaca jadual sembilan kalimah.

Rashad Khalifa tidak menerangkan pula mengapa dia hanya mengambil sembilan kalimah ini, dan beberapa surah dalam al-Quran untuk membuktikan teori Kod 19 yang diasaskannya.

Dalam sejarah Malaysia, seorang penulis terkenal iaitu Kassim Ahmad mempelopori gerakan anti-Hadis dengan penubuhan Jamaah Al-Quran. Beliau juga menyokong teori Kod 19 dalam tulisannya. Dalam rencana yang ditulisnya di dalam akhbar (Utusan Malaysia), beliau menulis; “Kenapa kita hendak menolak, apa lagi mengatakan ia (Kod 19) berbahaya kepada akidah?” Penolakan dua ayat itu dengan jelas menunjukkan bahawa Kod 19 sesat dan menyesatkan.

Sebagai kesimpulan, jika anda ingin mengkaji al-Quran, buatlah pengkajian mengikut disiplin ilmu yang betul. Kita tidak perlu terpengaruh dengan idea untuk menggagaskan pemikiran yang baru. Walhal gagasan itu menjadikan kita lebih jauh terpesong daripada kemurnian ilmu Islam itu sendiri. Tidak perlu kita mentakwil dan bertanya soalan yang pelik-pelik seperti mengapa Allah mencipta langit dan bumi tujuh lapis? Mengapa dalam penciptaan bumi dan langit serta makluk di antara keduanya dibuat dalam masa enam hari di sisi Allah? Atau angka-angka lain lagi, sehingga kita terpesona dengan angka sehingga kita lupa untuk mentadabbur ayat Allah dan menghayati tuntutan al-Quran itu sendiri.

Nota kaki.
1. Angka 19 yang diambil oleh Rashad Khalifa merujuk kepada kalimah Tis’ata ‘asyar (19) di dalam ayat 30 surah al-Muddaththir. Menurutnya sembilan itu sembilan semata-mata tanpa mentafsir ayat 31 surah yang sama. Dalam ayat 31, 19 merupakan penjaga neraka Saqar.
2. Maklumat lanjut mengenai perbahasan yang menerangkan kebatilan Kod 19 boleh dibaca dalam buku ‘Kemelut Terkini Anti Hadis’.
3. Sumber penulisan: Mustafa Suhaimi, Kemelut Terkini Anti Hadis, Milia Publication Sdn. Bhd. (1996), Cetakan Pertama, ISBN 983-9351-03-6.

Tiada ulasan: