Sabtu, Disember 31, 2005

Musaffir 4




Siapakah atsar dalam kehidupan bagi anda? Atsar disebutkan dalam al-Quran sebagai orang yang boleh melebihkan saudaranya apabila mempunyai tahap toleransi yang tinggi. Sifat atsar disebut dalam Al-Quran pada surah Al-Hasyr iaitu melebihkan sahabatnya dalam hal yang di dalamnya (perkara yang diberi) itu ada kepentingan untuk diri sendiri. Peristiwa terbaik yang dapat dikongsi adalah ketika detik-detik terakhir dalam peperangan ketika menentang musyrikin Mekah. Diriwayatkan dalam satu hadis, ketika hampir syahid mereka saling menolak air yang dihulurkan. Lantaran ketika itu semua orang dalam keadaan dahaga. Apabila menyambut air, terdengar sahabat yang lain meminta air lalu dihulurkan. Begitulah keadaannya sehingga air itu kembali semula ke tangan orang pertama yang menghulurkannya. Semuanya syahid tanpa meminum air tersebut. Lantas, atsar bagiku sekarang sudah berpangkat kapten dalam pasukan Angkatan Tentera. Dia mewarisi perjuangan yang sudah sebati dalam darah bapanya. Aku tumpang bangga.

Namun begitu, keakraban kami tidaklah pula berpanjangan sehingga berkembang dalam dimensi kehidupan yang lebih dewasa. Katanya aku tidak layak untuk menjadi sebahagian daripada kelaurganya. Teringat dulu, aku pernah berseloroh untuk menyunting bunga di taman larangan dalam halaman rumahnya. Dek kerana dialah abang sulung yang pertama membantah, aku diamkan sahaja. Biarlah, kita tidak perlu sampai berkeluarga nampaknya. (Ha, ha, ha. Aku gelak dalam nafas sukar dan muka yang memerah.) Padan muka! Aku tahu betapa itulah perkara yang amat berat untuk disampaikan kepadanya. Akhirnya tidak ada lagi nada kecindan berbaur kekeluargaan yang dicakapkan kepadanya. Aku akan tumpukan agenda diri kepada kerjaya dahulu, lewat 30 usiaku baru kan berinjak ke alam yang menjadi simbol kedewasaan. Aku sudah tetap dengan pendirian ini. Tidak perlu terhegeh-hegeh memikirkan soal kehidupan dalam dimensi baru sebelum aku mencapai agenda diri yang sebenar. Maknanya ada enam tahun lagi untuk memerhati dan menilai seorang calon buat mendamping diri. Kata ibu, "Ingat, kamu nak hidup tu bukan seperti membela anak kucing. Juga bukannya mudah seperti makan kacang."

Apabila selesai menunaikan solat fardhu Subuh, duduk-duduk membaca Ma'thurat. Amalan doa himpunan nabi yang dianjurkan pembacaannya oleh as-Syahid Hassan al-Banna. Apabila hari semakin cerah, surau ditutup pada jam 7.00 pagi. Bertolak ke menara DBP dari stesen Puduraya bolehlah dibuat dengan menaiki teksi. Terdapat dua jenis perkhidmatan teksi iaitu bermeter dan tidak bermetar. Jika anda menaiki teksi berneter, maknanya anda akan membayar kadar untuk perjalanan seorang. Manakala teksi tidak bermeter pula akan mengenakan caj pada kadar sebuah kereta atau empat orang. Pertama kali mengunjungi Menara DBP, aku menggunakan teksi tidak bermeter, bayarannya RM12. Kali kedua, aku mengambil teksi bermeter dan bayarannya RM3.80. Pengalaman ini mengajarku sesuatu iaitu dalam apa jua hal, kajilah dahulu jika terdapat lebih daripada satu opsyen. Dalam perancangan mesti ada plan keselamatan andai kata perancangan pertama tidak berjaya. Alternatif kedua akan mengurangkan tahap kekecewaan, maka tidaklah dikatakan sebagai orang gagal secara mutlak. Pengurusan dalam merancang sentiasa dibuat dalam perkara-perkara yang melibatkan hal-hal yang besar.

Jam 8.45 pagi 16 Disember 2005 kakiku melangkah masuk ke premis DBP melalui Koperasi DBP di bahagian bawah. Perkara pertama yang dilihat ialah Jurnal Bahasa. Semua belian terus di koperasi ini diberi diskaun 10%. Tidak lupa diajukan pertanyaan tentang novel Korban Kasih atas permintaan seorang sahabat. Novel yang dibacaku pada tahun 1993 lagi, ketika darjah lima. Novel bertemakan kekeluargaan yang amat menarik, diolah sehingga babak-babak ceritanya berjaya mengalirkan air mata pembaca sepertiku. Novel ini hanya dijual oleh Dawama iaitu rakan kongsi DBP (konsesi) yang menjual buku-buku DBP pada harga RM8. Menurut pegawai yang bertugas lagi, sekarang Dawama sedang mengadakan pameran jualan penghabisan stok dan menawarkan harga yang menarik. Seperti kunjungan pertama dahulu, aku terus ke pos pengawal untuk mendapatkan pas pelawat. Apabila dinyatakan tujuan, pengawal bertugas memaklumkan pas pelawat tidak perlu diambil kerana majlis rasmi. Jam 9.30 Timbalan Menteri Penerangan selaku wakil ketuanya tiba. Bermulalah aturcara Majlis Pelancaran Siaran Citra DBP.

Sekian.

5 ulasan:

Hidayah berkata...

Naim, masih adakah lagi buku korban kasih? Ingatkan dah abis stok. huhu

Naim berkata...

Ya. Masih ada dalam stok Dawama.

Kakak juga dah baca kan?

Tanpa Nama berkata...

dah baca, 12 kali... huhu... setiap kali membaca, selalunya mengalirkan air mata, dek kerana terlalu menghayatinya..hehe..
kakak

rahmah berkata...

Salam.. ada lagi ke buku ni sekarang? sudah lama dicari..

Naim berkata...

rahmah, kena tanya penjual buku itu sendiri...

Buat panggilan dulu untuk pengesahan.