Selain membawa pelbagai harapan, tahun 2006 membawa khabar menggerunkan kepada rakyat Malaysia iaitu semakin ramai golongan muda di negara ini terdedah kepada serangan strok antaranya akibat kegemaran meminum teh tarik.
Pakar fisioterapi, Dr. Balwant Singh Bains yang pernah merawat beberapa orang kenamaan termasuk anggota keluarga diraja dari Asia Barat akibat strok, berkata, selain teh tarik, minat rakyat Malaysia terhadap makanan berasas daging juga mendedahkan mereka kepada penyakit berbahaya itu.
``Jika kita tidak ubah cara hidup terutama budaya teh tarik, serangan strok di kalangan generasi akan datang pasti amat tinggi,'' katanya kepada Bernama.
Sambil melahirkan kebimbangannya mengenai kegilaan rakyat negara ini terhadap teh tarik yang kandungan utamanya susu isian pekat, Dr. Bains berkata: ``Kencing manis dan tekanan darah tinggi adalah pembunuh terbesar di negara ini.
``Seseorang yang menghidapi kencing manis dan tekanan darah tinggi adalah ibarat bom jangka dan banyak bom jangka sedang bergerak di Malaysia yang akan meletup pada bila-bila masa.''
``Rakyat Thailand dan Indonesia lebih gemar meminum kopi tanpa dibancuh dengan susu isian pekat tetapi rakyat Malaysia adalah pengguna terbesar susu isian pekat di dunia. Oleh kerana itu, jumlah kes kencing manis di negara ini agak tinggi,'' katanya. - Bernama
Nota: Seperti laporan akhbar Utusan Malaysia, 3 Jan 2006.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan