Isnin, Januari 30, 2006

Mengutip mutiara 1

Hal keempat yang disentuh oleh Prof. Madya Dr. Salleh ialah tentang IRC atau IFC. Gerakan yang menyamakan semua agama. Bagi mereka semua agama menganjurkan kebaikan, keamanan, dan meyuruh pengikutnya menjadi baik. Perkara ini sangat bahaya dan bertentangan sekali dengan ayat 19 surah aali-'Imran (beliau membacakan ayatnya) yang bermaksud; "Sesungguhnya agama yang diredhai oleh Allah ialah Islam.." Pergerakan ini mendapat sokongan NGOs Melayu dan bukan Melayu. Sedihnya apabila ada seorang menteri Melayu yang merasmikan perhimpunan IRC membuat kenyataan seperti
1. Selepas ini semua agama adalah sama, tidak ada agama yang lebih baik berbanding agama lain.
2. Selepas ini, masuk pejabat buang agama. Agama tidak ada kaitan dengan hal di pejabat.

(Naim fikir; Ya Allah. Tolol sungguh pemikiran menteri tu. Tapi siapa? Naim toleh ke belakang. "Siapa?" Tanya Naim pada Amirulreza. "Rais Yatim lah." Jawabnya ringkas. Terima kasih kerana memperingatkan fakta ini kepada Naim.)

Hal kelima berkenaan gerakan Wahhabi. Gerakan yang dipelopori oleh pelajar-pelajar lepasan Jordan, Saudi Arabia, Mesir dan lain-lain negara Timur Tengah. Kita tidak gusar dengan perwatakan sesetengah yang luas (luwes) ilmu agamanya. Namun kita sangat tidak setuju dengan gaya sesetengah mereka yang terlalu taksub sehingga dengan mudah menghukum itu bid'ah, ini bid'ah. Secara berseloroh beliau berkata, "Kalau baca wirid selepas solat itu bid'ah, apa yang mereka buat? Selesai solat, salam kanan kiri bangun garu punggung. Itu yang mereka buat. Itu bukan bid'ah?" (Audien tergelak sakan.)

Gerakan ini bermanhaj salafi dan mazhab Wahhabi. Cukuplah mereka menghentikan kegiatan mereka ini untuk memperkatakan perkara yang furuk, khilafiyah di kalangan umat ini. Banyak lagi agenda Islam yang lebih besar untuk diperjuangkan. Jangan kerana perkara itu tidak cocok atau selari dengan pendapat mereka, lantas dengan mudah mengatakan orang yang bertentangan itu sesat!

Akhir sekali, Prof. Madya Salleh menyebut darihal Sisters In Islam (SIS). Gerakan profesional wanita yang berkiblatkan barat. Mereka dengan latar pendidikan barat, didoktrinkan orientalis barat menggunakan platform NGO untuk memperjuangkan hak-hak wanita. Sedangkan mereka tiada kepakaran untuk membicarakan perkara yang berkaitan agama Islam.

Kemudian ditekankan juga peranan ulama kini. Beliau berkata, "Saya amat tidak setuju jika orang awam menuduh ulama tidak menjalankan tugas. Ulama menentang gejala keganasan. Ulama menentang penagih dadah. Ulama menentang gejala sosial. Ulama menentang rasuah. Ulama menentang golongan anti-hadis. Ulama menentang wanita tidak bertudung. Ulama menentang penyelewengan. Ulama menentang ketidakadilan. Tugas mencegah kemungkaran bukan hanya terletak di atas bahu ulama. Semua kita mempunyai peranan untuk menentang perkara ini. Seperti sabda Nabi S.A.W berbunyi "Man ra-a munkaran fal yughayyir biyadihi, wa in lam tastathi' fabilisaanihi, wa in lam tastathi' fabiQalbihi, wahuwa adh'aful iman." - "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mencegahnya dengan tangan (kuasa yang ada padanya), jika tidak mampu dengan lidahnya (memberi nasihat), jika tidak mampu tegahlah dengan hati (iaitu benci dan tidak redha di dalam hati) dan itulah selemah-lemah iman."
Maka marilah kita sama-sama memainkan peranan untuk melakukan amal ma'ruf dan mencegah kemungkaran dengan keupayaan yang diberikan Allah kepada kita.

Komen Naim: Secara jujur Naim amat kagum dengan ketegasan dan keberanian Prof. Madya menyatakan pandangan sebagai menyatakan prinsipnya. Walau ketika ucapan ini dibuat, pengerusi biacara nampaknya orang Be End yang totok. Begitu juga terdapat audien dari kalangan VIP di dalam majlis iaitu ADUN Kuala Kurau dan ADUN Titi Serong. Kiranya kelantangan beliau ini sekurang-kurangnya dapat mengetuk sedikit minda yang alpa kedua-kedua ADUN yang mengikuti majlis. Inilah ilmuan yang kita mahu, kerana berani menyatakan kebenaran mengikut prinsip ilmu yang dimiliki, bukannya tunduk kepada kehendak dan selera pemimpin yang zalim.

Glosari
Totok - orang kuat, penyokong setia.

*Catatan 'Kembara Ilmu, Mengutip Mutiara yang Tercicir' dalam Majlis Bicara Agama siri 2, 28 Jan 2006.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sisters In Islam tidak ada hak bercakap atas nama Islam
Sunday, January 29 @ 15:23:56 MYT


KUALA TERENGGANU, 29 Jan (Hrkh) – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Sisters In Islam tidak ada hak untuk bercakap bagi pihak Islam kerana mereka tidak mengerti dan mendalami Islam.

“Saya cabar kerajaan supaya mengharamkan Sisters In Islam dan mereka tidak berhak untuk bercakap berkenaan dengan Islam,” ujarnya ketika merasmikan Ijtimak Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu di Markas Tarbiyah PAS kawasan, Kuala Ibai, semalam.
Beliau menambah, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Sisters In Islam berhubung perkara yang berkaitan dengan Islam boleh menyebabkan mereka terkeluar daripada Islam.

Ini, katanya mungkin disebabkan mereka jahil mengenai Islam.

Menurutnya, baru-baru ini keluar kenyataan daripada pemimpin Sisters In Islam melalui televisyen yang mempertikaikan orang lelaki mendapat harta pusaka sekali ganda daripada wanita sedangkan itu adalah keputusan daripada Allah.

“Orang yang tidak reti Islam boleh bercakap Islam, boleh lawan Islam. Sisters In Islam yang diberi nama `saudari-saudari perempuan Islam’ tapi kerja dia, lawan Islam, lawan Tuhan, lawan hadis Nabi s.a.w.,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya PAS meminta kerajaan supaya bertindak dengan tegas dan berani termasuk mengharamkan pertubuhan-pertubuhan yang bernama Islam tetapi tidak bercakap tentang Islam.

“Mereka tidak ada pengetahuan tentang Islam sehingga menyentuh hukum-hukum yang dinaskan dalam al-Quran dan Hadis yang boleh dipertikaikan aqidah mereka.

“Ini termasuk Sisters In Islam kerana golongan ini menyanggah al-Quran dan golongan antihadis,” katanya lagi. – KAM/ayu.

-Pelawat misteri- :P