Ahad, Januari 08, 2006

Selamat Hari Raya Korban


Salam pengorbanan, adakah telah berkorban atau terkorban? Jika terkorban, anda tidak dapat menatap tulisan ini kerana sudah bergelar arwah. Ikutilah falsafah korban buat pedoman kita semua.

Saban tahun Pusat Islam USM Kejuruteraan menganjurkan solat 'Idil Adha dan penyembelihan korban. Tahun ini solat sunat 'Idil Adha akan dimulakan pada jam 8.45 pagi. Suasana di kampus biasanya lengang, kedai-kedai makan sekitar kampus akan ditutup sebagai tanda meraikan kedatangan hari raya. Perkara yang menarik dalam pengamalan perniagaan restoran akan berlaku apabila menjadi antara kedai makanan yang tidak ditutup. Semestinya di sini, Restoran Nasi Kandar Naseer yang sudah terkenal sebagai kedai mamak, tidak tutup 24 jam. Jika anda berkunjung atau meninjau kedai-kedai lain, anda akan mendapati semuanya tutup sekurang-kurangnya 3 hari.

Penyembelihan korban oleh Pusat Islam akan dijalankan pada hari raya kedua bersamaan 12 Jan 2006 jam 8.30 pagi. Aktiviti ini mendapat sambutan yang menggalakkan kerana Skim Bayaran Ansuran Ibadah Korban diperkenalkan oleh Pusat Islam. Skim ini menyediakan alternatif bayaran berdikit-dikit untuk sepuluh (10) bulan dengan kadar RM30 sebulan. Maka tidak hairanlah sekiranya tahun ini sekali lagi tujuh (7) ekor lembu akan disembelih. Jamuan makan disediakan pada hari yang sama bermula jam 12 tengah hari, sehingga lewat petang. Harga lembu sudah meningkat RM200 berbanding tahun sebelumnya, namun tidak menjadi masalah kepada pihak penganjur kerana bayaran RM300 untuk satu bahagian sudah memadai.

Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar! Walillahilhamd, selamat menyambut Hari Raya Korban kepada semua sahabat-sahabiah yang beriman.
P/S: Beraya untuk kali ke-5 di perantauan, buat ayahanda, bonda dan adik-adikku; "Minta maaf banyak-banyak kerana tidak pulang."

Tiada ulasan: