Selasa, Mac 07, 2006

Suara kecil dari hulu


Mari kita lihat dari kaca mata dan rasa hati seorang budak kampung. Aku sedar, budak kampung sepertiku berfikiran kolot, kekampungan dan segala macam kebobrokan. Tidak seperti mereka yang tinggal di Bandar besar. Bangun pagi, celik mata retina disapa bangunan pencakar langit. Telinga ditujah kebingitan kenderaan berenjin yang menyusur lalu di jalan raya penuh bergaya dan pelbagai jenama yang canggih manggih. Aku tetap aku seperti mana kebanyakan mereka yang di kampung di pedalaman. Jauh di pedalaman yang aman dan tenang dengan rimba, dan bunyi unggas. Itulah aku dan mereka yang berada di hulu sebuah negeri.

Kepulangan ke kampung amat memeritkan. Kasihan melihat orang-orang kampung merintih. Ada nada kesal dan sesal. Ada juga yang tidak tahu apa-apa. Hanya tersenyum dan sempat lagi berkata, “biarlah. Mereka nak tadbir, Itu untuk kebaikan rakyat juga. Kita kan rakyat juga?”

Makcik Senah di kampung tahu apa? Pak Leman yang mengerjakan sawah tahu apa? Tahu-tahu minyak dijual dengan harga RM2.40 seliter!
“Mengapa?” Pak Hitam yang kerjanya menorah getah kehairanan.
“Minyak naik lagi tiga puluh sen, Pak Hitam.” Tokei Abu menjawab. Selanjutnya diterangkannya ini adalah harga kos operasi yang perlu diambil kira. Menurut Tokei Abu lagi, hendak membeli minyak di bandar Kuala Berang yang jauhnya 18 kilometer pun guna minyak juga. Dan kerana permintaan tinggi, dia hanya menjual pada mereka yang hendak membeli. Tidak kira mahal atau sebaliknya.
Pak Hitam memang tiada pilihan. Hendak tidak hendak, hanya itu sahaja kedai runcit yang menjual minyak petrol.

Hendak ke pekan Kuala Berang? Tidak masuk akal semata-mata hendak penuhkan tangki minyak motor buruknya.
Daripada dia rugi RM300 lebih baik dia rugi 50 sen membeli minyak yang mahal itu.
“RM300?” tanyaku yang lebih-lebih pula hairannya.
Dia menunjukkan motornya tidak jauh dari situ. Patutlah, motornya tiada rupa motor lagi. Itulah motor buruk yang banyak berjasa untuk meneruskan nadi kehidupannya sekeluarga. Jika nak bawa Puspakom untuk diperiksa, awal-awal lagi sebelum masuk pagar Puspakom, pegawai akan bertanya, “ini motor atau apa?”
Memang tiada wajah motorsikal yang biasa anda lihat di bandar-bandar.

Itu baru cerita minyak dengan motor buruk! Belum lagi cerita beras, gula, gandum, sabun, sardin dan segala macam keperluan lain orang kampung di Hulu Terengganu. Keadaan ini benar-benar menghimpit! Rata-rata mereka mempunyai pendapat RM800 sebulan. Dan inilah coretan yang benar-benar menyesakkan nafasku, aku tidak mampu lagi mencoret kerana malu jika orang nampak air mata bercucuran jatuh di pipiku. Suara budak kampung yang sudah tiga purnama tidak pulang ke kampungnya.

4 ulasan:

MZP berkata...

maafkan saya terlambat mengetahui masalah blog lama yg terputus (tanpa kaki). Kenapa tidak digunakan langkah ini.

1.Copy semua yg ada di side bar dan header dan footer utk rujukan akan datang.

2.klik pada change setting, templete, pick new, dan setting asal akan kembali semua.

sekadar cadangan. mana tahu ada gunanya.

Naim berkata...

al_jantanie: masalah itu sudah selesai....kemudian ditambah pula dengan cop spam blog. Saya kira cop itu diberi gara-gara artikel penyelewengan yang terdapat dalam blog naimSOCHEUSM itu.......terima kasih atas cadangan yang baik ini.

gara-gara spam blog, ia tidak boleh dikemaskini sampai bila-bila melainkan side content.nya sahaja.

Naim berkata...

al_jantanie: masalah itu sudah selesai....kemudian ditambah pula dengan cop spam blog. Saya kira cop itu diberi gara-gara artikel penyelewengan yang terdapat dalam blog naimSOCHEUSM itu.......terima kasih atas cadangan yang baik ini.

gara-gara spam blog, ia tidak boleh dikemaskini sampai bila-bila melainkan side content.nya sahaja.

Tanpa Nama berkata...

ini streotype karya Azizi Hj. Abdullah dalam Luka Rakyat!

SN yang menjadi aktivis masyarakat.

:) :) Pandai kamu meniru......