Selesai seminar sehari, kami bertolak ke KLCC menaiki Putra LRT. Perjalanan dari stesen bas menggunakan perkhidmatan Rapid KL amat memuaskan. Puas hati kerana hari ini (18 dan 19 Mac), syarikat tersebut membuat promosi laluan baru. Perkhidmatan ke laluan baru di kawasan pinggir bandar diberi secara percuma. Bas pulang ke Parit Buntar masih lambat, 11.59 malam. Rombongan kami singgah di KLCC dengan menaiki trem dari Terminal Putra dengan bayaran RM2.00. Kami menuju ke masjid menunaikan solat fardhu Maghrib dan Isyak. Sempat juga kami mandi setelah tidak mandi seharian dan melepaskan lelah sebelum bergerak ke luar pada jam 9.00 malam.
Kami mengambil masa 40 minit untuk berjalan-jalan di sekitar KLCC sambil merakam gambar kenang-kenangan. Tidak banyak yang menarik selain daripada keriuhan manusia yang pelbagai ragam. Berjalan di sini, atau mana-mana kawasan di KL banyak cabarannya. Sentiasa sahaja ada orang yang berpakaian moden tetapi tidak cukup kain dan benang. Kata kawanku, aku tidak boleh lama-lama di KL. Bimbang nanti hilang semua ingatanku. Hilang ingatan terhadap semua yang telah diingat. Kami sebenarnya tidak mempunyai banyak bajet untuk perjalanan ini. Maka kami tidak mengunjungi pameran PETROSAINS yang terdapat di KLCC. Lagi pun tujuan kami ke sana hanya sekadar menjejakkan kaki ke masjid yang terletak berhampiran mercu tanda kebanggaan rakyat Malaysia. Apakah hal ini yang mesti dibanggakan juga olehku? Haruskah aku turut bangga dengan fenomena manusia yang duduk-duduk di sekeliling tasik dalam keadaan yang kurang sopan?
Jam 9.40 malam, kami menaiki trem sekali lagi ke Masjid Jamek dengan bayaran RM1.60. Setibanya di Masjid Jamek, kami mengisi perut di Bazar di sebelah Barat terminal LRT Masjid Jamek. Lorong gelap penuh sampah sarap. Peniaga jalanan menjual lampu bilik tidur yang menarik. Jauh dari lokasi Bazar yang lebih cerah. Hanya seorang penjual jalanan di sepanjang lorong gelap tersebut. Bazar ini sama seperti Petaling Street, atau Chow Kit yang menjual barang-barang murah. Murahnya tidak boleh menandingi kemurahan barang di Golok atau Rantau Panjang, Kelantan. Jika di sini, sehelai jersi Adidas buatan Thailand dijual pada harga RM60 manakala baju yang sama berharga RM10 hingga RM15 di Golok atau Rantau Panjang. Begitu juga dengan barangan lain, harga bergantung kepada kepandaian seseorang pembeli membuat tawar-menawar dengan penjual.
Kami makan di kedai makan biasa di selepas Bazar tersebut. Harga makanan masih lagi murah berbanding tempat lain. Ketika menunggu, kami 'dihidang'kan rancangan Macam-macam Aznil. Hos rancangan hiburan yang baru sahaja memenangi anugerah dalam majlis Anugerah Seri Angkasa. Dalam rancangan pada malam tersebut, terdapat kanak-kanak yang dijemput daripada anak-anak penonton di studio. Kanak-kanak ini dijemput dan diajak bersembang kemudian disuruh menari.
Kata kawan saya, "alangkah baiknya jika anak kecil ini dididik dengan perkara lain, bukan menari."
Saya kata, "itu tanggungjawab ibu bapa budak-budak tu."
Tetapi alangkah alangkah baiknya jika minda anak-anak kecil disuap dengan ayat al-Quran. Mereka boleh dilatih untuk mengingat ayat al-Quran dengan syarat ibu bapa sabar dan tabah mendidik mereka untuk fokus menghafal al-Quran. Apakah tidak ada di Malaysia seorang kanak-kanak berusia sepuluh tahun yang sudah dapat menghafal separuh atau seluruh al-Quran? Jawapannya, sudah ada.
2 ulasan:
salam.
anak yang sekecil tu dididik dengan program sebegitu...
tatkala meningkat remaja, disajikan pula dengan akademi fantasia, malaysia idol, dan pelbagai lagi rancangan realiti tv yang berlambak.
dunia semakin ketara menghampiri akhir zaman, bila muzik jahiliah semakin menjadi pilihan.
tahu bagaimana ciri ciri muzik jahiliah?
yang ada kat dunia sekarang ni semuanya muzik jahiliyah. Nasyid yg ada pun macam terikut-ikut juga trend lagu lain yg memuji manusia biasa atau lebih fokus kpd cinta @ asmaradana.
apa sahaja hiburan yg melalaikan dan menjauh diri drp mengingati Allah itulah muzik jahiliyyah.
Catat Ulasan