Selasa, Disember 21, 2010

Seribu kali fikir belum tentu jawapnya YA.


Bajet kerajaan negeri Terengganu 2011 yang baharu diluluskan adalah RM1.887 bilion. Dan tentulah mengatasi beberapa bajet negeri lain yang dilihat sebagai negeri yang lebih kaya.


Dalam sektor swasta, kadar upah di Terengganu masih jauh di belakang walaupun perangkaan Unit Pembangunan Ekonomi (UPEN) menunjukkan kos sara hidup di Bandar Raya Kuala Terengganu adalah kedua tertinggi di Malaysia. Graduan yang memiliki Ijazah Pertama yang bekerja di sektor swasta paling asas akan dibayar RM1000.00 sebulan. Itu dikira sudah berbaloi dengan alasan lapuk majikan, “Makan minum di KT masih murah.” Soalnya apakah harga petrol di Terengganu lebih rendah berbanding negeri lain? Makan minumnya lebih murah? Mudah atau tidak untuk memiliki sebuah rumah sewa di Kuala Terengganu pada kadar bawah RM200.00 hari ini? Rumah sewa di Bandar Raya Kuala Terengganu paling murah adalah RM150 satu bilik. Itu pun keistimewaan yang diberi kepada pelajar-pelajar kolej swasta di sekitar Kuala Terengganu. Bagi mereka yang bekerja dan berkeluarga, secara puratanya RM350 – 450 sebulan.


Maka apakah yang akan diperoleh oleh golongan buruh terutama yang berada di sektor swasta? Apakah ada satu intensif kepada mana-mana majikan untuk mendapat sedikit dana; agar dengan suntikan dana khas itu dapat pula disalurkan dalam bentuk kenaikan gaji pekerja-pekerja? Adalah malang kalau anda mendengar seorang yang telah mempunyai pengalaman kerja dua tahun di KL, ditawarkan gaji RM1000.00 untuk skop kerja yang sama. Hal ini saya alami. Alasannya, “Kos sara hidup di KT masih rendah.” Walhal dalam kira-kira untung rugi majikan bayaran rendah dikekalkan untuk keuntungan yang tinggi. Jika gaji asas RM1000.00 sudah tentu ramai yang akan terpaksa memilih opsyen tidak menerima potongan caruman KWSP. Apalah yang hendak digagahkan lagi dengan nilai RM920.00 (ditolak caruman KWSP 8 peratus) jika seseorang itu sudah memiliki kereta? Bayaran ansuran kereta sahaja sudah separuh. Belum dicampur dengan ansuran PTPTN, sewa rumah, petrol dan makan minum. Sudah tentu menerima tawaran kembali bekerja di negeri kelahiran sendiri memerlukan renungan yang sedalam-dalamnya. Seribu kali fikir belum tentu dapat diputuskan pilihan YA.

Isnin, Disember 20, 2010

PTPTN 1%




Bilakah PTPTN akan mengeluarkan dokumen tawaran Ujrah?



Jawapan : Dokumen tawaran akan dikeluarkan pada 10hb setiap bulan. Bagi peminjam
yang telah mendaftar dan mengemas kini pada bulan semasa, dokumen tawaran akan
dikeluarkan pada 10hb bulan yang berikutnya.


Apakah asas penawaran Ujrah?


Jawapan : Asas yang digunakan adalah seperti berikut :
i. Jumlah pembiayaan : Berdasarkan jumlah baki hutang pada 1 Jun 2008
ii. Tarikh kuatkuasa : 1 Jun 2008
iii. Tempoh bayaran balik baru : Baki tempoh bayaran balik pada 1 Jun 2008
berdasarkan pinjaman asal


Apakah yang dimaksudkan dengan baki hutang pada 1 Jun 2008?


Jawapan : Baki hutang pada 1 Jun 2008 bermaksud jumlah prinsipal dan juga kos
pentadbiran yang masih belum dijelaskan, mengambil kira semua bayaran balik yang
telah dibuat sebelum 1 Jun 2008.


Bagaimanakah Ujrah dikira?


Jawapan : Jumlah Ujrah = Jumlah Pembiayaan Pokok x Kadar Ujrah (1%) x tempoh
bayaran balik (tahun)


Saya telah cuba mendaftar mengikut jadual yang telah ditetapkan tetapi telah diminta
mengemaskini maklumat selepas 1 Januari 2011.


Jawapan : Semakan terperinci perlu dibuat ke atas akaun pinjaman sedia ada anda bagi
mengelakkan kesilapan tawaran. Walau bagaimanapun tawaran yang akan diberikan
masih berkuatkkuasa pada 1 Jun 2008.

Selasa, Disember 14, 2010

Masih berbaki tujuh hari selepas permohonan ini

Bolehkah diundur melaksana rukun solat jika terlupa

A. Seorang yang terlupa suatu rukun ketika solat.

Ada dua keadaan.


1. Orang bersolat sendirian dan yang menjadi Imam.
Dia boleh mengundur untuk melaksanakan rukun sebelumnya. Sebagai contoh, apabila seseorang Imam atau orang yang solat sendirian teringat bahawa dia belum membaca al-Fatihah ketika rukuk, dia boleh berdiri semula dan membaca surah al-Fatihah. Kemudian dia rukuk semula seperti biasa dan menyempurnakan rakaat solatnya.

2. Menjadi makmum.
Tidak boleh berbuat seperti dalam (1) di atas. Hal ini kerana dia mengikut Imam. Rakaat itu tidak dikira. Dia hendaklah menambah rakaat selepas Imam memberi salam.


B. Apakah keutamaan seseorang makmum apabila Imam memberi salam, sedangkan dia belum selesai membaca doa (doa perkara sunat dalam solat)?


Dalam hal ini, makmum hendaklah memberi salam untuk mendapat fadhilat berjemaah sesuai dengan tuntutan makmum menurut kelakuan Imam. Doa selepas membaca tahiyat akhir adalah sunat. Maka melaksana rukun solat (memberi salam) lebih utama .


C. Seorang makmum memanjangkan sujud kerana berdoa sedangkan Imam sudah duduk membaca tahiyat akhir.


Menurut Imam al-Ghazali, perbuatan makmum ini HARAM. Memanglah ada hadis mengatakan sehampir-hampir dengan Tuhan ialah sewaktu sujud. Pun begitu, melewatkan bangkit dari sujud kerana berdoa menyalahi adab berjemaah. Hal ini kerana makmum memberatkan perkara sunat melebihi perkara wajib dalam solat. Jika seseorang hendak memanjangkan sujud untuk berdoa, bolehlah dilakukan ketika bersolat sendirian.


----Nota kuliah Maghrib, 12 Disember 2010. Kitab Muniatul Musholli, Ust. Abd. Aziz Arof. Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.


Sabtu, Disember 11, 2010

Doa nabi untuk kematian

Apabila Allah menceritakan kisah nabi terdahulu di dalam al-Quran, ada suatu bahagian kehidupan yang disebut. Allah menceritakan saat-saat akhir kehidupan Nabi Yaakub dan Nabi Ibrahim iaitu mereka berwasiat kepada anak-anak mereka, “…maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.” (Al-Baqarah: 132)


Manakala dalam kisah nabi Yusuf alaihissalam, Allah mengkhabarkan doa nabi Yusuf sebagai persedian menghadapi kematian. Firman Allah, (Nabi Yusuf berdoa),

“…sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.” (Yusuf: 101)


Bagaimana Rasulullah menghadapi kematian? Ilmu-ilmu berkaitan kehidupan nabi di dalam rumah diketahui melalui Ummu al-Mukminin Aisyah radhiallahu ‘anha. Aisyah mengajarkan kepada sahabat-sahabat termasuklah yang paling rapat dengannya Urwah Bin Zubair al-Awwam. Aisyah hidup lama setelah kewafatan nabi dan jenazahnya disemadikan di perkuburan Baqi’, Madinah.


Aisyah meriwayatkan nabi ketika hampir wafatnya pernah membasuh muka dari satu bekas kemudian berpaling ke arahnya sambil berdoa, “Allahumma a-‘inni ‘alaa ghamaraati al-gharqi wa sakaratil mauti.” [Ya Allah bantulah aku menghadapi ombak kematian dan mabuk mati.] Dalam riwayat lain Aisyah menyebut nabi berdoa, “Allahumma igh-firli wa ir-hamni wa-alhiqni bi ar-rahiiqi al-A’laa.”


Mabuk mati merupakan hal yang pasti dilalui oleh setiap manusia. Ketika ini syaitan akan menjelma dalam pelbagai rupa termasuklah wajah ibu, bapa, nenek dan orang-orang yang dikenali. Tujuannya ialah untuk menggoda manusia agar mengikutnya. Hanya amalan yang dapat menyelamatkan seseorang daripada tipu daya syaitan ini. Ketika nazak, manusia seperti berjuang dalam lautan maut, timbul tenggelam. Dia sama sekali tidak mendengar perbualan orang-orang di sekelilingnya. Disunatkan orang-orang yang sihat mentalqinkan Yasin kepada orang yang hampir mati agar dia menjadi tenang untuk menghadapi saat genting nyawa berpisah dari jasad.

Nota kuliah Maghrib, 10 Dis 2010, Ust. Hanafi Bin Abd. Rahman, Masjid al-Hidayah, Sentul.

Jumaat, Disember 10, 2010

Nasib kampung warisan KL

Pada 2 Muharram, aku berkunjung ke Madrasah Tarbiyah, Kg. Bandar Dalam, Gombak. Kuliah Maghrib disampaikan Ustaz Azhar Yahya. Selepas Isyak, majlis Budayawan Bertindak dan PAKSI bermula. Majlis dihadiri SN Dato’ A Samad Said, Prof. Dr. Zainon Ismail, Presiden TERAS, Presiden MTUC, wakil PERKASA, wakil Gabungan Anak Melayu Gombak, penulis/penyair, beberapa kumpulan band dan orang kampung Bandar Dalam. Majlis ini diadakan untuk menyatakan bantahan terhadap pembangunan yang akhirnya akan melenyapkan kampung warisan dari peta Bandaraya Kuala Lumpur. Menurut Pengerusi MUAFAKAT juga Penghulu Kg. Bandar Dalam, cikgu Hj. Ishak Surin, “Kampung Bandar Dalam diwartakan Kampung Warisan berusia 150 tahun bermula tahun 1860.”

Menurut beliau lagi satu pertemuan dengan pentadbir nombor satu DBKL pada 10 Ogos 2008. Dalam pertemuan itu sudah dimaklum bahawa dalam Draf KL 2020, pembinaan rel keretapi akan menyebabkan tanah sekolah tahfiz (tanah wakaf) diambil pihak pemaju. Hal ini amat menyedihkan. Perkara itu tidak mendapat respon melainkan baru-baru ini (29 – 31 Oktober 2010), pihak MUAFAKAT menerima kunjungan perunding projek. Nyata sekali bantahan mereka sekali-kali tidak dipandang berat oleh pihak DBKL. Dalam kes ini, pihak terbabit seharusnya meneliti kepentingan penduduk apalagi melibatkan tanah wakaf. Isu yang sedang hangat dalam Draf KL 2020 ialah kepupusan tujuh buah kampung warisan di KL merangkumi Kg. Bandar Dalam, Kg. Sungai Mulia, Kg. Sungai Merali, Kg. Chubadak, Kg. Puah, Kg. Puah Seberang dan Kg. Padang Balang.

Dalam majlis tersebut, Antologi Puisi 56 Penyair turut dilancarkan.

Rabu, Disember 08, 2010

Telah KAU renggut damai kami


Foto dirakam dari tingkap bilikku, Aras 10. Di salah satu blok Flat Perumahan Awam, Jalan Sentul Pasar. Ribut melanda petang 08 Disember 2010.


Tuhan
ENGKAU Maha Mengetahui
di bawahan teduhan itu
saban malam kami mengalas perut

Tuhan
kami masih mengurut dada
merafakkan syukur kami
tiada nyawa dipagut
tentera langit-MU itu

Tuhan
kerananya kami terpaksa
menunggu mentari esok
mencari sesuap nasi

Tuhan
kami gentar lagi bimbang
andai pembaringan kami
akan ranap lemas dalam sungai alpa

Tuhan
terima kasih
ENGKAU masih menyanyangi kami

Sabtu, Disember 04, 2010

Eufemisme baharu abad baharu

Yang menyedihkan media perdana menggambarkan euforia dengan membandingkan harga negara jiran. Kononnya kita harus bersyukur kerana harga itu tetap jauh lebih rendah daripada harga-harga di Thailand, Singapura dan Brunei. Dan kita pun memahami satu eufemisme baharu abad ini iaitu selaras/seragamkan harga sama dengan naik harga.
Untuk rekod; RON 95 naik harga 5 sen (RM1.90/liter). LPG naik harga 5 sen (RM1.90/kg). Gula naik harga 20 sen (RM2.10/kg).Diesel naik harga 5 sen (RM1.80)

Kiblat pertama Masjid al-Haram

Pengarang kitab ini mengambil hadis susunan Imam Tirmizi yang diriwayatkan oleh Barraa Bin Azib. Hadis ini menceritakan bahawa kiblat pertama ialah Baitullah al-Haram (Kaabah). Kemudian apabila hijrah ke Madinah baginda menjadikan Masjid al-Aqsha sebagai kiblat. Hari ini dalam sukatan pendidikan agama anak-anak kita dinyatakan masjid Al-Aqsha sebagai kiblat pertama. Dejaay radio ketika menyentuh isu umat Islam Palestin juga menyebut perkara yang sama.

Hal ini bermakna pendapat yang mengatakan Masjid al-Aqsha sebagai kiblat pertama tidak tepat. Ibadah solat disyariatkan tiga tahun sebelum hijrah. Ketika di Makkah, Kaabah dijadikan kiblat. Tetapi apabila tiba di Madinah, baginda berijtihad kiblat yang perlu diguna ialah Masjid al-Aqsha. Tujuan nabi menjadikan Masjid al-Aqsha sebagai kiblat ialah untuk menjinakkan hati orang Yahudi supaya mereka tertarik dengan Islam. Pun begitu Yahudi sangat degil dan angkuh kerana nabi berbangsa Arab Quraisy, bukan dari kalangan mereka. Orang-orang Yahudi sebenarnya mengenali nabi seperti mereka kenal anak mereka. Firman Allah, “Orang-orang yang dikurniakan al-Kitab, mereka mengenalinya (Rasulullah) seperti mereka kenal anak-anak mereka.”[1] Apabila mendengar ayat ini Umar al-Khattab bertanya kepada Abdullah bin Salam, pendita Nasrani yang warak ketika belum Islam; “Apakah benar ayat ini?”. Sahabat Abdullah bin Salam menjawab, “Bahkan. Mereka kenal nabi lebih daripada mereka kenal anak mereka. Mereka yang membaca al-Kitab (Taurat dan Injil) mengetahui tanda kenabian. Mereka tahu bintang pada malam kelahiran nabi. Mereka tahu tanda besar bagi penganut Majusi.” Dalam sirah nabi, Abdullah bin Salam sendiri menguji nabi untuk mengesahkan baginda sebagai nabi terakhir dengan bertanya dua soalan. Pertama ditanya apakah makanan pertama ahli syurga. Kedua, bagaimana wajah seorang anak mengikut (menurun) wajah ayah atau ibunya? Nabi dapat menjawab dengan betul kedua-dua soalan ini.

Apabila sampai 16 hingga 17 bulan, nabi dapati Yahudi di Madinah tidak lembut hati. Malah mereka dengan angkuh melanggar perjanjian dengan nabi. Nabi mendongak ke langit menunggu wahyu Allah. Suatu ketika nabi berkata kepada Jibrail, “Aku suka akan Tuhanku mengarahkan Ka’abah sebagai kiblat kami.” Jibrail menjawab, “Aku sebagai hamba seperti kamu juga. Tiada daya upayaku mengubah hal itu.” Ketika nabi melawat Bani Sulaim, dan menunaikan solat Asar turunlah arahan mengubah kiblat ketika mereka sedang solat. Firman Allah yang bermaksud, “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”[2] Dua rakaat pertama nabi menghadap ke jihat Masjid al-Aqsha. Dan dua rakaat terakhir nabi mengubah kiblat ke jihat Masjid al-Haram.

Perbahasan

Sesetengah ashab AS-Syafi’ie berpendapat bahawa menghadap ke jihat al-Aqsha adalah ijtihad nabi. Manakala sebahagian mengatakan bahawa hal itu merupakan perintah Allah. Mereka yang berpendapat menghadap Masjid al-Aqsha merupakan arahan Allah kerana apabila nabi mengharapkan kiblat ditukar ke arah Kaabah, baginda menunggu-nunggu arahan dari Allah.

Kedua, bolehkah al-Quran memansuhkan sunnah? Dan sebaliknya. Ketiga, apakah kita hari ini apabila berkunjung ke Masjid Dua Kiblat (Masjid Qiblatain) di perkampungan Bani Sulaim boleh bersolat menggunakan dua jihat kiblat? Dalam hadis ini, ayat 144 surah al-Baqarah memansuhkan sunnah nabi (ijtihad) menghadap ke jihat Masjid al-Aqsha dan sunnah itu dinamakan Sunnah Haram. Maka orang yang berkunjung ke Masjid Qiblatain selepas turun ayat ini haram menggunakan jihat Masjid al-Aqsha sebagai kiblat. Dalam perbahasan ayat al-Quran memansuhkan hadis dan sebaliknya amat sukar untuk difahami. Sebagai contoh, ada ayat al-Quran mengarahkan kita diam apabila dibacakan ayat al-Quran[3]. Tetapi dalam satu hadis nabi bersabda, “Tiada solat bagi siapa yang tidak membaca Ummul Kitab – al-Fatihah.” Imam Abu Hanifah (Mazhab Hanafi) berpegang kepada ayat ini. Maka dalam solat yang imamnya membaca secara jahar (Subuh, Maghrib dan Isyak), makmum tidak perlu membaca al-Fatihah dan mendengar bacaan al-Quran imam. Manakala Imam Syafi’ie berpendapat, makmum tetap perlu membaca al-Fatihah kerana hadis nabi bersifat khusus manakala ayat al-Quran bersifat umum. Maka hadis yang mempunya arahan khusus lebih utama daripada dasar al-Quran yang umum. As-Syafi’ie berpendapat ayat 204 surah al-A’raaf tidak mengkhususkan bacaan al-Quran itu dalam solat atau di luar solat.



Nota
[1] Ayat 146, surah al-Baqarah.

[2] Ayat 144, surah al-Baqarah.

[3] Ayat 204, surah al-A’raaf.


Nota Kuliah Maghrib, 03 Dis 2010, Masjid al-Hidayah, Jln Sentul Pasar, Sentul, KL. Ust. Raihan Abdul Aziz, kitab Bahrul Mazi karangan Idris Bin Abdul Rauf al-Marbawi.