Bajet kerajaan negeri Terengganu 2011 yang baharu diluluskan adalah RM1.887 bilion. Dan tentulah mengatasi beberapa bajet negeri lain yang dilihat sebagai negeri yang lebih kaya.
Dalam sektor swasta, kadar upah di Terengganu masih jauh di belakang walaupun perangkaan Unit Pembangunan Ekonomi (UPEN) menunjukkan kos sara hidup di Bandar Raya Kuala Terengganu adalah kedua tertinggi di Malaysia. Graduan yang memiliki Ijazah Pertama yang bekerja di sektor swasta paling asas akan dibayar RM1000.00 sebulan. Itu dikira sudah berbaloi dengan alasan lapuk majikan, “Makan minum di KT masih murah.” Soalnya apakah harga petrol di Terengganu lebih rendah berbanding negeri lain? Makan minumnya lebih murah? Mudah atau tidak untuk memiliki sebuah rumah sewa di Kuala Terengganu pada kadar bawah RM200.00 hari ini? Rumah sewa di Bandar Raya Kuala Terengganu paling murah adalah RM150 satu bilik. Itu pun keistimewaan yang diberi kepada pelajar-pelajar kolej swasta di sekitar Kuala Terengganu. Bagi mereka yang bekerja dan berkeluarga, secara puratanya RM350 – 450 sebulan.
Maka apakah yang akan diperoleh oleh golongan buruh terutama yang berada di sektor swasta? Apakah ada satu intensif kepada mana-mana majikan untuk mendapat sedikit dana; agar dengan suntikan dana khas itu dapat pula disalurkan dalam bentuk kenaikan gaji pekerja-pekerja? Adalah malang kalau anda mendengar seorang yang telah mempunyai pengalaman kerja dua tahun di KL, ditawarkan gaji RM1000.00 untuk skop kerja yang sama. Hal ini saya alami. Alasannya, “Kos sara hidup di KT masih rendah.” Walhal dalam kira-kira untung rugi majikan bayaran rendah dikekalkan untuk keuntungan yang tinggi. Jika gaji asas RM1000.00 sudah tentu ramai yang akan terpaksa memilih opsyen tidak menerima potongan caruman KWSP. Apalah yang hendak digagahkan lagi dengan nilai RM920.00 (ditolak caruman KWSP 8 peratus) jika seseorang itu sudah memiliki kereta? Bayaran ansuran kereta sahaja sudah separuh. Belum dicampur dengan ansuran PTPTN, sewa rumah, petrol dan makan minum. Sudah tentu menerima tawaran kembali bekerja di negeri kelahiran sendiri memerlukan renungan yang sedalam-dalamnya. Seribu kali fikir belum tentu dapat diputuskan pilihan YA.
1 ulasan:
Makan minum kat terengganu mana ada yang murah dah skrang naim..semua sama je..
kadang2, terasa ada yang lagi murah kat putrajaya ni dari trg..huhu
Catat Ulasan