Jumaat, Disember 10, 2010

Nasib kampung warisan KL

Pada 2 Muharram, aku berkunjung ke Madrasah Tarbiyah, Kg. Bandar Dalam, Gombak. Kuliah Maghrib disampaikan Ustaz Azhar Yahya. Selepas Isyak, majlis Budayawan Bertindak dan PAKSI bermula. Majlis dihadiri SN Dato’ A Samad Said, Prof. Dr. Zainon Ismail, Presiden TERAS, Presiden MTUC, wakil PERKASA, wakil Gabungan Anak Melayu Gombak, penulis/penyair, beberapa kumpulan band dan orang kampung Bandar Dalam. Majlis ini diadakan untuk menyatakan bantahan terhadap pembangunan yang akhirnya akan melenyapkan kampung warisan dari peta Bandaraya Kuala Lumpur. Menurut Pengerusi MUAFAKAT juga Penghulu Kg. Bandar Dalam, cikgu Hj. Ishak Surin, “Kampung Bandar Dalam diwartakan Kampung Warisan berusia 150 tahun bermula tahun 1860.”

Menurut beliau lagi satu pertemuan dengan pentadbir nombor satu DBKL pada 10 Ogos 2008. Dalam pertemuan itu sudah dimaklum bahawa dalam Draf KL 2020, pembinaan rel keretapi akan menyebabkan tanah sekolah tahfiz (tanah wakaf) diambil pihak pemaju. Hal ini amat menyedihkan. Perkara itu tidak mendapat respon melainkan baru-baru ini (29 – 31 Oktober 2010), pihak MUAFAKAT menerima kunjungan perunding projek. Nyata sekali bantahan mereka sekali-kali tidak dipandang berat oleh pihak DBKL. Dalam kes ini, pihak terbabit seharusnya meneliti kepentingan penduduk apalagi melibatkan tanah wakaf. Isu yang sedang hangat dalam Draf KL 2020 ialah kepupusan tujuh buah kampung warisan di KL merangkumi Kg. Bandar Dalam, Kg. Sungai Mulia, Kg. Sungai Merali, Kg. Chubadak, Kg. Puah, Kg. Puah Seberang dan Kg. Padang Balang.

Dalam majlis tersebut, Antologi Puisi 56 Penyair turut dilancarkan.

Tiada ulasan: