Memaparkan catatan dengan label sastera. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sastera. Papar semua catatan

Isnin, Ogos 22, 2011

Dia sudah pergi. Belasungkawa buat Tukya

Kita memang tidak pernah tahu. Semua itu ketentuan-NYA. Saya mula menukar banner weblog ini dengan meletakkan gambar kenangan bersama gemulah Tukya dengan tag keep the book alive! ketika dia mula-mula dimasukkan ke hospital untuk pembedahan jantung yang pertama. Itu berlaku awal tahun dahulu selepas HSPM.

Dua hari lalu saya memesan buku gemulah yang hakikatnya hari ini adalah antara yang terakhir berjudul Anak Belantara. Pemergian beliau jam 7.50 pagi 21 Ogos lalu tidak dapat siapa yang berkuasa menghalangnya. DIA sudah mendapat jemputan agung al-Khalik Penguasa alam semesta. Suatu hal yang bagus pada gemulah ialah sikap terbukanya terhadap kritikan. Suatu hari kami berbincang tulisan beliau di akhbar. Saya nyatakan ada percanggahan kecil fakta yang dinyatakan menyebabkannya tidak konsisten. Ya, selaku penulis besar bukan mudah untuk dikritik oleh penulis tidak bernama seperti saya. Tetapi arwah Tukya menerima saranan saya dengan mengucapkan terima kasih. Mungkin itulah juga yang menyebabkan arwah memberi pesan kepada saya dengan nada yang serupa. “Jangan takut kritikan.”

Ini pesan arwah kepada saya sekitar Feb 2011.

Al-Fatihah. Moga rohnya bersama hamba-hamba Allah yang soleh.

Ahad, Julai 24, 2011

Wacana Budaya USMAN AWANG Perginya Seorang Pahlawan


Program ini diilhamkan Prof. Dr. Siti Zainon Ismail sempena mengingati pemergian al-Marhum Tongkat Warant selama sepuluh tahun. Majlis bermula selepas solat Maghrib dengan bacaan Yasin dan tahlil kemudian diikuti acara baca puisi selepas Isyak. Acara baca puisi diadakan di Perpustakaan Madrasah Tarbiyah, Kg. Bandar Dalam. Terima kasih kepada urusetia program kerana menyediakan kambing panggang sebelum acara baca puisi.

Wacana ini dimulakan dengan ucapan Dr. Ibrahim Ghafar diikuti bacaan surat yang dikirim anak al-Marhum Haslina yang tidak dapat hadir. Surat dibaca oleh Prof. Dr. Siti Zainon Ismail. Sementara Hj. Ishak Surin Penghulu Kg. Bandar Dalam menceritakan nostalgia bersama al-Marhum iaitu empat hari selepas penahanan Ahmad Boestaman pada Februari 1965. Beliau bertemu al-Marhum untuk menyatakan hasrat menyampaikan mesej kepada khalayak darihal penahanan Ahmad Boestaman. “Namun ketika itu sajak tersebut ditulis tanpa nama dan disebarkan kepada orang ramai kerana bimbang akan ditahan,” kata Hj. Ishak Surin.

Penyair Dinsman membaca sajak al-Marhum berjudul Zaman ini.

Zaman ini serba pahit terasa

Hanyir darah masih membalut udara

Segala suara mati di rongga tak bernada


Hati-hati bila bicara di muka siapa

Kerling mata menyisip antara ruang penjara


Engkau penyair akan menulis segala cerita

Penamu tajam boleh mengiris segala derita

Zaman ini mengajarmu hidup berpura-pura

Atau sekadar menyelamatkan diri menganggukkan kepala


Engkau wartawan kutip berita antara manusia

Penamu tajam dapat mencungkil keburukan mereka

Engkau diam mengikat tangan di bawah meja

Zaman ini memaksamu menulis yang baik belaka


Semua menekan karena diatasnya besi berpadu

Segala menjemukan karena padanya palsu-palsu

“Memang Usman Awang sudah menggambarkan apa yang berlaku.” Ulas Dinsman ringkas.

Sasterawan Negara Dato’ Dr. A Samad Said pula bernostalgia tentang penerimaan anugerah Sasterawan Negara. “Sebenarnya Usman Awang berat hati untuk menerima anugerah tersebut. Tetapi demi menjaga hati Zam (Dato’ Zainuddin Maidin) untuk merapatkannya dengan Mahathir (Tun Dr. Mahathir) dia terima juga.” Ujar SN A Samad Said. Sempena majlis itu, SN A Samad Said diminta membaca sajak. Lalu terhasillah Menyonsong Abad. Beliau juga mengimbau pendekatan al-Marhum Usman Awang membantunya dalam berkarya dengan berkata, “Beliau meminta saya sediakan beberapa cerpen. Setelah berpuas hati, beliau bayar dahulu sebelum menyiarkannya di akhbar.” Di akhir ucapannya SN A Samad Said mendeklamasi puisi Menyonsong Abad, sebuah puisi yang dibukukan dalam Suara Dari Dinding Dewan.

Peserta wacana lain yang turut membaca puisi ialah Amni Jagat dengan judul Awan Tidak Bermadu, Mohamad Farez Abdul Karim (Anak Bumi) – Ke Makam Bonda. Manakala Roslan Madun tampil dengan santai membaca syair yang baharu ditulisnya sejurus selepas Maghrib pada hari tersebut. Rahmat Haroun tampil dengan membaca puisi Sahabatku. Wakil anak muda Kampung Baru Dalam pula membaca puisi al-Marhum berjudul Bunga Popi.

Pada jam 11.30 malam diadakan sesi bergambar sebagai simbolik pelancaran ‘Matabaca – Madrasah Tarbiyah Budaya Membaca’.

Sisi Lain di Luar Acara Wacana.


Anak Bumi sempat bercerita kepadaku tentang sebuah kulit buku yang diusahakannya. Khabarnya itu milik sahabat saya Roslan Jomel. Lau saya maklumkan kepada tuan badan akan gossip itu lewat esemes. Roslan Jomel membalas esemes itu, Insya-Allah, akhir tahun nanti siap. Ini saya kira seorang penulis yang akan menyusul karyawan besar lain dalam negara kita beberapa tahun lagi. Sekarang pun, namanya sedang harum. (Oh, saya harap pujian ini tidak keterlaluan, kata orang putih exaggerated!)

Apabila Dinsman melontar persoalan, “Jika seorang A Samad Said sudah menggegarkan, bayangkan jika ada 10 seniman sepertinya (yang sanggup turun padang seperti dalam Bersih 2.0)?” Tanya beliau lagi, “Tetapi mengapa hanya satu?”

Akan soalan itu dijawab SN A Samad Said, “Di hadapan saya ada matabaca,” merujuk kepada perkataan ‘matabaca’ di rostrum. “tetapi hakikatnya kita berada dalam lingkungan mata-mata baca.” Semua hadirin gelak dengan jawapan sinis SN A Samad itu.

Selepas habis program ini, saya seperti mahu membelek semula novel al-Marhum Tulang-tulang Berserakan yang dibaca ketika saya berusia 11 tahun dahulu!

Selasa, Januari 25, 2011

Projek penulisan percuma



Maklumat lanjut:
http://sai-fai.com/?page_id=25

Sila Copy & Paste alamat URL ini.


Capaian terus koleksi fiksyen sains CAKERAWALA 2 di sini.

Sabtu, Januari 08, 2011

INTERLOK: Saya tidak mahu ulas panjang.

Versi BM



Versi Inggeris.

Pagi tadi meluangkan waktu bersama rakan-rakan penulis di Rumah PENA. Acara Dialog Novel INTERLOK bersama Dr. Ilias Zaidi, Dr. Fatimah Busu, SM Zakir selaku Panel. PENA mengambil sikap tidak bersetuju dengan apa-apa tuntutan ke atas novel INTERLOK ini. Novel ini diterjemah ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Interlock oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Dikhabarkan ada usaha untuk membakar novel ini oleh sesetengah pihak. Sudah bakar pun! Begitu sekali emosinya mereka sebelum membaca dengan akal yang waras.

Novel INTERLOK sebuah novel sejarah yang merakamkan pembentukan negara Malaysia. Jika sesetengah pihak menolaknya semata-mata berpendapat menyinggung, mengapa Untouchable yang diterjemahkan kepada Paria yang diterbitkan pada tahun 1964 oleh Oxford University Press tidak diharamkan? Novel ini tidak ada semua unsur hasutan atau menghina seperti yang didakwa. Rujuk artikel ini. Apakah suatu fakta sejarah tidak boleh diterima? Kalau itu fakta sejarah, ia tetap fakta sejarah dan telah berlaku.

Suatu tragedi dalam sistem pendidikan akan berlaku sekiranya tuntutan menarik semula karya ini daripada dijadikan teks KOMSAS. Banyak pihak yang akan terjejas. Pasti Panel Pemilih Teks dilihat sebagai tidak membuat kerja dengan betul.


Pada 26 Januari 2011, dikhabarkan forum/dialog novel ini akan diadakan*. Wakil Pemuda MIC akan menjadi salah seorang ahli panelnya. Sila rujuk laporan berita di mana-mana akhbar untuk mengetahui lebih banyak hasil Dialog ini. Ini satu laporan pilihan saya. "Saya sebagai satu-satunya peserta bukan Melayu berasa bangga membaca novel ini kerana memaparkan kisah sejarah negara. Ia juga seruan perpaduan dalam kerangka masyarakat majmuk di Malaysia." Kata seorang mahasiswa Cina.

Sebagai arkib jika pautan di atas ditiadakan:
Interlok dibakar di Klang
08/01/2011 6:16pm

Oleh HELMI MOHD. FOAD

KLANG 8 Jan. - Kira-kira 100 orang penduduk berketurunan India berdemonstrasi dan membakar novel Interlok di depan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini petang ini.

Mereka turut membakar salinan gambar penulis novel itu, Sasterawan Negara, Abdullah Hussain.

Kumpulan itu mendesak kerajaan mengharamkan novel itu dan menarik balik keputusan menjadikannya sebagai buku teks mata pelajaran sastera tingkatan lima di sekolah. Utusan


Baca ini.




*Nota
Kemaskini pada 27 Jan 2011, jam 0950.



Jumaat, Disember 10, 2010

Nasib kampung warisan KL

Pada 2 Muharram, aku berkunjung ke Madrasah Tarbiyah, Kg. Bandar Dalam, Gombak. Kuliah Maghrib disampaikan Ustaz Azhar Yahya. Selepas Isyak, majlis Budayawan Bertindak dan PAKSI bermula. Majlis dihadiri SN Dato’ A Samad Said, Prof. Dr. Zainon Ismail, Presiden TERAS, Presiden MTUC, wakil PERKASA, wakil Gabungan Anak Melayu Gombak, penulis/penyair, beberapa kumpulan band dan orang kampung Bandar Dalam. Majlis ini diadakan untuk menyatakan bantahan terhadap pembangunan yang akhirnya akan melenyapkan kampung warisan dari peta Bandaraya Kuala Lumpur. Menurut Pengerusi MUAFAKAT juga Penghulu Kg. Bandar Dalam, cikgu Hj. Ishak Surin, “Kampung Bandar Dalam diwartakan Kampung Warisan berusia 150 tahun bermula tahun 1860.”

Menurut beliau lagi satu pertemuan dengan pentadbir nombor satu DBKL pada 10 Ogos 2008. Dalam pertemuan itu sudah dimaklum bahawa dalam Draf KL 2020, pembinaan rel keretapi akan menyebabkan tanah sekolah tahfiz (tanah wakaf) diambil pihak pemaju. Hal ini amat menyedihkan. Perkara itu tidak mendapat respon melainkan baru-baru ini (29 – 31 Oktober 2010), pihak MUAFAKAT menerima kunjungan perunding projek. Nyata sekali bantahan mereka sekali-kali tidak dipandang berat oleh pihak DBKL. Dalam kes ini, pihak terbabit seharusnya meneliti kepentingan penduduk apalagi melibatkan tanah wakaf. Isu yang sedang hangat dalam Draf KL 2020 ialah kepupusan tujuh buah kampung warisan di KL merangkumi Kg. Bandar Dalam, Kg. Sungai Mulia, Kg. Sungai Merali, Kg. Chubadak, Kg. Puah, Kg. Puah Seberang dan Kg. Padang Balang.

Dalam majlis tersebut, Antologi Puisi 56 Penyair turut dilancarkan.

Isnin, Oktober 04, 2010

Dalam TC Oktober 2010



Ada latar peristiwa pengusiran setinggan Kg. Baru, Kl dan gaya urusniaga petronas yang merugikan syarikat utama petroleum dan negara amnya dalam cerpen kali ini. Selamat membaca.

Judul asal saya pada perkataan Lazuardia ialah Lazuardi. Saya harap ia kesalahan menaip pengendali facebook TC sahaja.

Selasa, Ogos 31, 2010

Gelam dalam pantun

Kapal selam tidak tenggelam
Anak kapal terjun laut
Kerana pengantin seperti gelam
Itu rahsia hati bertaut



Mari kita lihat kecantikan gelam.

1. Melaleuca howeana


2. Melaleuca lanceolata


3. Melaleuca leucadendron


4. Melaleuca nervosa


Sumber foto: Wikipedia.

5. Gelam Hatiku.

Jumaat, Ogos 20, 2010

Bersama seorang penulis



Penulis Puteri Andalas, lima tahun lebih tua daripada ayahku. 13 tahun lebih tua daripada ibuku.

Sabtu, Ogos 07, 2010

DOM: Hadiah Sastera Perdana: Perdana atau Tidak?

Dialog Orang Muda (DOM).

Dialog Orang Muda kali ini membicarakan topik ‘Hadiah Sastera Perdana Malaysia – Perdana atau tidak?’ berlangsung di Rumah PENA jam 10.30 pagi – 12.30 tengah hari. Diskusi ini dijayakan oleh panel-panel Rahimidin Zahari, Salman Sulaiman dan Raihani Binti Mohd Said. Manakala Muhammad Lutfi Ishak bertindak selaku moderator.


A. Antara perkara yang disentuh berkaitan hadiah sastera ini adalah seperti berikut:

  1. Hadiah sastera ini tidak konsisten dari segi penganjurannya.
  2. Hadiah sastera ini dinilai oleh panel penilai yang sama. Iaitu panel penilai HAdiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tetapi pengadilan berbeza. Sebagai contoh, ada karya yang mendapat saguhati dalam HSKU mendapat Hadiah Utama dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).
  3. Panel penilai masih memiliki kerangka pemikiran lama dan rigid sehingga tidak bersifat terbuka terhadap pemikiran baharu oleh penulis muda.
  4. Kaedah pengumpulan karya untuk dinilai memerlukan penulis menghantar sendiri karya kepada urus setia HSPM.
  5. Tiada dokumentasi karya-karya yang menang HSPM.
  6. Karya-karya yang dinilai juga tidak betul-betul disiarkan dalam Media Perdana.


B. Cadangan-cadangan penambahbaikan.

  1. Penganjuran dibuat secara tahunan atau jika tidak mampu dianjurkan secara berkala.
  2. Perlu diwujudkan semula Sekretariat HSPM yang mempunyai bidang tugas spesifik dalam mengumpulkan karya-karya. Pendekatan pengumpulan karya perlulah mengikut pendekatan terkini (secara online) dengan jaringan kerjasama editor media perdana dengan sekretariat HSPM.
  3. Karya yang menang hadiah dalam HSPM dibukukan seperti mana yang dibuat terhadap karya-karya HSKU.
  4. Perlu diwar-warkan senarai panjang karya-karya yang dinilai sebelum diumumkan keputusan sebenar. Dengan ini khalayak lebih cakna terhadap karya-karya yang dinilai.
  5. Satu seminar atau dialog diadakan selepas penyampaian hadiah. Dengan ini sebarang rasa tidak puas hati pengkritik dapat didiskusikan barisan panel penilai.


------------------#---------------------
Kesimpulan: Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebenarnya tidak perdana dengan mengambil kira perkara-perkara yang disentuh dalam dialog ini.

Khamis, Julai 29, 2010

Sabtu, Julai 24, 2010

Nailah: Sayap Utamanya ditangkap.

NAILAH, nama mirip isteri Usman bin Affan setelah kematian kedua-dua puteri Rasulullah. Nailah tidak pernah apati terhadap subjek yang diajarnya. Sebab itu kehadirannya penuh. Inilah kali pertama Nailah terpaksa meninggalkan kelas.


Usai menyampaikan kuliah, dia memanggil Uzma. Rakan terapat Nailah. Uzma ditemani Fatimah membuntutinya ke pejabat.


“Silalah duduk.” Dia mempelawa Uzma dan Fatimah.


Kedua-dua pelajar itu dengan sopan duduk di sofa.
Dia terus kepada mauduk yang ingin dibicarakan, “Kamu tahu masalah Nailah?”
Uzma dan Fatimah terperangah. Mereka berpandangan. Uzma mencuit Fatimah. Fatimah membalas semula cuilan Uzma. “Suaminya ditahan. Kononnya cuba menyeludup senjata ke Gaza.”


Dia membeliak mata.
“Benarkah tuduhan itu?”


Uzma teragak-agak menjawab, “Dia baru sahaja kembali setelah menyerah makanan dan ubatan kepada sepupunya di Gaza. Dia mengguna terowong bawah tanah.”
Dia menggetap bibir. Geram. Kesal.


“Polisi seperti inilah yang merugikan umat Islam. Sepatutnya polis di Mesir ini bertolak ansur. Lainlah kalau suami Nailah ditahan pihak Israel.” Hujahnya.


Tekanan ke atas Gaza sangat hebat. Ratusan terowong bawah tanah dimusnah pihak keselamatan. Lebih dahsyat tembok dibina sehingga menghalang terowong yang dibina. Lebih menyanyat lagi tika lubang tikus seperti tanggapan Israel diletup dengan gas beracun. Ada juga kes kematian akibat renjatan elektrik. Siapa lagi yang menahan perangkap ini? Kejam! Menurut rekod rasmi, 141 orang terbunuh sejak 2007. 116 orang daripada mereka mati dua tahun kebelakangan.


Fatimah mencelah, “Inilah akibat jika dicucuk hidung. Terlalu menjaga adikuasa. Bimbang kalau-kalau ekonomi negara disekat kuasa besar.”


Mereka sedia maklum dasar luar negara. Bersekutu dengan negara yang di belakang tabirnya pendokong Zionisme.


Tiba-tiba alunan nasyid Merah Saga menyusup masuk dalam jemala minda. Dia bertanya sendiri, ‘Bila Palestin kan aman?’ Dia tiada jawapan pasti. Sama seperti puluhan tahun rakyat Palestin menunggunya. Sebahagiannya syahid.

----------------
Nota: Sedutan (excerpt) dari novel yang sedang dalam bikinan. Mohon tidak dicuplik oleh mana-mana pihak.

Selasa, Julai 13, 2010

Bahlut: Membela keadilan dari trek.



Judul: Bahlut
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd
Tahun: Mac 2010.
ISBN: 9789673620029
Harga: RM23.00 (Semenanjung)/RM25.00 (Sabah/Sarawak)
Halaman:398 muka surat
Pengulas: Naimisa Yusof.


Novel bersiri Nama Eng Bahlut dahulunya disiarkan secara bersiri dalam Majalah Tunas Cipta (TC). Apabila majalah TC dihentikan penerbitannya sementara waktu, maka tergendala juga siaran novel ini. Setelah beberapa lama, akhirnya lahir Bahlut.

Bahlut memuatkan kisah perjuangan orang Asli menegakkan keadilan. Sejak awal lagi, Bahlut kehilangan ayahnya secara misteri. Ayahnya Tiji atau nama Islamnya Umar berkonflik dengan Batin Endau tentang pencerobohan tanah adat orang Asli. Sejak itu Umar hilang selepas keluar ke pekan memasarkan hasil hutan. Tidak lama kemudian, ibu Bahlut Embun dikatakan hilang diterkam harimau.

Cikgu Zaiful yang kasihan dengan nasib Bahlut mencadangkan Bahlut bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Itu pun setelah melihat potensi Bahlut dalam acara pecut. Kebetulan abangnya Ustaz Zaidi yang berisiterikan orang Asli sedia membantu. Ustaz Zaidi yang dipanggil Pak Idi oleh Bahlut menjadi anak angkat. Ketika itu Bahlut masih belum Islam. Betapa Ustaz Zaidi mempunyai pertalian rapat dengan orang Asli dan memahami kesusahan yang menimpa mereka.

Cikgu Zaiful, Cikgu Zalman dan Kabut menjalankan siasatan sendiri. Mereka dapati Embun ditangkap pembalak haram. Mereka menaiki jip yang dipinjam daripada Guru Besar, Cikgu Farid. Malangnya mereka ditimpa kemalangan. Jip yang dipandu terbabas ke dalam gaung dan Cikgu Zalman mati. Pada waktu yang sama, Embun bersama Kartika berjaya meloloskan diri. Kartika menjadi mangsa sindiket pekerja asing yang dipaksa menjadi pelacur di kem pembalak haram. Mereka berdualah yang memaklumkan orang kampung tentang kemalangan yang menimpa Cikgu Zaiful, Cikgu Zalman dan Kabut.

Bahlut terus mencipta nama di persada dunia. Ketika kehilangan Cikgu Zalman, semangat hidupnya luntur. Tetapi dia mendapat sokongan padu orang sekelilingnya. Dia dihujahkan sikap Mohd Ali yang melempar pingat emas ke dalam sungai kerana protes dasar Apartheid. Ibunya yang menyusup keluar ke Kuala Lumpur mendapat pertolongan Sumayyah, saudara Kartika. Mereka diterima bekerja di Gimnasium California. Embun yang buta huruf hanya sempat menyimpan keratin akhbar memuatkan gambar Bahlut meraih pingat emas. Kebetulan pula Bahlut ditawarkan menjadi duta produk oleh pemilik Gimnasium California. Akhirnya mereka (Bahlut dan Embun) bersatu semula.

Kabut. Wanita Asli yang lari dari cengkaman Tiat, tunangnya yang menjadi tali barut pembalak haram. Setelah keluar dari hospital Cheras, dia memohon untuk terus tinggal di Kuala Lumpur. Dia tinggal bersama kawannya Donna (Siti Hajar) dan bekerja di kedai makanan segera. Suatu hari hampir-hampir dia ditangkap Tiat dan rakan-rakannya. Diringkaskan cerita, Kabut berkahwin dengan Ustaz Zaidi. Enam bulan kemudian, Bahlut menang pingat emas sukan SEA. Mereka mengguna kesempatan ini mengadakan sidang media. Bahlut mengumumkan untuk memulang semula pingat yang dimenangi. Waktu inilah yang dimanfaatkan Bahlut untuk memaklum kepada dunia nasib dan kesengsaraan orang Asli di kampungnya.

Akhirnya pihak kementerian termasuk PM sendiri memberi perhatian kepada isu pembalakan haram itu. Selesai. Cerita sisi tentang Umar diakhiri dengan pemergiannya ke Korea mengikuti isterinya Aisyah.

Dan seperti biasa Faisal Tehrani menyulam karya beliau dengan sisi ilmu yang mantap. Novel ini memuatkan dunia atlet khususnya lumba lari. Selain itu, diadunkan juga bahasa percakapan orang Asli suku Semai. Tentulah ini menjadi pengalaman baharu kepada pembaca menyelami budaya orang Asli. Dan seperti biasa gagasan dakwah dimuatkan sebagai mengetengahkan kesyumulan Islam. “Meskipun hek bukan Islam tetapi Pak Idi tetap mengambil hek sebagai anak. Kerana dalam dada eng, Islam datang membela orang yang tertindas dan mengalahkan yang menindas.” (halaman 232). Bahlut dan Embun akhirnya memeluk Islam.

Jumaat, Jun 18, 2010

Sajak: Lelaki bertali leher di pintu masjid



Terpacak menghadap kiblat
mengangkat takbir
tanpa menunggu bilal selesai
menghabiskan fungsinya

Tali leher bergantungan
kala rukuk seolah
itulah tarikan duniawi
atau jasadnya nanti kaku
ditarik bumi
(megahkah dia begitu?)

Apakah dia peduli
pahala seekor unta
seekor kibas
seekor ayam
atau sebiji telur

Khatib berkhutbah panjang
dia duduk mengangguk
mata pejam seperti khusyuk
dalam sengguk melawan letih
(hadamkah dia isi khutbah?)

Imam memberi salam
dia lekas membuka langkah
mengejar wang berlari seiring masa
sebelum sempat mengaminkan doa

--------------
Naimisa, Sentul.

Ahad, Jun 06, 2010

Sana-sini



Pertemuan Komuniti Teka-teki, eSastera.



Rumah PENA, 04 Jun 2010. 8.30 malam - 1.30 pagi 05 Jun 2010.

Penyair terkenal Kedah, Puzi Hadi membeli novel RSM. Terima kasih tuan haji.

05 Jun 2010. 9.30 pagi.

Selasa, Jun 01, 2010

Ahad, Mei 16, 2010

Lazat makanan




Lazat memecah selera
kunci rasa jelira
setiap kali mulut mengunyah
dan liur masih tawar

Lazat cuma sekelip mata
pabila melewati halkum

Flamming Steamboat, Bandar Sunway.
14 Mei 2010. 9.00 - 11.00 malam.

Ahad, Mei 09, 2010

Bengkel Asas Penulisan Novel Islami (GISB)


Sumber: Facebook GISB.


8 Mei 2010. Saya menjejak kaki ke Astana Karya (GISB), Kota Damansara. Bengkel penulisan novel dikelolakan sendiri oleh Editor Perolehan (Novel) iaitu Tuan Hj. Zakaria Sungib. Bengkel bermula jam 9.00 pagi dan tamat jam 4 petang.

Bengkel dijalankan sebagai langkah menerangkan dasar editorial GISB berkaitan novel Islami. Selain itu memudahkan pihak GISB mengenal pasti bakal penulis yang berpotensi. Dari segi ruang dan peluang, buat masa ini segmen novel Islami kendalian GISB sangat luas. Menurut Tuan Hj. Zakaria, “GISB baharu mengorak menerbitkan novel Islami dan setakat ini 18 judul sudah diterbitkan.” Senario semasa peminat novel di Malaysia menunjukkan novel Islami mempunyai sambutan yang menggalakkan. Dan adalah berbaloi RM20.00 dilaburkan untuk menyertai bengkel ini. Pada pendapat saya, ia mencapai objektif pihak penganjur dan memenuhi objektif saya sebagai peserta. Perkara teknikal seperti royalti dan perjanjian penerbit juga dimaklumkan.

Menyertai bengkel satu hal, dan menulis satu hal yang lain pula. “Bengkel penulisan bolehlah dianalogikan seperti orang belajar berenang. Jika pelajar tidak terjun ke air, bagaimana dia akan mahir berenang?” Maksud saya ini.

Pihak GISB akan menganjurkan lagi penulisan ini pada masa hadapan. Sebarang pertanyaan bolehlah diajukan kepada Tuan Hj. Zakaria Sungib melalui emel zakaria@galeriilmu.com.my

Sabtu, April 24, 2010

Khamis, April 22, 2010

Taman masalah


Judul: Taman masalah

(mengenang gelisah jiwa menanti gaji dua bulan)



Sekusut manapun akalmu
masih ada bunga
mewangi setaman masalah


lupakah kamu pesan nenda
"Masalah menguji kebijaksanaan."

-----------------------------
Naimisa, 22/04/2010

Isnin, Mac 08, 2010

Apalah nasib bahasa kita 50 tahun lagi?

(Sempena Hari Pejuang Bahasa)


Mohon tidak dicuplik karya ini. Telah disiar di Berita Minggu, 07 Mac 2010.