Judul: Bahlut
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd
Tahun: Mac 2010.
ISBN: 9789673620029
Harga: RM23.00 (Semenanjung)/RM25.00 (Sabah/Sarawak)
Halaman:398 muka surat
Pengulas: Naimisa Yusof.
Novel bersiri Nama Eng Bahlut dahulunya disiarkan secara bersiri dalam Majalah Tunas Cipta (TC). Apabila majalah TC dihentikan penerbitannya sementara waktu, maka tergendala juga siaran novel ini. Setelah beberapa lama, akhirnya lahir Bahlut.
Bahlut memuatkan kisah perjuangan orang Asli menegakkan keadilan. Sejak awal lagi, Bahlut kehilangan ayahnya secara misteri. Ayahnya Tiji atau nama Islamnya Umar berkonflik dengan Batin Endau tentang pencerobohan tanah adat orang Asli. Sejak itu Umar hilang selepas keluar ke pekan memasarkan hasil hutan. Tidak lama kemudian, ibu Bahlut Embun dikatakan hilang diterkam harimau.
Cikgu Zaiful yang kasihan dengan nasib Bahlut mencadangkan Bahlut bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Itu pun setelah melihat potensi Bahlut dalam acara pecut. Kebetulan abangnya Ustaz Zaidi yang berisiterikan orang Asli sedia membantu. Ustaz Zaidi yang dipanggil Pak Idi oleh Bahlut menjadi anak angkat. Ketika itu Bahlut masih belum Islam. Betapa Ustaz Zaidi mempunyai pertalian rapat dengan orang Asli dan memahami kesusahan yang menimpa mereka.
Cikgu Zaiful, Cikgu Zalman dan Kabut menjalankan siasatan sendiri. Mereka dapati Embun ditangkap pembalak haram. Mereka menaiki jip yang dipinjam daripada Guru Besar, Cikgu Farid. Malangnya mereka ditimpa kemalangan. Jip yang dipandu terbabas ke dalam gaung dan Cikgu Zalman mati. Pada waktu yang sama, Embun bersama Kartika berjaya meloloskan diri. Kartika menjadi mangsa sindiket pekerja asing yang dipaksa menjadi pelacur di kem pembalak haram. Mereka berdualah yang memaklumkan orang kampung tentang kemalangan yang menimpa Cikgu Zaiful, Cikgu Zalman dan Kabut.
Bahlut terus mencipta nama di persada dunia. Ketika kehilangan Cikgu Zalman, semangat hidupnya luntur. Tetapi dia mendapat sokongan padu orang sekelilingnya. Dia dihujahkan sikap Mohd Ali yang melempar pingat emas ke dalam sungai kerana protes dasar Apartheid. Ibunya yang menyusup keluar ke Kuala Lumpur mendapat pertolongan Sumayyah, saudara Kartika. Mereka diterima bekerja di Gimnasium California. Embun yang buta huruf hanya sempat menyimpan keratin akhbar memuatkan gambar Bahlut meraih pingat emas. Kebetulan pula Bahlut ditawarkan menjadi duta produk oleh pemilik Gimnasium California. Akhirnya mereka (Bahlut dan Embun) bersatu semula.
Kabut. Wanita Asli yang lari dari cengkaman Tiat, tunangnya yang menjadi tali barut pembalak haram. Setelah keluar dari hospital Cheras, dia memohon untuk terus tinggal di Kuala Lumpur. Dia tinggal bersama kawannya Donna (Siti Hajar) dan bekerja di kedai makanan segera. Suatu hari hampir-hampir dia ditangkap Tiat dan rakan-rakannya. Diringkaskan cerita, Kabut berkahwin dengan Ustaz Zaidi. Enam bulan kemudian, Bahlut menang pingat emas sukan SEA. Mereka mengguna kesempatan ini mengadakan sidang media. Bahlut mengumumkan untuk memulang semula pingat yang dimenangi. Waktu inilah yang dimanfaatkan Bahlut untuk memaklum kepada dunia nasib dan kesengsaraan orang Asli di kampungnya.
Akhirnya pihak kementerian termasuk PM sendiri memberi perhatian kepada isu pembalakan haram itu. Selesai. Cerita sisi tentang Umar diakhiri dengan pemergiannya ke Korea mengikuti isterinya Aisyah.
Dan seperti biasa Faisal Tehrani menyulam karya beliau dengan sisi ilmu yang mantap. Novel ini memuatkan dunia atlet khususnya lumba lari. Selain itu, diadunkan juga bahasa percakapan orang Asli suku Semai. Tentulah ini menjadi pengalaman baharu kepada pembaca menyelami budaya orang Asli. Dan seperti biasa gagasan dakwah dimuatkan sebagai mengetengahkan kesyumulan Islam. “Meskipun hek bukan Islam tetapi Pak Idi tetap mengambil hek sebagai anak. Kerana dalam dada eng, Islam datang membela orang yang tertindas dan mengalahkan yang menindas.” (halaman 232). Bahlut dan Embun akhirnya memeluk Islam.
2 ulasan:
Umar tu bukan ke ayah bahlut? kenapa tiba2 akhirnya Umar mengikut isterinya Aisyah ke Korea? dia belum meninggal tapi menghilangkan diri ke pekan dan berkahwin lainkah? ahaaaa.. banyak soal pulak yer.....cerita menarik!! insyaAllah kalau singgah MPH saya beli..
Afida, selamat mencari Bahlut & membacanya.
Terima kasih. :)
Catat Ulasan