Semalam seorang kawan saya memaklumkan, “Aku terima SMS, minta aku pilih pasukan yang akan menang. Kalau betul pilihan tu, akan dapat masa berbual percuma sepuluh minit. Kalau jawab, akan ditolak kredit seringgit.”
Saya jawab, “Jangan jawab. Itu sudah dikira judi.”
Betapa itulah antara perkara yang sedar atau tidak melanda kita secara tidak dikehendaki. Betapa hal ini jika tidak difahami boleh menyebabkan seseorang terjebak dengan judi. Konsep judi ialah anda meletakkan sesuatu dengan harapan mendapat sesuatu keuntungan. Pelaburan RM1 setiap orang adalah pertaruhan. Samalah dengan orang yang bermain dam di kedai kopi, yang bermain itu bersetuju mana-mana yang kalah perlu belanja secawan kopi. Begitu juga dengan orang yang bermain golf, seringgit selubang. Maka selepas habis bermain, orang-orang yang tidak dapat memukul bola golf ke dalam lubang atau bilangannya kurang daripada rakan yang lain, perlu membayar wang.
Tetapi jika hadiah itu ditaja oleh orang lain, ia tidak dikira judi. Contohnya, saya teman kawan bermain golf – sebagai pemerhati. Saya berkata kepada tiga orang kawan saya yang bermain, “Siapa menang saya belanja makan malam.” Maka hadiah itu tidak termasuk dalam judi. Tiga orang yang bermain tidak mencagar apa-apa sebagai taruhan. Maka menang atau kalah, mereka tidak rugi atau untung.
Berbalik kepada sms yang di atas, tawaran itu menjadi judi kerana setiap orang yang meneka (sebenarnya bertaruh), menyerahkan kredit RM1 kepada pemilik server.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan