Rabu, Julai 28, 2010

Bilakah perubahan jadi realiti?

STAR 9 Mei 2010 memuatkan satu artikel orang kuat akhbar berkenaan tentang Melayu. Menurut penulis itu, jumlah orang Cina di Malaysia semakin berkurangan. Sebagai contoh, di Pulau Pinang Melayu meningkat kepada 42 peratus manakala Cina menurun kepada 40.9 peratus (daripada 43 peratus pada tahun 2005). Penduduk Pulau Pinang seramai 1.6 juta. Jika Melayu bijak berpolitik, aka nada KM Melayu di Pulau Pinang. Dalam tulisan yang sama, diramalkan bahawa Melayu di Malaysia akan meningkat kepada 72.1 peratus manakala bangsa Cina hanya tinggal 18.6 peratus pada tahun 2035. Kita tinggalkan analisa berbau perkauman di sini. Biarlah masa yang menentukan betul atau salah ramalan ini.


Hari ini, dalam politik realiti kita dimomokkan dengan kehilangan kuasa Melayu sekiranya tidak lagi berpegang teguh mendokong perjuangan parti teras Melayu. Media mula memainkan isu betapa Melayu akan hilang di Malaysia jika pemerintahan diberi kepada kelompok lain seperti PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR). Isu perpaduan menjadi duri dalam daging PAS sehingga memperlihat kekalutan di segenap penjuru. Orang-orang yang tidak faham permainan politik akan mabuk dan keliru dengan isu ini. Akhirnya mereka dengan mudah menyimpan persepsi negatif kepada PAS (dan PR) dalam memperjuang agenda mereka.


Perlu diketahui, bahawa dalam medium bermaklumat pihak kerajaan masih menguasai massa di pedalaman kerana media satelit (tivi) dikuasai mereka. Orang-orang pedalaman tidak memperoleh maklumat yang seimbang tentang parti lain selain BN. Malahan orang-orang di pedalaman tidak gemar membeli akhbar lebih-lebih lagi dalam keadaan harga barang yang semakin meningkat. Saya berani mengatakan tidak lebih dari lima peratus orang-orang di pedalaman membeli akhbar. Inilah realiti yang harus disedari. Bermakna sesuatu perlu digerakkan untuk menyampaikan maklumat berkaitan perjuangan mana-mana parti dengan mengadakan sesi penerangan. Dan inilah yang menjadi masalah utama kepada parti politik dalam PR.

Tiada ulasan: