Apabila saya menulis satu entri tentang ulasan seorang ustaz muda, saya hujahkan satu ayat. Ketika menulisnya, saya hanya ingat ayat itu tetapi tidak pasti pula kedudukannya yang tepat dalam al-Quran. Baharu saat menunggu iqamat Maghrib tadi saya berpeluang mencari ayat tersebut dengan tenang. Betapa rahsia ilham dari-NYA adalah suatu yang cukup misteri. Sebelum membelek al-Quran, saya niatkan (sambil berharap) semoga saya jumpa ayat tersebut. Subhanallah, DIA memudahkan saya mencarinya. Dua kali belek, saya ditemukan ayat tersebut. Demikianlah proses kita berfikir, kadang-kadang kala kita tidak fokus atau mungkin ripuh memikirkan perkara lain, Allah tarik sekejap ingatan kita.
Dan saya ulang semula ciri utama pemimpin dan tugasnya disebut dalam surah al-Hajj ayat 41. Artikel yang saya coret itu mungkin ada sedikit keterbalikan, tetapi itulah sesi yang terpaksa saya ikuti ketika mengikuti kursus Bina Negara. Memang yang dijemput berceramah pun ustaz lulusan al-Azhar tetapi itulah modal yang digunakannya menurut piawaian Biro Tatanegara. Semacam saya ingin lontarkan juga pandangan seperti yang dicoretkan tetapi tidak sempat kerana ruang waktu yang terbatas. Terus terang saya katakan, bahawa apabila datang ke kursus seperti ini tidak boleh tidak kenalah menapis betul salahnya kata-kata penceramah. Ia umpama proses neutralisasi (brainwashing) kepada peserta agar terus menyokong pihak-pihak tertentu. Ada perasaan geram, meluat, pedih telinga malahan sesekali api kebangsaan membara.
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (al-Hajj: 41)
Jika ada pemimpin maka tentulah ada yang mengangkat mereka sebagai pemimpin. Dalam koteks demokrasi, setiap warga yang berumur 21 tahun dan ke atas sepatutnya menggunakan peluang dengan penuh kesedaran sivik; ‘Bahawa setiap diri mempunyai HAK melantik pemimpin parti-parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya melalui UNDI.’ Sejarah telah menunjukkan bagaimana gara-gara tidak memanfaatkan sistem undian ini, seorang pemimpin wanita menjadi ketua. Tetapi kemudian mereka terkejut, dalam keadaan tiada apa yang boleh diubah. Itulah yang pernah terjadi di Pakistan. Malaysia selaku negara bekas jajahan yang dikatakan asalnya milik peribumi Melayu dan orang asal dan etnik-etnik Bumiputera di Sabah dan Sarawak; dikejutkan pula dengan angka daftar pemilih yang menyedihkan. Satu kajian yang dilihat sebagai marak dengan kebangsaan Melayu menonjolkan nisbah 1:40, yang pada teorinya jika benar pula pada praktiknya memungkinkan Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh nanti pastilah orang bukan Melayu.
Maka mari kita lihat angka-angka lain yang telah ditimbulkan terlebih dahulu. “Kira-kira 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir tahun lalu, dengan 65 peratus daripada mereka adalah bumiputera” (Laporan 18 Jan 2010).
Kemudian bandingkan pula dengan laporan ini, "Pengumuman rasmi yang dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof berkaitan peratusan pemilih baru 2 Melayu dan 1 bukan Melayu...." (laporan berita 4 Julai 2010)
“Dan soalnya, apakah Malaysia negeri Melayu yang mengikut kata-kata Hang Tuah; Takkan Melayu Hilang di Dunia?”
Jawablah sendiri dengan sikap dan kepedulian anda terhadap survival bangsa Melayu di tanah air tuan-tuan sendiri. Jika anda tidak kisah soal melantik pemimpin, bermakna andalah yang memulakan bibit kelenyapan Melayu di bumi Malaya ini. Jika ditanya saya, “Buat apa dilantik pemimpin?” Jawab saya, “Agar dapat dibangunkan agama dalam pemerintahannya. Barulah sejahtera kehidupan di dunia yang sementara ini.” Fikirlah sendiri mana-mana pemimpin yang anda fikir dapat perjuangkan ad-Diin itu.
"Sudah ada fitnah buat pemimpin agama dengan keganasan di Malaysia. Pada saya kita tidak perlu membuat propaganda ini semata-mata mahu mengekalkan kuasa."
1 ulasan:
mudah mudahn yang ada itu dan yang daftr itu ....tahu memilih pemimpin yang patut diangkatnya... bukan mereka yang diundi bukan dikalangan mereka yang tidak patut dan tidak layak jadi pemimpin...
Catat Ulasan