Sabtu, Julai 24, 2010

Alif Lam Mim.


Ayat pertama surah al-Baqarah. Sepakat ulama mengatakan, “Hanya Allah mengetahui makna sebenar kalimah ini.”


Dalam bahasa Arab, tiada pertuturan yang menggunakan singkatan huruf-huruf atau hanya satu huruf. Terdapat beberapa pendapat lain tentang kalimah Alif Laam Miim.

  1. Huruf-huruf ini adalah sebahagian daripada perkara yang diketahui oleh Allah sahaja. Inilah pendapat Abu Bakr Ash-Shidiq, Umar al-Khattab, Usman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Abdullah bin Mas’ud.
  2. Huruf-huruf ini merupakan nama surah dalam al-Quran. Menurut pendapat Zaid bin Abdul Rahman al-Aslam dengan merujuk kepada hadis Imam Bukhari. Imam Bukhari menukilkan satu hadis bahawa dalam solat fardhu Subuh hari Jumaat Nabi membaca Alif Lam Mim as-Sajadah dan ad-Dahr (al-Insaan).
  3. Huruf-huruf ini merupakan nama dari nama-nama Allah Yang Agung. Inilah pendapat Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma.


Sebagai mengambil jalan selamat, sepakat ulama menyerahkan kepada Allah. DIAlah yang lebih berhak mengetahui makna sebenar. Inilah yang dilakukan oleh golongan rasikh iaitu golongan yang memantapkan kefahaman dalam ilmu seperti yang disebut dalam surah aali-‘Imraan. Mafhum ayat, “…dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikir.” (7: aali-Imran)

--------------
Nota Kuliah Subuh, Ust. Wan Nasir, 24 Jul 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul. Tafsir Al-Quran.

Tiada ulasan: