Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri Mekah ini negeri yang aman dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala. Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat). Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur. (Ibrahim:35-37)
Demikian Allah merakam dalam al-Quran tentang doa seorang nabi. Kehidupan di Makkah adalah kehidupan yang paling asas. Tanah Haram itu manusia menuju kepada Allah. Manusia seluruh dunia mengunjungi Makkah untuk menjalankan ibadah dalam haji; termaktub dalam Rukun Islam yang kelima. Falsafah di sebalik haji boleh dilihat dalam satu hadis; sahabat bertanya kepada nabi, 'Apa itu haji mabrur?” Jawab baginda S.A.W, “Ith'aamu ath-Tho'aam wathiibu al-kalaam; (Mudah memberi orang makan dan memperelok tutur kata.)”
Natijah daripada haji mabrur menjadikan orang-orang yang menunaikan haji dapat menyelesaikan gejala sosial yang melanda negara. Bayangkan kalau setiap yang bergelar haji dan hajjah menjadi dermawan, maka tiadalah masalah orang tidak cukup makan. Tidak akan timbul masalah ibu tunggal atau wanita yang sanggup menggadai maruah untuk mencari sesuap nasi.
Manusia hanya akan mengingati Allah lebih banyak sekiranya berada dalam keadaan paling asas. Apabila dunia diselerakkan dengan pelbagai benda seperti hiburan, kerja dan seumpamanya mudahlah manusia lalai. “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam Neraka)” (Maryam: 59)
Apakah haji tidak memberi kesan kepada jemaah haji? Sekembali mereka, anak-anak dibiarkan lalai, tidak kembali kepada asas mengukuhkan solat. Solat sebagai kefardhuan bagi setiap diri, apabila dicuaikan akan merosakkan diri sendiri. Manusia yang mengabaikan solat akhirnya mengikut nafsu sewebang-wenangnya, maka berkembang biak maksiat dalam masyarakat. Jika begitu, kita pun wajar bertanya, “Apakah haji yang ditunaikan itu mabrur?”
---------------------------------------------------------------------
Nota kuliah Maghrib, Ust. Hasnil, Haji Mabrur, 19 Jun 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan