Buat ustaz yang saya hormati.
Semalam kata ustaz, “Yang memberikan kamu makan (agar terhindar dari kelaparan), dan yang mengamankan kamu dari ketakutan.”[1] Katamu lagi, “Inilah dia tugas pemimpin yang utama. Apabila dia mengusahakan hal ini, maka perjuangan pemimpin ini wajib disokong. Mereka pemimpin yang baik.”
Lalu dalam hati saya ada detik dan gerak 'songsang', 'Ah! Bagaimana?'
Dan minda saya menerjah pada ingatan akan ayat yang ustaz baca. Semacam saya mahu memberitahu ustaz, “Ustaz, tidakkah satu ayat sebelumnya difirmankan begini? - Maka sembahlah Tuhan rumah ini (Kaabah).” [2] Itulah pesan dari langit kepada Quraisy agar mereka tidak mensyirikkan Allah.
Adapun secetek pengetahuan saya, tugas pemimpin setelah diberi kekuasaan difirmankan-NYA dalam satu ayat lain. Seingat saya begini, “Dan mereka yang diberi kekuasaan (kuasa memerintah) di dalam bumi, mereka itu mendirikan solat dan menunaikan zakat dan menyeru kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran...” Hak mutlak Allah jualah memberikan makan minum dan mengamankan manusia dari segala ketakutan.
Menurut ustaz, pemimpin membangunkan ekonomi dengan simbolik memberi makan dan menjaga keselamatan rakyatnya iaitu mengawal negara dengan segala macam peraturan. Apakah tidak dinyatakan dalam satu ayat yang saya bawakan itu? Bagaimana ekonomi berkembang dengan membawakan hujah saya di atas? Sejujurnya kita dapat berfikir, anjuran berzakat tentulah secara automatik menggalakkan setiap orang mengusahakan sesuatu. Dengan kata lain, setiap orang mencari rezeki dengan segigihnya. Maka jika tidak dari aktiviti ekonomi (salah satu jalannya), dari mana lagi sumber pendapatan itu datang? Kemudian limpahan rezeki itu dibersihkan dalam bentuk zakat. Tidakkah itu sudah mencakup aspek pembangunan ekonomi?
Ustaz,
Sefaham saya dan maafkan saya jika membantah pendapat ustaz. Saya berpendapat semacam ustaz mengatakan pemimpinlah yang membebaskan seseorang daripada kelaparan dan ketakutan. Walhal itu semua hak mutlak Allah. Hebatnya suruhan Allah dalam empat perkara yang diperintahkan-NYA kepada pemimpin. Keamanan dalam diri sendiri hanya wujud apabila seseorang teguh dan istiqamah dengan solat. Keamanan akan timbul dari rasa kecintaan dan kasih sayang orang-orang yang lemah, miskin, papa kedana kerana menumpang tuah orang-orang yang sihat dan kaya. Mereka mendapat perhatian sewajarnya. Bukanlah bermakna dianjurkan sesetengah orang berpeluk tubuh semata-mata. Tetapi yang 'berpeluk tubuh' itu tidakkah lemah? Mereka lemah kerana kehilangan ayah atau ibu atau kedua-duanya. Mereka tidak aman dan terpaksa meminta-minta kerana bebanan hutang yang tidak tertanggung. Mereka lemah kerana berada dalam lorong ilmu sehingga tidak mungkin membolehkan mereka memfokus sebahagian waktu meraih pendapatan. Mereka lemah kerana mungin baharu sahaja disisih dari keluarga asal kerana beriman kepada Allah. Mereka lemah kerana sememangnya mereka dimiskinkan materi sehingga tidak berupaya menyerlahkan kemewahan. Dan beberapa golongan lain tidak perlulah disebut di sini.
Ustaz,
Benarlah, apabila dibangunkan ekonomi semata-mata tanpa dibangunkan manusiawi; dalam kata lain jiwa kosong dan kontang dari penghayatan agama – berteraburlah aturan hidup manusia. Kita sedia maklum, manusia apabila sudah senang mudah menjadi lupa. Lupa pada Allah. Lupa pada syariat-NYA. Justeru mewabaklah penyakit sosial. Itulah dia maksiat kerana manusia meninggalkan solat, dan tiada pula orang yang menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran. Baharu tadi, dalam khutbah Jumaat hari ini disebutkan tentang kehancuran manusia. Saya pun ingat lagi kata khatib, “Allah berfirman yang bermaksud, Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. Al-Israa, ayat 16.”
Ustaz,
Apakah jaminan pemimpin yang berjuang membangunkan ekonomi tanpa membangun sisi rohani pengikutnya dapat menjadikan mereka manusia yang taat? Tidakkah kita tahu, manusia mudah alpa dek godaan syaitan yang hebat menipu daya? Kita pun maklum kisah Qarun yang kaya. Kita pun ingat sedikit-sedikit kisah Firaun yang berkuasa. Tidakkah mereka manjadi angkuh akhirnya malah berani mengaku diri sebagai Tuhan? Dan soalan saya, “Apakah ustaz pula mahu mempertuhankan sesetengah pemimpin yang diidolakan itu?”
Ustaz,
Maafkan saya kerana persoalan ini mungkin menjadikan saya manusia biadap. Dan itulah yang saya tahu sebagai 'menjawab' hujahan ustaz yang tidak sempat saya sampaikan sesudah kuliah ustaz tempoh hari.
---------------------
Nota:
1. Ayat 4, surah Quraisy.
2. Ayat 3, surah Quraisy.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan