Sabtu, Jun 05, 2010

Kekasihku berwasiat

Dari Abu Hurairah katanya, “Kekasihku (Nabi Muhammad) telah berwasiat kepadaku tiga perkara, dan aku tidak meninggalkannya. Puasa tiga hari setiap bulan, solat sunat Dhuha dan Witir.”

(Diriwayat oleh Bukhari dan Muslim)

Ketiga-tiga perkara disebut dalam hadis ini sebagai sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut. Pertama, puasa pada hari putih (yaum al-Abyadh) iaitu 13, 14 dan 15 haribulan bulan Islam. Kelebihan puasa tiga hari setiap bulan ini seolah-olah berpuasa setahun. Iaitu 36 hari x 10 = 360 hari. Bersandar kepada dalil yang berbunyi, “Man Jaa'a bihasanatin falahu 'asyru amthalihaa...” (Sesiapa yang berbuat kebaikan, maka baginya (ganjaran pahala) 10 kebaikan).

Kedua, solat Sunat Dhuha. Setiap kebaikan yang dilakukan adalah sedekah, dan solat sunat Dhuha menyamai pahala 360 sedekah. Sendi pada seluruh badan manusia adalah bersamaan 360. Solat sunat ini dilakukan kira-kira setengah jam selepas waktu syuruk (matahari naik segalah) sehinggalah sebelum matahari tergelincir. Boleh dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat, dan sebanyak-banyaknya lapan rakaat. Orang yang istiqamah dengan solat sunat Dhuha diluaskan rezeki baginya. Kata ustaz, “Seorang pelajar keputusan wang kerana PTPTN belum dimasukkan ke akaun bank. Dia meminta wang dari kakaknya RM50.00. Pada hari yang dijanjikan dia tidak menghubungi kakaknya.”

“Jadi kakaknya hairan. Setelah ditanya dia memberitahu kakaknya wang RM50 ditemui dalam kasutnya.”

Ketiga, solat sunat Witir. Minimum dilakukan satu rakaat dan maksimum sebelas rakaat. Abu Bakr ash-Shidiq melakukan solat sunat ini sebelum tidur iaitu selepas solat sunat selepas Isyak. Manakala Umar al-Khattab melakukan solat sunat ini selepas tahajjud selepas tidur seketika. Soalnya apakah perlu seseorang solat sunat Witir sekali lagi jika dia mengikut cara Abu Bakr? Kata ustaz, “Jawabnya tidak. Sebab ada hadis mengatakan tiada dua Witir dalam satu malam. Jika sudah buat sebelum tidur, maka laksanakan solat tahajjud sahaja.”

---------------------------------------
Nota Kuliah Subuh, Mutiara Hadis, 05-06-2010, Masjid al-Hidayah, Sentul, Jalan Sentul Pasar, KL.

Tiada ulasan: