Ahad, Mac 28, 2010

Ekspidisi Mendaki Puncak Gunung Chenuang










Catatan peristiwa: 27 Mac 2010.

Gunung Chenuang terletak dalam daerah Hulu Langat, Selangor. Ketinggian puncak gunung ini 853 meter dari aras laut. Projek Unit RSA, CSR dan HRA kali ini melibatkan 12 orang peserta; 7 lelaki dan lima perempuan. Seorang peserta merupakan bekas staf syarikat yang kini bertugas di Balai Polis Bukit Aman. Perjalanan bermula jam 8.00 pagi dari pejabat menaiki van syarikat. Setelah melepasi Balai Seni Lukis Negara, tiba-tiba pengarah program bertanya tentang begnya. Duit yang diperuntukkan untuk program sejumlah RM1000.00 berada di dalamnya. Beg tersebut tertinggal di atas kerusi di hadapan tempat letak kereta bangunan Plaza Sentul. Kami hanya mampu berdoa mudah-mudahan tiada orang yang panjang tangan menyambar begi tersebut. Syukurlah, beg itu masih ada apabila kami berpatah balik. Terima kasih kepada penjaga tempat letak kereta, seorang pemuda India.

Kami tiba di Chongkak Park & Resort (CPR) pada jam 9.45 pagi. Kami disambut oleh pengurus resort dan diperkenalkan dengan jurupandu ekspidisi iaitu En. Halim dan En. Ramli. Kumpulan kami turut disertai dua orang rakan En. Ramli dan seorang pendaki gunung En. Elvin. Menurut jurupadu arah, laluan yang dilalui sudah tidak digunakan sejak lima tahun. Perjalanan bermula di tapak perkhemahan CPR pada jam 10.15 pagi. Denai masih wujud tetapi untuk beberapa ketika En. Halim dan En. Ramli terpaksa membersihkan laluan yang sudah dihalangi buluh dan semak. Perjalanan mengambil masa kira-kira empat jam lima belas minit. Kami tiba di puncak Gunung Chenuang pada jam 2.30 petang. Sebuah mercu tanda dipasang dan ‘tandatangan’ terakhir daripada pendaki sebelumnya bertarikh 2005. Dari puncak ini, kami dapat melihat Empangan Hulu Langat, Batu Berkembar dan Bukit Tebuk. Bahagian Barat dan Timur Bukit Tebuk dipisahkan oleh empangan. Kami berehat di puncak kira-kira setengah jam sebelum turun semula ke CPR.

Perjalanan pulang penuh debaran kerana insiden terjatuh akibat batu licin. Syukurlah tiada kecederaaan serius dihadapi peserta berkenaan. Pemandu van syarikat juga bimbang sehingga menyatakan kebimbangannya, “Kalau jam 9 malam kamu belum turun, saya akan buat laporan polis.” Maklum sahaja, segala kemungkinan boleh berlaku kerana trek ekspidisi sudah lama tidak digunakan. Boleh jadi kami akan tersesat. Pun begitu, dengan kepakaran jurupandu arah, kami selamat pergi dan balik. Kami juga berpeluang merasa air dari akar Kelain. Akar kayu ini apabila ditebang akan mengeluarkan air. Rasanya seperti air mineral yang ditambah sedikit garam. Warnanya jernih seperti air mineral juga. Pada jam 8.00 malam, kami tiba di tapak perkhemahan CPR. Asalnya pengarah projek mahu menyewa chalet tetapi terpaksa membatalkannya kerana chalet penuh. Dalam perjalanan pulang, kami dibawa ke kolam air panas. Hilang lenguh-lenguh sendi setelah merendam kaki selama 15 minit secara percuma. Kolam air panas terletak di belakang Institus Kemahiran Belia Negara (IKBN) Hulu Langat.


Dan akhirnya, kami singgah di Bistro Hulu Langat menikmati makan malam. Inilah waktu untuk ‘membalas dendam’ kehilangan tenaga sepanjang pendakian. Semua peserta memanfaatkan peluang makan sepuas-puasnya. Memang puas! RM182.00 untuk tiga belas orang (termasuk pemandu van). Kami tiba di Sentul pada jam 11.00 malam.

6 ulasan:

Mawar Berduri berkata...

Bertemu lagi hujung minggu ini....:-)
emm...buku anta tak sempat dibeli:-(
nak dapatkan kat mane yer?

Naim berkata...

Ifah, saya ada stoknya.

Boleh beli secara 'cash & carry'.

Insya-Allah, saya bawa hujung minggu nanti...

Tanpa Nama berkata...

slm...bleh saya thu sape zul usim? die keje kt SKALI jgk ke??

Naim berkata...

Salam, tanpa nama.
TIDAK.
USIM (nama lama KUIM, Nilai, NS) itu tempat kerja en. Zul.
Dia senior saya di sekolah menengah dahulu.

Jom Pusing-Pusing berkata...

salam kepada penulis...
kami berminat dengan entry saudara ini...
dan kalau boleh ingin berkongsi pengalaman saudara di dalam blog kami...
blog ini merupakan blog final projek kami bagi mempromosikan hulu langat sebagai tempat pelancongan...
harap saudara izinkan...
kalau ada masa, sudi2 la jenguk blog kami ini...
^^

Naim berkata...

salam, Admin Team Jom Pusing-pusing.

Saya setuju. Semoga bermanfaat. -:)

Terima kasih...