Jumaat, Mac 19, 2010

Dekatkah kita dengan al-Quran?

Imam Nawawi menyebut perkara pertama dalam kitab Thibyan berkaitan kelebihan membaca al-Quran. Sepotong ayat al-Quran menceritakan bahawa orang yang membaca al-Quran akan diberi kelebihan oleh Allah. Antara kelebihan pembaca al-Quran ialah cahaya di wajahnya. Cahaya ini hanya akan dapat dilihat oleh orang-orang yang baik dan dekat dengan Allah.


Dalam mensyarahkan kelebihan tersebut, Imam Nawawi menukilkan hadis dari Usman Bin Affan radhiallaahu ‘anhu yang bermaksud, "Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya (al-Quran) kepada orang lain." Kemudian dinukilkan satu lagi hadis dari saidatina ‘Aisyah radhiallaahu ‘anha yang bermaksud, "Orang yang mahir membaca al-Quran ditempatkan bersama malaikat yang mulia. Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (yarta’ ta’) akan diberi dua pahala."


Dari ayat al-Quran yang dibawa pada awal perbincangan kemudian disusuli dua hadis dapatlah kita ketahui bahawa amat banyak kelebihan yang diberi kepada pembaca al-Quran. Orang yang malas membaca al-Quran memberi alasan tidak mempunyai waktu, keras lidah, rabun mata, tidak pandai dan sebagainya. Apakah orang yang dapat membaca al-Quran setiap hari diberi masa oleh Allah sejam atau dua jam lebih daripada orang yang tidak memiliki masa? Apakah DIA Tuhan yang sama yang mengeraskan lidah, dan tidakkah DIA juga Tuhan yang berkuasa melembutkan lidah orang yang membaca al-Quran? Tidakkah DIA Tuhan yang memberikan mata, DIA jugalah yang berkuasa mencerahkan semula mata orang yang membaca al-Quran? Orang yang matanya melihat al-Quran akan dijaga oleh Allah dan tidak akan dibutakan. Kelebihan melihat ayat al-Quran ialah diberikan pahala. Kelebihan membaca al-Quran adalah ganjaran 10 pahala bagi setiap huruf. Betapa permurahnya DIA menjanjikan kebaikan buat hamba-hamba-NYA.


Bagaimana orang yang tergagap-gagap membaca al-Quran diberi dua pahala? Golongan ini akan mendapat pahala jika dia berusaha belajar memperelok bacaannya. Orang yang kurang mahir membaca al-Quran tidak perlu malu mencari guru al-Quran. Manakah lebih dahsyat rasa malu itu berbanding malu di hadapan Allah di akhirat? Orang yang malu di akhirat akan luruh daging mukanya. Kalau malu di dunia, masih ada perkara yang boleh dibuat seperti menutup muka atau kalau berani menyaman semula orang yang mengaibkan kita. Apakah yang akan kita jawab jika Allah bertanya, "Kenapa di dunia dahulu kamu tidak pernah membaca al-Quran?" Sebelum sempat pun soalan itu ditanya, apakah pula jawapan kita untuk soalan malaikat di barzakh? Sebelum kita berhadapan dengan soalan di barzakh atau akhirat, marilah kita jawab sekarang. "Kita malas atau liat membaca al-Quran kerana kita EGO dengan al-Quran."



Tiada ulasan: