Apakah hakikat kebebasan? Dalam kertas kerja Arah dan Cabaran Penulis Muda: Antara Ubermensch dan Khudi Pembentukan Peribadi Unggul (SM Zakir, Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009), ada ditulis begini; Friedrich Nietzsche memulakan perbahasan dengan menolak persamaan manusia untuk mewujudkan konsep individualistik manusia yang seterusnya mewujudkan manusia unggul iaitu Ubermensch. Bagi Nietzsche, nilai baik dan buruk bergantung kepada individu yang bebas, dan bukan kepada adat atau agama. Nietzsche akhirnya berkata, “tuhan sudah mati.” Bertitik tolak dari sini, dunia Barat mencipta watak super hero seperti Superman, Spiderman, Batman, Wolveman dan sebagainya. Lebih parah lagi hal ini turut berjangkit dalam alam Melayu di Malaysia dengan Kluang Man, Cicak Man, Dr. Kit dan seumpamanya.
Bagaimana manusia yang asalnya taat beragama (dalam konteks Nietzsche agama Kristian) akhirnya menjadi manusia yang tidak percaya kewujudan tuhan? Apakah agama menjadi kongkongan sehingga kita perlu memisahkan diri daripadanya? Sebagai muslim, kita sebenarnya memiliki kebebasan mutlak dengan syarat kebebasan itu di landasan yang benar. Hanya kebenaran yang diperjuangkan menjadikan seseorang berasa bebas. Bebas daripada rasa takut. Bebas daripada rasa gelisah. Manusia diberi akal untuk berfikir dan memilih mana-mana jalan yang dikehendaki. Firman Allah yang bermaksud, “Telah Kami tunjukkan kepada manusia dua jalan.” Ayat ini bermaksud jalan kebaikan untuk dilalui dan jalan kejahatan untuk dijauhi. Selain itu kebebasan haruslah disertai tanggungjawab. Ke arah mana kita mahu melorongkan manusia?
Belakangan ini dunia seni kreatif bergolak dengan soal kebebasan berkarya. Namrom (terima kasih pada sahabatku Teratakerapung) yang kontroversi dengan pengarahan teater TANDA dan pengarah Erma Fatima dengan ANTARA. Memang menjadi falsafah seni kreatif Barat bahawa hasil karya perlu bersifat reaktif. Kerana itulah kesan ghairah digambarkan dengan terperinci untuk memaksimumkan kesan terhadap penonton. Teater TANDA cuba mengambarkan kejelekan wabak sosial dengan pelakon-pelakonnya melakukan adegan yang mendatangkan ghairah. Manakala dalam ANTARA digambarkan keadaan di dalam syurga dan pembawaan watak nabi. Hal ini sangat bertentangan dengan kebebasan berkarya dalam Islam. Lihatlah bagaimana dalam al-Quran Allah menyatakan secara kasar (surficial) tanpa memperincikannya. Sebagai contoh apabila Zulaikha menggoda Nabi Yusuf, tidak dinyatakan bagaimana dia melakukannya. Manakala perkara ghaib seperti syurga dan neraka termasuk dalam perkara yang tidak dapat dicapai oleh akal.
Uslub dakwah sendiri menekankan uruf makan (iaitu situasi dan budaya setempat) perlu diperhatikan sebelum seseorang pendakwah cuba menggagaskan suatu perkara dalam ibadah. Sebab itu masalah fiqh dalam Islam mempunyai pengasas yang dikenal sebagai mazhab. Perkara yang berlaku melibatkan teater TANDA amat bertentangan dengan norma Timur (malah kebanyakan drama dan filem Malaysia juga). Memang tidak dinafikan bahawa adegan berahi membawa kesan (reaksi) penonton tetapi dari segi agama ia dilarang sama sekali. Apakah piawai yang diguna pakai oleh pihak penapis filem dan drama di Malaysia? Kenapa saban tahun kita melihat aksi ranjang walaupun dikelaskan sebagai ringan diluluskan?
1 ulasan:
menarik! Bukan Nasrom tapi Namron(Sahili Abdan)
Catat Ulasan