Imam Bukhari meriwayatkan satu hadis dari Said Bin Mu’allaq seperti berikut. “Dari Said Bin Mu’allaq radhiallaahu ‘anhu katanya; suatu hari aku sedang solat dan Rasulullah S.A.W menyeruku. Setelah selesai solat, aku bertemu nabi dan memaklumkan kepada baginda aku tidak menyahut seruannya kerana solat. Kemudian nabi bersabda, “Tidakkah kamu tahu bahawa apabila Allah dan rasul menyerumu, kamu wajib menjawabnya? Aku mahu ajarkan suatu surah sebelum engkau keluar dari masjid ini.” Kemudian aku bertanya semula, “Tidakkah engkau mahu ajarkan suatu surah sebelum aku keluar?” Nabi menjawab, “Ia tujuh ayat yang diulang-ulang (al-sab’ul mathaani) dan ia al-Quran yang agung.”
Al-Fatihah diberi dengan nama yang pelbagai antaranya ar-Ruqyah, as-solah, al-Hamd, as-Syifaa, Ummu al-Kitaab, Ummu al-Quran, as-sab’ul mathaani, dan al-Quran al-‘Aziim. Al-Fatihah dinamakan ayat yang diulang-ulang kerana dibacakan sekurang-kurangnya 17 kali dalam solat fardhu. Dalam satu hadis Qudsi, dinyatakan bahawa al-Fatihah dibahagikan antara Allah dan hambanya. Empat ayat pertama adalah bahagian Allah. Manakala tiga ayat terakhir pula bahagian hamba-hamba-NYA. Al-Fatihah dinamakan al-Quran al-‘Aziim kerana di dalamnya terdapat intipati al-Quran iaitu konsep ibadah, hari Kiamat dan sejarah umat terdahulu.
Suatu hari sekumpulan sahabat melalui sebuah perkampungan Badwi. Namun begitu mereka tidak dimuliakan sebagai tetamu. Ditakdirkan ketua kampung tersebut dipatuk ular. Maka mereka bertanya, “Siapakah di kalangan kamu boleh berjampi?” Seorang sahabat menjawab, “Aku.” Lalu sahabat tersebut mensyaratkan agar diberi hadiah. Penduduk kampung bersetuju memberikan sekumpulan kambing jika sakit itu sembuh. Lalu sahabat tersebut membaca al-Fatihah dan meniup pada air. AKhirnya sembuhlah ketua kampung tersebut dan mereka diberi kambing. Pun begitu, mereka (sahabat) tidak berani memakan kambing tersebut dan merujuk kepada nabi. Nabi mengatakan bahawa mereka boleh mengambil hadiah tersebut. Dalam perubatan nabi (ath-Thibb Nabawi), menjampi air dengan surah al-Fatihah adalah dibolehkan. Namun, mencapur aduk bacaan al-Fatihah dengan seruan kepada jin dan makhluk lain seperti yang dibuat oleh bomoh-bomoh adalah suatu hal yang salah sama sekali.
Nota kuliah Subuh, 27 Mac 2010. Masjid al-Hidayah, Sentul, Ust. Wan Nasir.
2 ulasan:
bagus2... ilmu yg bermanfaat!!!
info yg sgt baik..tq for sharing
Catat Ulasan