Ahad, Februari 28, 2010

Mengeraskan suara dalam solat

Sunat dibaca dengan jahar (diangkat suara) dalam solat fardhu Subuh, Maghrib, Isyak, solat gerhana bulan. Disunatkan membaca secara perlahan (sirr) dalam solat Zohor, Asar, gerhana matahari. Manakala untuk solat sunat mutlak pada malam hari disunatkan membaca dengan suara pertengahan; tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan. Bacaan secara jahar disunatkan kepada imam dan orang yang solat sendirian.

Namun begitu, selain mereka atau orang yang berada di luar solat seperti qari, pemberi nasihat atau guru yang mengajar makruh membaca dengan suara yang kuat sehingga mengganggu orang tidur atau solat (termasuk solat sunat). Bagaimana contoh mengganggu tidur? Katakan seorang suami balik lewat, ketika balik anak kecil dan isterinya sudah tidur. Maka si suami menunaikan solat Isyak dengan membaca secara jahar sehingga mengejutkan anak kecil dan isteri daripada tidur. Hal ini disebut oleh Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’. Mengganggu orang solat di dalam masjid makruh kerana tujuan asal diwaqafkan masjid adalah untuk orang solat bukan kepada qari dan penyampai nasihat (guru). Pun begitu, bukanlah (hukum makruh yang dinyatakan Imam Nawawi) bermakna tidak boleh mengadakan kuliah pengajian di masjid.

Selain itu disunatkan menyebut dengan jahar takbir intiqalat iaitu takbir untuk memindahkan dari satu rukun ke satu rukun yang lain. Menyebut Allaahu Akbar. Kadar panjang menyebut takbir intiqalat hendaklah memadai waktu melengkapkan perpindahan rukun. Bermakna jika bangkit dari sujud kedua dan berdiri untuk rakaat kedua, sebutan takbir ini lebih panjang daripada berpindah rukun antara duduk di antara dua sujud dengan sujud kedua. Pengecualian sebutan takbir intiqalat hanyalah ketika iktidal iaitu dengan menyebut sami’aLLAAHU li man hamidah (Allah telah mendengar orang yang memuji-NYA). Kalimah tahmid ini diambil sempena meraikan kesyukuran Abu Bakr ash-Shidiq ketika beliau sempat rukuk bersama nabi sewaktu menjadi makmum masbuq.

Dalam solat jamaah, imam dan makmum sunat membaca takbir intiqalat dan sebutan tahmid. Di sesetengah tempat terdapat mubaligh dalam solat jamaah. Mubaligh bermaksud orang yang menyampaikan sebutan takbir intiqalat dan tahmid (ketika iktidal) dengan hasrat makmum yang jauh daripada imam (di belakang) tahu pergerakan imam. Syarat mubaligh mengulang sebutan itu ialah sekiranya makmum yang di belakang tidak mendengar suara imam. Dalam konteks sekarang (Malaysia), imam menggunakan pembesar suara. Maka tidaklah menjadi keperluan untuk seseorang yang lain bertindak selaku mubaligh. Pun begitu, syarat sah menjadi mubaligh dalam solat jamaah ialah sebutan takbir itu diniatkan sebagai zikir dan untuk menyampaikan isyarat kepada makmum lain agar mengetahui pergerakan imam. Sekiranya tidak diniatkan begitu, maka solat orang yang menjadi mubaligh itu tidak sah.

Membaca tahmid (sami’aLLAAHU li man hamidah) ketika iktidal dalam pengamalan sebahagian kita kadang-kadang kurang tepat iaitu terus menyambut tahmid dengan mengucapkan "Rabbana wa laka al-Hamd." (cara 1) Dalam mazhab Sayfie, makmum perlu menyebut sepenuhnya iaitu, "sami’aLLAAHU li man hamidah, Rabbana wa laka al-Hamd." (cara 2) Perlu diketahui bahawa cara 1 adalah amalan yang dianjurkan oleh imam Ahmad Bin Hanbal. Bermakna orang yang beramal dengan cara 1 telah melakukan talfiq dalam solat.


- -- - -
Nota kuliah Maghrib, Ust. Abd. Aziz Bin Arof, Masjid al-Hidayah, Jalan Sentul Pasar, 28 Feb 2010, Kitab Fathu Muin, halaman 79 -80.

3 ulasan:

aku mzke berkata...

NAimisa, ape yg dimaksudkan talfiq dlm solat?

Naim berkata...

Zul (MZKE); talfiq dalam solat ialah mencampur adukkan anjuran amalan yang ditetapkan oleh Imam Mazhab lain.
-----------------------------------
Ia boleh diamalkan dalam keadaan terdesak misalnya menurut Imam Abu Hanifah, boleh dijamakkan solat bagi jemaah haji di Muzdalifah (jarak Muzdalifah ke Makkah - 12 km). Sedangkan pada pendapat Imam Syafie, tidak ada keperluan solat jamak kerana jarak yang tidak cukup dua marhalah. Pun begitu, keadaan terdesak yang dimaksudkan ialah apabila orang berpusu-pusu di Muzdalifah sehingga menyebabkan luput waktu solat berikutnya (atau sukar menunaikan solat tamam) jika masih tidak melakukan solat jamak. (Ini dalam kes haji: Bermalam di Muzdalifah salah satu perkara WAJIB haji).
Dalam kes ini orang yang berpegang dengan Mazhab Syafie boleh mengamalkan anjuran Imam Hanifah dengan syarat dia tahu (bukan dibuat kerana ikut-ikut/taqlid buta).

Mohamad Izwan berkata...

Seringkali kita apabila masbuk dalam solat jemaah, bilamana imam telah selesai solat, pasti akan berzikir dengan wirid2 yang biasa selepas solat. Sepatutnya, Imam mengetahui keadaan bagaimana mereka perlu membacanya dengan kuat dan sebagainya. Sangat mengganggu jemaah yang tengah bersolat. Tidak diajarkan di dalam sunnah untuk membaca wirid selepas solat beramai2 secara jahar. Sebagai info tambahan.