Pada tahun kelahiran Nabi, berlaku suatu irhash iaitu peristiwa serangan Tentera Bergajah yang diketuai oleh Abrahah. Irhash bermaksud peristiwa pelik yang menandakan akan angkit seorang rasul. Abrahah Gabenor Yaman (kota San’a berada kira-kira 700 km dari Makkah). Bala tentera Abrahah menuju ke Makkah kerana Abrahah mendapat mimpi bahawa manusia akan berkumpul di suatu pusat (Baitullah di Makkah) dan akan meninggalkan biara Majusi yang dikuasaiya sekian lama.
Terdapat tiga riwayat yang membincangkan kekuatan tentera Abrahah. Pertama, disertai oleh seribu ekor gajah, dan enam puluh ribu tentera yang berjalan kaki. Kedua, terdapat 12 ekor gajah. Dan ketiga hanya terdapat seekor gajah di samping puluhan ribu tentera. Apabila mengetahui kedatangan tentera ini, Abdul Muttalib mengarahkan penduduk Makkah bersembunyi di bukit-bukit. Dia hanya meminta Abrahah mengembalikan dua ratus ekor unta yang dirampas. Abrahah hairan dan bertanya tentang permintaan Abdul Muttalib itu. Lalu dijawab Abdul Muttalib, bahawa Baitullah ada penjaganya iaitu Allah. Dan dia pula pemilik unta-unta yang dirampas itu. Apabila menghampiri Kaabah, gajah yang besar hanya duduk dan tidak mahu meneruskan perjalanan. Tetapi apabila diisyaratkan pergerakan ke Timur (menghala ke Yaman semula), gajah-gajah itu bergerak. Tiba-tiba langit menjadi kelam oleh kedatangan burung-burung yang membawa batu dari Sijjil. Burung kecil ini melepaskan batu kecil dan menimpa tentera Abrahah.
Firman Allah yang bermaksud, "Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera bergajah (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang sesat (tidak mencapai matlamat). Dan Dia telah mengutus (rombongan) burung berpasukan. Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras (dari Sijjil). Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat." (al-Fiil:1-5)
Ahli Tafsir mengatakan seperti daun dimakan ulat umpama sejenis penyakit kulit. Apabila mereka menggarunya, kulit dan daging mereka luruh. Sifatnya menghakis seperti asid kuat. Dan akhirnya bergelimpangan gerombolan tentera ini dengan rangka-rangka sahaja. Sebahagian ulama tafsir mengatakan setiap burung menghantar tiga biji batu. Satu di paruh dan dua lagi di kaki. Setiap ketul batu telah ditetapkan sasarannya.
Iktibar dari kisah Tahun Gajah.
- Surah Al-Fiil membuktikan bahawa al-Quran adalah kalam Alllah, bukan ciptaan Nabi Muhammad. Surah ini menjadi dalil nyata kepada kaum Quraisy yang melihat peristiwa tersebut, sedangkan ketika itu Rasulullah belum dilahirkan.
- Tiada ketaatan kepada pemimpin dalam perkara maksiat. Allah mengilhamkan gajah agar duduk diam apabila hampir kepada Kaabah.
- Allah berkuasa menghantar bala tentera yang tidak dapat difikir oleh manusia.
Dalam suasana hari ini, orang lebih suka menyambut peristiwa kelahiran nabi dalam bentuk perarakan. Tetapi menghayati sunnah nabi jauh lebih utama dari sekadar berarak. Mengamal sunnah nabi jauh lebih utama dari sekadar mengibar sepanduk dan cogan kata menyanyangi nabi. Kalau kita lihat iklan di TV, ada iklan yang agak melucukan. Seorang ayah mengamal sunah nabi dengan meminta anaknya membaca doa makan. Malangnya model yang isteri itu kelihatannya mendedahkan rambut. Bagaimana? Tidakkah ini jelas kontradiksinya? Ya, dalam hal lain pun serupa juga. Kalau sekadar mengadakan perarakan kemudian masih mengambil dan memberi rasuah, itu pun tidak betul juga. Yang lebih parah, pagi perarakan dibuat, solat Subuh ditinggalkan. (Ini ayat saya sendiri, bukan ustaz yang kata…)
----
Nota: Kuliah Subuh, Ust. Yusri Bin Ariffin, 12 Rabiul Awwal 1431H (26 Februari 2010), Masjid al-Hidayah, Jalan Sentul Pasar, Sentul, 7.00 – 8.00 pagi.
2 ulasan:
detail pasl cerita ni...tq. sronok baca.
org sekarang lebih utamakan celebration daripada content
Saya sangat bersetuju....Masyarakat kita lebih gemar menyambut Maulidur rasul. Mengamalkan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah jauh sekali. Buktinya, anak-anak muda zaman skrg banyak yang mendedahkan aurat, pergaulan bebas dan pelbagai lagi kemungkaran. Arak, disko dan pusat2 hiburan tumbuh bagaikan cendawan.Berbuat kemungkaran menjadi 1 kebiasaan. Tp, kalau buat bnda2 yg mengikut apa yg nabi ajarkan, semacam menjadi kesalahan.Contohnya: Apabila 2 org yg sudahpun bertunang. Kalau berjumpa dgn membwa org lain. Hurm, mesti org ckp."Peliknya psgn ni. mesti xde privacy." Tp, kalau berjumpa berduaan. Org akan tersenyum dan kata "Hah, baru betul! Amboi, romantisnya." Org angkat ibu jari tanda setuju..Itulah gambaran masyarakat kita di zaman yang serba moden ni..Agama Islam diperlekehkan oleh org yang mengaku dirinya Islam!Jd, tanyakan pd diri,Sejauh mana kita menjadikan Rasulullah sbg idola dan ikutan????
Sekadar renungan,
Gadis Melayu...
hadihsar
Catat Ulasan