Selasa, November 24, 2009

Resensi Memoir Seorang Guru.


Judul: Memoir Seorang Guru
Penulis: Azizi Abdullah
Penerbit: Alaf 21 Sdn. Bhd.
ISBN: 9789831243152
Harga: RM13.00
Halaman: 299 muka surat.
Pengulas: Naimisa Yusof.



“Kama, Kama faham ke apa yang bapa cerita?”

“Cerita apa?”

“Cerita bagaimana buruknya bapa dalam profesion guru. Bapa pendendam. Bapa ego. Bapa pemarah. Bapa pembenci.”

Kamariah ketawa terbahak-bahak. “Bila yang bapa cerita?”

“Eh, bapa tak cerita ke tentang Alias dengan beruknya? Tentang Midun dengan limau Mandarinnya? Bapa tak cerita ke tentang Mihad dengan ikan haruannya? Tentang Sakinah dengan mata julingnya? Tentang Mohd. Dhuha yang rajin sembahyang?”


(halaman 203)

Petikan di atas merupakan puncak yang menghampiri penghabisan cerita dalam cerita. Memoir Seorang Guru dimulakan dengan konflik seorang guru pencen dengan anaknya Kamariah (Kama) apabila anaknya mahu menjadi seorang guru. Dia bukan menghalang Kamariah untuk menjadi seorang guru tetapi dia bimbang kalau-kalau sikap buruknya sebagai pendidik juga menjangkiti anaknya. Betapa profesion mulia ini perlu dilalui bukan sekadar untuk mendapat habuan dalam bentuk gaji. Malah yang jauh lebih penting menjadi pendidik yang mencapai takah murabbi. Cerita-cerita awal yang diselitkan dengan insiden yang menyebabkan aku (watak utama – bapa Kamariah) menjadi kesal dengan dunia perguruannya. Yang dihalang atau dibenci itu bukanlah profesion itu sendiri. Malah yang dibimbanginya ialah sikap ambil mudah seorang penyandang jawatan guru semata-mata mengharapkan gaji, tanpa memikirkan nilai sebenar di sebalik kerjaya seorang guru.


...bapa mahu engkau mengerti, profesion ini profesion mencabar, profesion yang kena bertanggungjawab terhadap pembagunan insan. Pendidikan yang bererti bertali arus mesti dipertanggungjawabkan sehingga akhirat.
(halaman 206)


Bahagian pertama cerita ini memuatkan selakan kenangan silam aku yang menunjukkan kebenciannya terhadap pelajar, sedangkan dia sendiri benci sikap tersebut. Sesekali sahaja jalur ceritanya diselitkan dengan cerita semasa yang melibatkan krisis diri aku dengan Kamariah dan adiknya Lukman. Bahagian kedua pula mengisahkan pemurnian apabila pembaca dibawa menjelajah daerah kesedaran aku sehingga dia tidak lagi dibayangi kekesalan lampau. Aku dengan tidak sengaja terlibat dalam kemalangan dan pelajar-pelajar yang dibencinya dahulu muncul kembali dalam hidupnya tetapi dalam wajah manusia yang berjaya. Pada tahap ini penulis menyelit unsur sureal yang menunjukkan keinsafan aku dalam keadaan tidak sedarkan diri, terlantar di katil hospital. Sehingga akhirnya pelajar-pelajar ini membuat satu kejutan sebagai tanda sayang dan penghargaan mereka terhadap jasa aku.


Guru wajar menjadi manusia pendidik Murabbi. Bagaimanakah yang dikatakan Murabbi itu? Apakah halangan dan realiti yang dihadapi oleh mereka dalam menggapai takah penting itu? Apakah akhirnya Kamariah akan faham nawaitu sebenar bapanya yang tidak bersetuju dengan hasratnya menjadi guru? Dan apakah kesudahan cerita ini? Apakah akhirnya Kamariah akan hadir temu duga perjawatan yang diidam-idamkannya? Semuanya terjawab dalam novel yang menarik ini.


Pembacaan buku ini walaupun mengandungi perkataan yang jarang-jarang digunakan tetapi tidaklah rumit kerana dimasukkan dalam glosari. Pun begitu hanya terdapat satu kesilapan watak iaitu pada baris kesebelas muka surat 256. Sepatutnya Dr. Kamariah itu ditaip sebagai Dr. Sakinah.

2 ulasan:

Ahmad Zulfadhli Zulkefli berkata...

hanafi ader buku nie x.. kalau ader nak pinjam.. =)

Naim berkata...

Salam Zul,
Ada.
Boleh sahaja. -:)