Sabtu, Januari 14, 2006

Telefon bimbit

Dunia pendidikan digegarkan lagi dengan keputusan Pengarah Bahagian Sekolah yang membenarkan penggunaan telefon bimbit di sekolah. Apakah telefon bimbit menjadi keperluan sebenarnya? Wajar atau tidak?

Ketika makan pagi telinga ini tertangkap juga perbincangan dalam rancangan Malaysia Hari Ini di televisyen. Seorang pemanggil menyuarakan pendapatnya, kira-kira beginilah.

Jika kita lihat hari ini rata-rata pelajar yang pergi ke sekolah dengan menaiki kereta, malah ada yang berkereta. Keadaan ini seolah-olah mencabar kedudukan guru-guru yang hanya ke sekolah dengan bas, komuter atau motorsikal. Hal yang sama akan berlaku apabila telefon bimbit dibenarkan penggunaannya di sekolah. Pelajar yang berada akan memiliki telefon yang lebih canggih dan mahal berbanding guru. Hal ini juga akan menimbulkan isu keselamatan dari segi penjagaan telefon bimbit, mungkin akan berlaku kecurian telefon. Selain itu, ruang untuk mereka merewang-rewang, ponteng sekolah dan melakukan aktiviti yang tidak sihat selepas waktu sekolah juga bertambah. Sudahlah di sekolah pun, tenaga untuk menjaga disiplin pelajar kurang. Kita tidak mahu akan wujud masalah baru yang akan membebankan guru-guru apabila perkara ini dilaksanakan. Walaupun penggunaannya terhad ketika waktu rehat, di kantin, sebelum memulakan kelas atau selepas waktu tamat pembelajaran adalah lebih baik sekiranya mereka menggunakan telefon pejabat atau telefon awam."


Sementara itu, pihak Kesatuan Guru Kebangsaan (NUTP) berpendapat faktor keselamatan merupakan aspek utama kebenaran ini dibuat. Keselamatan pelajar seperti kesukaran untuk pulang, atau kes-kes culik, buli dan seumpamanya boleh dielakkan sekiranya penggunaan telefon bimbit diberi kepada pelajar. Logiknya adakah pelajar yang diculik umpamanya akan sempat membuat panggilan atau menaip mesej menggunakan SMS untuk memaklumkan malapetaka yang berlaku? Sebaliknya akan memudahkan penculik untuk menghubungi ibu bapa untuk meminta wang tebusan. Jika aspek keselamatan (untuk kes culik) dipertimbangkan, sepatutnya kita menggunakan sistem pemantauan satelit yang mana mereka dibekalkan dengan alat pengecaman altitud. Malaysia sudah memiliki teknologi Geographical Information System (GIS)[1] untuk tujuan ini. Ya! Sudah pasti mereka yang berada sahaja mampu memilikinya (mana ada penculik yang menculik anak-anak orang miskin?).

------------
Mula-mula kita sorot dan teropong psikologi anak-anak di bangku sekolah rendah. Budak kecil, selain main, mereka mahu berseronok. Penggunaan telefon bimbit akan menjadi kejutan pula bagi mereka. Rakan-rakan yang memiliki telefon bimbit akan mendapat tumpuan, tidak kurang juga telefon bimbit menjadi medium baru bermain permainan elektronik yang terdapat di dalamnya. Bagaimana guru boleh menghalang perkara buruk ini daripada berlaku? Perlukah guru-guru meluangkan masa lima minit untuk meminta semua pelajar mengumpulkan telefon bimbit sebelum memulakan pengajaran dan lima minit lagi untuk menyerah kembali sebelum tamat sesi pengajaran? Perlukah guru menjawab kepada ibu bapa jika berlaku kes kecemasan di rumah, apabila pelajar tidak menjawab panggilan telefon? Berbalik kepada sikap kebudak-budakan (kita pun pernah jadi kanak-kanak dulu) itu, waktu senggang di antara pertukaran subjek atau ketika ketiadaan guru, mereka pasti membelek telefon. Tidak kira telefon bimbit itu milik sendiri atau rakan-rakan yang lain. Pasti, masing-masing yang mempunyai telefon akan membincangkan kelebihan telefon dan membanding-bandingkannya.

Kemudian kita tengok pula psikologi pelajar sekolah menengah yang sedang galak dalam alam remaja. Remaja sekolah menengah kini rata-rata menjadi ensiklopedia artis. Budaya gosip artis sudah menjadi kebiasaan mereka lantaran menularnya budaya hedonisme dalam masyarakat. Selain gosip itu, mereka juga galak dengan cinta. Penggunaan telefon bimbit akan memberi ruang yang lebih besar kepada remaja sekolah berhubung sesama mereka. Kita tidak mahu budaya couple yang berselerak di universiti atau kolej universiti menular dalam sekolah menengah pula. Kendatipun guru-guru meminta mereka mematuhi peraturan, berapa ramai yang akan patuh? Jiwa memberontak remaja akan menjadi lebih sukar untuk dikawal, mereka mungkin akan menggunakan telefon untuk mengutuk guru yang mengajar menggunakan SMS! Kasihan guru-guru yang mengajar. Jika dahulu (zaman saya bersekolah menengah), ada pelajar yang duduk di belakang melukis muka guru dan diconteng dengan kata-kata tertentu. Hal ini dibuat kerana tidak berminat dengan pengajaran guru atau tidak suka kepada guru yang mengajar (kerana kes disiplin). Tabiat buruk ini akan menular pula dalam bentuk yang lebih canggih menggunakan SMS[2]. Yang berjurus pun ada, tapi tidak ramai.

Nota kaki

[1] GIS digunakan oleh tentera-tentera AS yang jahat untuk menjejak manusia yang dikatakan oleh Bush sebagai pengganas di gua-gua batu di Afghanistan. Hebat atau tidak? Kalau hebat, sudah lama mereka dapat menangkap orang yang dikatakan pengganas itu. Yang pasti, orang yang dikatakan pengganas lebih hebat teknologinya berbanding kecanggihan AS. Bagi saya mereka bukan pengganas, AS-lah pengganas nombor wahid.

[2] Jangan amalkan tabiat buruk ini. Tidak berkat ilmu yang diajar oleh guru kepada anda. Waktu belajar untuk belajar, bukan untuk tujuan lain walau siapa pun guru yang mengajar anda. Hormatilah guru anda.

2 ulasan:

joe penang berkata...

nak batalkan arahan ni? senang je. Tunggulah Pak Lah/Najib kata tak setuju. on the dot depa cancelled.

Tanpa Nama berkata...

mengeratkan silaturahim cikgu ngn murid. kalau murid pi toilet lama sket. Cikgu miscall ler. kalau murid tak mai skolah cikgu main miscall-miscall. mana tau murid bosan kat umah.