Khamis, Januari 12, 2006

Mungkin Justifikasi?

Sebelum ini saya telah menerangkan sebab-sebab yang mungkin kepada kes arwah penakluk Everest. Kali ini mari kita buat 'bedah siasat' kepada satu kisah yang agak menarik juga.
Satu kisah manusia dengan pemikiran kapitalis, jiwa dan mindanya dijajah ideologi kapitalisme yang bahaya

``Apa yang pasti, program realiti baru berbahasa Cina yang sama konsepnya dengan Mencari Cinta itu tidak akan disiarkan menerusi TV3.

``Tetapi melalui ntv7 ataupun 8TV,'' katanya.

Menurut Nurul Aini, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu konsep program realiti baru itu supaya ia tidak menyentuh sensitiviti kaum dan budaya masyarakat Cina di negara ini.


Seorang tamu meninggalkan petikan berita seperti di bahagian komen posting bertajuk Cari Cinta dan Hak Wanita. Nampak sangat, suatu jawapan untuk menutup rasa bengang dan aib yang tidak tertahan. Cuba kita tune sedikit pemikiran kita, frasa 'tidak menyentuh sensitiviti kaum dan budaya masyarakat Cina' yang digunakan oleh Nurul Aini itu. Apa sebelum ini orang Melayu Islam yang berbudaya timur tidak tersinggung dengan tindakan mereka menganjurkan Mencari Cinta? Apa tidak ada pihak yang membuat teguran program realiti TV itu tidak bertepatan dengan syariat Islam? Orang yang bijak boleh sahaja memanipulasi keadaan dengan membuat kenyataan yang berbelit-belit. Kuasa media massa amat mencengkam gaya dan stail pemikiran massa di mana-mana. Massa itu tidak mengira status, tahap pendidikan, dan daerah kependudukan kerana isyarat satelit boleh menerobos mana-mana kawasan di bumi. Hanya yang terkebelakang apabila mereka tidak mempunyai TV atau radio untuk mendapat gelombang elektronik yang berlegar di ruang sekitar mereka.

Pelik juga, mengapa sebelum dibuat Mencari Cinta yang melibatkan orang Melayu (yang mengaku Muslim) tiada kajian terperinci dibuat? Jawapannya mudah, tentunya kerana keuntungan yang bakal diraih daripada penganjuran dan penerbitannya. Dunia kapitalis memang begitu, nilai dan prinsip yang murni dikesampingkan asal sahaja mendapat laba berganda-ganda. Mereka tidak kisah apa kata ulama-ulama yang warak, pencinta budaya, pejuang adat ketimuran, dan sensitiviti bangsa sendiri yang merasakan ia suatu perkara yang mencalar maruah dan identiti mereka. Jika orang US boleh buat, mengapa kita tidak? Apa di US itu hanya ada program realiti TV ala-ala Mencari Cinta sahaja? Kenapa tidak dibuat rancangan realiti TV lain seperti membangunkan usahawan, teknokrat, atau bakal korporat atau usahawan francaise seperti The Apprentice?

Tiada ulasan: