Korban manifestasi kecemerlangan ummah.
Bulan Zulhijjah yang dilalui mempertemukan kita dengan hari bersejarah yang diraikan dengan kegemberiaan iaitu Hari Raya Aidiladha. Malah sambutannya perlu dihayati melebihi sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana konsep pengorbanan yang terkandung di dalamnya. Apabila selesai menunaikan solat sunat Aidiladha dan hari-hari tasyrik (11-13 Zulhijjah), umat Islam disarankan menyembelih haiwan korban sebagai mana firman Allah dalam surah al-Kautsar ayat 2 yang bermaksud, "Maka solatlah dan sembelihlah (haiwan korban)."
Tuntutan ibadah korban yang dapat dihayati dan ditunaikan oleh individu muslim menunjukkan bahawa tahap kesyukurannya kepada Allah telah mencapai satu tahap yang bermakna. Erti kesyukuran terhadap rezeki yang melimpah diterjemahkan dengan mengorbankan sebahagian daripadanya untuk dikongsi bersama-sama saudara seagama. Selain mendekatkan diri kepada al-Khalik selaku Pencipta, invidividu muslim yang melakukan pengorbanan dapat merapatkan persaudaraan melalui daging-daging korban yang disedekahkan. Amalan ini boleh ditunaikan dengan mengorbankan seekor kambing bagi satu keluarga atau tujuh orang bagi seekor lembu.
Falsafah yang tersembunyi di sebalik ibadah korban mengajar kita bagaimana manifestasi kecemerlangan ummah dapat dicapai. Kesanggupan melakukan pengorbanan bermakna orang-orang yang berharta rela membenamkan sifat-sifat mazmumah di dalam diri seperti berprasangka, ego, kedekut, tamak haloba dan memencilkan diri dari masyarakat. Ummah yang cemerlang dilahirkan dapat dilihat apabila semua orang yang terlibat dalam ibadah korban melakukan upacara penyembelihan dalam suasana mahabbah. Pihak yang berkorban bergembira dengan pengorbanannya manakala orang yang menerima bahagian daging korban terhibur hatinya dengan rezeki yang baik. Umah yang dapat hidup dalam kerukunan akan melahirkan nadi-nadi yang menggerakkan kesinambungan nur Islam ke seluruh alam. Selain ibadah korban ini, perkara-perkara lain dalam agama turut dapat dihayati dengan lebih baik sebagai simbolik kecemerlangan tersebut.
Namun begitu, Allah tidak memandang kepada haiwan yang dikorbankan sebaliknya nilai ketaqwaan hamba. Firman Allah,
"Dan Allah tidak melihat kepada daging (haiwan korban), dan tidak pula kepada darahnya. Akan tetapi Allah melihat kepada taqwa kamu kepada-NYA." (al-Hajj: 37)
Selamat menjalani dan menghayati ibadah korban. Selamat Hari Raya Aidiladha kepada muslimin dan muslimat.
Makalah renungan dari al-Quran untuk Mimbar Pusat Islam Jan 2006.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan