Anak kecil yang ditinggalkan itu sudah dihurung semut. Ada tangan yang menyambutnya penuh hiba dan kasihan. Sehingga kini, ibu yang membuangnya tidak pernah diketahui. Anak kecil itu sudah besar tetapi dalam keadaan tidak sempurna. Namanya diabadikan pada sebuah rumah perlindungan kanak-kanak yang diberi nama Rumah Solehah. Itulah kisah yang berlaku pada tahun 1998 dahulu. Puan Wan Hava dan arwah suaminya menubuhkan sebuah rumah perlindungan untuk anak-anak terbiar yang menjadi mangsa keadaan. Kes Solehah meskipun agak terpencil dan istimewa berbanding niat asal mereka iaitu menyediakan tempat perlindungan bagi anak-anak pembawa Virus Kurang Daya Tahan Badan/Imun (HIV).
Dalam usia 61 tahun, Puan Hava yang lebih selesa dipanggil Mak Wan masih kelihatan sihat berkat usaha beliau menumpahkan kasih sayang kepada kanak-kanak HIV. Kunjungan kami ke Rumah Solehah di No. 2, Jalan Budiman 11, Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras disambut mesra oleh pengurus Puan Diah. Kami tiba 45 minit lebih awal dari jadual janji temu. Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sumbangan sebuah institusi kewangan antarabangsa yang beroperasi di tanah air berada di hadapan pintu rumah. Bahkan sewa bulanan rumah perlindungan itu sendiri menurut Mak Wan, telah dibiayai oleh pihak berkenaan.
Apalah yang difahami oleh anak-anak kecil tentang kehidupan? Mereka pun tidak pernah tahu bahawa pada masa hadapan, lorong kehidupan mereka amat berliku. Di hadapan mereka adalah risiko kematian yang bakal merenggut bila-bila masa. Mereka sekadar ingin bergembira menikmati kehidupan mereka yang singkat. Apa yang didahagai hanyalah perhatian dan belaian kasih sayang sesama manusia. Kehadiran kami sedikit sebanyak menceriakan hidup mereka. Ada yang meminta kami mendukung dan bermain-main. Malah ada yang menangis kerana berebut giliran untuk didampingi. Ahli rombangan kami yang tidak sebegitu ramai ini seringkali tidak menang tangan melayani keletah mereka.
Rumah perlindungan ini menyediakan suasana aman buat mereka. Setiap hari mereka perlu menghabiskan dos ubat-ubatan sebagai ikhtiar memanjangkan hayat (prolong life). Setiap tiga bulan, mereka perlu menjalani sesi ujian perubatan di hospital. Di sana, doktor akan memeriksa perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak malang ini. Ketika sihat, mereka kelihatan seperti kanak-kanak normal. Mereka riang, cergas berlari dan bermain seperti kanak-kanak lain seusia mereka. Tetapi, tika mereka diserang penyakit hatta demam yang ringan sekalipun,tubuh mereka akan lemah longlai. Meskipun stigma masyarakat terhadap kanak-kanak ini tidak setebal saat awal penubuhannya, masih ada pelawat yang tidak berani bergaul mesra mendukung atau membelai mereka. Walhal sekadar sentuhan (body contact) tidak akan menyebabkan virus HIV merebak.
Anak-anak yang sudah mencapai peringkat persekolahan dihantar ke sekolah. Memang bukan sedikit konflik jiwa yang terpaksa mereka hadapi ketika di sekolah. Adakalanya mereka dipinggir, dicela, dijauhi malah pernah ada ketika pihak-pihak tertentu menghalang mereka dari bersekolah dengan alasan kekhuatiran yang tidak bertempat. Kanak-kanak malang ini tidak berdosa, malah mereka sendiri tidak tahu menahu bagaimana dan kenapa mereka dijangkiti virus yang masih belum ditemui penawarnya itu. Tetapi yang pasti kanak-kanak malang ini lahir dan mewarisi virus tersebut hasil dosa dan noda yang dicari oleh orang-orang tua mereka sendiri. Pelacuran, perzinaan, hubungan sejenis dan penagihan najis dadah pastinya antara punca. Hasilnya lahirlah anak-anak malang ini yang dilahirkan berpenyakit, terbiar menderita malah oleh ibu bapa dan waris mereka sendiri.
Sesi kami pagi itu dimulakan dengan aktiviti memperkenalkan anak-anak HIV ini dengan konsep asas Islam. Rukun Islam, Rukun Iman, konsep kesyukuran dipupuk melalui aktiviti nasyid. Selain itu kami juga bersama-sama membimbing mereka melalui aktiviti mewarna, mencari perkataan tersembunyi berkaitan perkara asas dalam Islam dan membuat lukisan pasir. Sesi bermesra dengan penghuni Rumah Solehah tamat pada jam 2.00 petang selepas makan tengah hari. Sebelum kami melangkah pulang, beberapa orang penghuni bertanya, “Abang boleh datang hari Ahad?” Saya bertanya, “Kenapa?” Lalu dijawabnya, “Saja, untuk bermain-main. Main apa-apalah.”
Mana-mana pihak yang ingin menyumbang bakti, bolehlah menghubungi pengasas Rumah Solehah, Puan Wan Hava (Mak Wan) di talian 03-917 21533. Taman Mulia terletak berhampiran stesen LRT Bandar Tun Razak. Menurut Mak Wan, “Banyak pihak telah memberi sumbangan material, kini apa yang mereka perlukan ialah peluang menikmati kehidupan sebagai kanak-kanak. Sebagai kanak-kanak, mereka perlukan perhatian, belaian dan kasih sayang.” Sinar mata anak-anak tersebut mengiringi kepulangan kami dengan harapan kami akan kembali.
Sisipan Berita.
Sukarelawan-sukarelawan Unit CSR & RSA syarikat tempat aku bekerja telah mengadakan kunjungan ke Rumah Solehah pada 24 April 2010. 9.45 pagi - 2.00 petang.
4 ulasan:
hmmm setiap kali bace artikel sebegini memang selalu luluh je hati.. tak tah unak komen.. teruskan usaha murni ini.. pernah gak dulu anak yatim dtg untuk belajar di madrasah keluarga UJ di kemaman tapi last-last ada juga yang bawak mulut tak best oleh org yng mungkin tidak menyenangi pembinaan sekolah pondok ..akhirnya hmm boleh buat konklusi sendiri la ekk
bagusnye.....
ya Allah....tak tahu nak komen apa tentang entry ni..sebak. Kalau saya kat tempat saudara,rasanya sepanjang kat sana mesti rasa terharu je tengok adik-adik tu semua, apatah lagi bila adik2 tu minta kita datang lagi tuk main2, rabak terus air mata..
Saya teruja mengikuti catatan ini. Terlalu sukar mencari punca dan lebih sulit mencari penyelesaiannya.Puncanya bertumpang tindih .Jangan-jangan kita hanya sibuk merawat sindrom tetapi gagal menjenguk akar dan merendam akar itu ke air zam zam.
Allah,terhutang budi saya dengan entri ini.Dapat juga saya turut cuba memikirkannya sekurang-kurangnya - anbakri -
Catat Ulasan