Jam 11.00 di stesen LRT KL Sentral. Semacam tiada apa-apa yang berlaku. Walhal hari ini, jam 11.30 nanti ulat buku akan berkumpul di Kinokuniya, KLCC. Saya menaiki tren yang agak selesa. Tidak sesesak hari-hari kerja atau waktu puncak. Memang tidak kelihatan suasana seperti yang berlaku sebelum ini. Tidak kelihatan mana-mana orang memegang buku atau membaca di dalam tren. Saya keluar di stesen KLCC semacam acara itu tidak wujud juga. Pada jam 11.25, saya menaiki lif ke tingkat 4. Baharulah ada tanda-tanda program pertemuan ulat buku berlaku. Kotak lutsinar yang disediakan di tepi pintu sudah hampir penuh. Saya masukkan sebuah novel yang pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan di dalamya.
Kelihatan editor Dewan Bahasa, En. Zaidi Ismail. Puan Zaiton (DBP), Azzah (penulis novel kanak-kanak), Rebecca Ilham (penulis), Huda Engku (Jurulatih Khalifah Institute) dan beberapa sosok lain yang tidak saya kenal. Sekitar jam 12.00 tengah hari, baharulah orang kuat BACA@LRT tiba bersama SN Dato’ A Samad Said dan isteri, Prof. Abdullah Hassan dan Puan Ainon. Setelah sesi bergambar di hadapan Kinokuniya dan bertukar buku, kami bergerak ke medan selera berdekatan di tingkat 4. Seramai kira-kira 36 orang sahaja yang menyertai acara makan bersama. Beberapa orang yang lain telah pulang lebih awal.
Saya sebelah Prof. Abdullah.
“Makan tengah hari ini ditaja.” Demikian umum pihak urus setia program.
Dan majlis bersurai sekitar jam 1.50 petang. Terima kasih juga buat Brother One kerana belanja pencuci mulut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan