Ahad, Januari 09, 2011

Jarang-jarang peroleh pengalaman rohani ini


Maghrib 8 Jan 2011, saya berkesempatan menunaikan solat di Masjid Wilayah, Jalan Duta. Alhamdulillah. Sheikh Habib Umar dari Yaman menyampaikan ceramah dalam Majlis Maulid dan Ceramah Umum. Sambutan terhadap sheikh ini luar biasa. Inilah kali pertama saya mengikuti majlis beliau, dan tentunya paling tidak setahun sekali dia didatangkan ke Malaysia.

Selepas solat sunat ba’diyah Maghrib, acara dimulakan ucapan aluan pengerusi majlis kemudian qasidah (marhaban) sehingga jam 8.30 malam. Selepas azan Isyak, majlis diteruskan ceramah umum Habib Umar.

Sheikh Habib Umar menyingkap sikap nabi mengutamakan sahabat baginda. “Rasulullah diberikan ghanimah dari satu peperangan di Bahrain. Baginda membahagikan harta itu kepada para sahabat. Tidak ada sedikit pun dibawa balik. Kebetulan pada ketika itu baginda dan ahli keluarga baginda berpuasa. Apabila ditanya oleh Ummu al-Mukminin – Tidak adakah satu atau dua dirham buat kita untuk berbuka? Nabi menjawab, kalau engkau ingatkan aku, nescaya aku akan tinggalkan satu atau dua dirham untuk kita berbuka.”

Sheikh bertanya lagi, “Maka lihatlah kita hari ini. Bagaimana sikap pemimpin kita hari ini?”

Apa yang berlaku dalam kisah ini juga terjadi pada puteri baginda Fatimah al-Zahrah. Demikian natijah pendidikan yang diterap oleh nabi kepada anak baginda.

Pada akhir ceramah, Sheikh Habib Umar menyentuh darihal adat perkahwinan. “Dewasa ini kebanyakan walimatul urus dilangsungkan dengan mencampur aduk perkara yang halal dan haram. Contohnya menyertakan acara nyanyi-nyanyian (yang melalaikan). Pada zaman nabi, mereka menggunakan kompang sahaja. Atau mengadakan dengan hanya menjemput orang-orang kaya sahaja. Atau mempertonton pasangan pengantin kepada tetamu (persandingan). Jarang diadakan majlis dengan menjemput orang-orang miskin untuk makan. Tidakkah maksud walimah itu untuk menghebohkan pasangan yang berkahwin dan menyatakan kesyukuran? Maka di mana keberkatan pasangan yang berkahwin dalam kehidupan (berumahtangga) dalam waktu terdekat atau panjang?”

Ceramah Sheikh Habib Umar tamat pada jam 10.00 malam. Beliau mengakhiri dengan munajat kepada ALLAH. Bagi saya, pendekatan munajat ini merupakan satu pengalaman rohani yang hebat. Ada zauq yang hinggap dalam hati dan meruntun jiwa. Memang menyentuh dan menggetarkan. Sedar tidak sedar air mata mengalir, mengenang kekerdilan diri dan dosa-dosa. Tidak dapat digambarkan dengan tulisan. Saya tidak pandai mengaudiovisualkan pengalaman rohani itu. Mungkin saya perlu belajar tekniknya dalam INTERLOK.

Selepas selesai solat Isyak, ada suatu hal yang membingungkan. Saya terpaksa merujuk kepada Jaga untuk mengecam parkir. “Encik masuk tadi pintu sebelah kiri atau kanan?” tanya Jaga. Saya jawab, “Kiri.” Jaga itu berkata, “Kalau begitu, encik kena pergi seksyen C.” Ruang parkir tepu sangat. Itulah yang menyebabkan saya rambang mata. Sepuluh minit kemudian baharulah saya jumpa kenderaan.

4 ulasan:

Gunawan Aziz berkata...

Assalamu 'alaikum,

Kerohanian inilah yg sdg gersang dlm kalangan umat ini. Kerohanian dlm erti kata, hubungan seorang hamba dgn Allah. Ya Rabb.. berlemah-lembutlah dgn kami..

Terima kasih, wassalam.

al-faqir.

Afida Anuar berkata...

Nasib baik jumpa kenderaannya naim, kalau tidak...hehe..

Itu lah pemimpin agung kita baginda Rasulullah saw. Mengutamakan orang lain dari diri sendiri...mana la nak jumpa pemimpin persis Baginda di zaman sekarang ni yer...

Naim berkata...

Ustaz Gunawan, Wa'alaikumussalam. Terima kasih atas respon.

Afida, kalau tak jumpa saya akan tekan butang isyarat yang satu lagi. Kalau keriau kereta tu mudah sikit jumpa. :D

UglyPooh berkata...

Bila baca kisah Rasulullah s.a.w dan fatimah dalam kesabarn diorang, memang akan rasa sgt sayu.

rasa kecil nya diri..