Rabu, Januari 12, 2011

Azab paling berat

Imam Junaid al-Baghdadi ketika berusia tujuh tahun telah ditanya oleh gurunya, “Apa itu syukur?” Beliau menjawab, “Syukur itu ialah tidak melakukan maksiat dengan nikmat-nikmat Allah.” Ketika hayatnya Imam Junaid al-Baghdadi menunaikan solat 400 rakaat pada sebelah siang. Sesetengah periwayat berkata 300 rakaat. Jika solat siangnya sebanyak itu, berapa pula solat malamnya?


Ketika beliau mati, seorang lelaki bertemu dengannya dalam mimpi. Lelaki itu bertanya Imam Junaid al-Baghdadi, “Ya Abal Qasim, bagaimana keadaan kamu?” Maka dijawab Imam Junaid, “Telah luput dariku ilmu zahir dan batin. Yang ada bagiku hanyalah ibadat malamku.”


Pengarang kitab menukilkan, “Azab yang paling berat bagi manusia pada hari kiamat ialah bagi orang yang berilmu (‘alim) tetapi ilmu itu tidak bermanfaat untuknya.” ‘Alim bermakna faham akan sesuatu perkara walaupun dalam satu masalah. Orang yang tahu tetapi tidak beramal adalah orang yang rugi. Di hari akhirat dia akan menyesal kerana tidak beramal dengan ilmu yang diketahuinya.


“Jika kita yang tarafnya sebagai orang awam, tidaklah kita diharap bersolat sekian banyak solat malam. Tetapi memadailah ditunaikan sekadar yang termampu oleh kita. Solat dalam keheningan malam, ketika orang lain enak diulit mimpi akan menjadi cahaya di alam barzakh. Kalau larat dua, tunaikanlah dua rakaat. Jika mampu empat, buat empat. Tidak ada jumlah spesifik yang ditetapkan.” Kata ustaz.

--------------


Ringkasan Kuliah Maghrib, 11 Januari 2011, Ust. Nor Hafizi. Kitab Ayyuha al-Walad, karangan Imam al-Ghazali. Masjid al-Hidayah, Sentul.

2 ulasan:

Afida Anuar berkata...

Terima kasih atas peringatan Naim.. InsyaAllah...moga istiqamah nak buat solat waktu dinihari ni.. paling kurang pun buat 2 rakaat...paling tak boleh sangat pun, buat sebelum solat subuh..

Naim berkata...

cikgu Fida, ya. Sama-sama.