10 Jan 2011. Effi, adik saya yang baharu menginjak ke tingkatan satu mendaftar masuk MRSM Gemencheh. Model Imtiyaz di Terengganu mula diserap masuk dalam tiga buah MRSM. Jika tidak silap saya, MRSM yang terlibat ialah Kota Putra, Gemencheh dan Bentong. Mengikut model pembelajaran yang dikenal sebagai Ulul Albab itu, pelajar perlu menghafal 15 Juzuk sebelum melangkah ke Tingkatan Empat. Bermakna setiap tahun, mereka harus ingat lima juzuk.
Effi satu-satunya dari kalangan kami yang akan menerima sistem hafalan yang sistematik dengan kawalan guru agama sebagai pemantau. Kakak atau abangnya tidak bertuah sepertinya. Abang dan kakaknya menghafal dengan inisiatif sendiri. Cuma pesan saya kepada Effi dan orang-orang yang seumpamanya, menghafal al-Quran itu perlu dengan niat yang betul. Bukan disebabkan syarat dalam sistem akademik. Kita sudah lihat sekian banyak contoh mahasiswa dalam bidang agama. Mereka menghafal semata-mata untuk lulus pengajian. Apabila lulus, maka al-Quran yang dihafal turut ditinggalkan.
Saya sebenarnya nampak kesungguhan Effi menyiapkan diri. Dua minggu sebelum mendaftar, dia sudah mulakan hafalan bermula juzuk pertama. Itupun dia sempat sempurnakan sehingga halaman tiga. Mengahafal perlu disiplin. Disiplin utama ialah pengulangan. Sama sahaja konsepnya dengan perkara lain. Orang tidak akan mahir membuat sesuatu perkara dengan hanya sekali cuba. Ulangan umpama mengasah memori, sehingga akhirnya menjadi tajam dan kejap dalam hati. Kemudian, hati itu sendiri perlu dijaga akan tidak diselaput hitam dosa. Mengulang adalah tali kekang kerana diumpamakan hafalan yang tidak dijaga seperti melepaskan unta liar.
Semoga Allah memberi kekuatan kepada Effi, insya-Allah.
2 ulasan:
Alhamdulillah... bertuah punyai adik seperti Effi. Semoga Allah permudahkan segala urusan dia, semoga Allah beri kekuatan kepada dia untuk menghafal, dan semoga Allah bagi dia rahmat dan kasih sayang dalam kehidupan..
Cikgu Fida (bakal guru); terima kasih atas doa itu. Amin.
Catat Ulasan