Isnin, Januari 10, 2011

Mutiara ilmu 09 Jan 2011

1. Perbezaan antara abid dengan faqih.


Satu situasi dinyatakan oleh ustaz, “Seorang makmum masbuq masuk ketika Imam sujud. Secara teori, jika makmum itu tidak mendapat rakaat sekali pun dia terus sujud.”
Senario di atas dirinci bagi menunjukkan perbezaan seorang makmum yang abid tetapi tidak faqih (makmum I) berbanding dengan makmum yang faqih (makmum II).

Makmum I – Dia akan menunggu bangun untuk rakaat berikutnya. Pada pendapatnya tidak memadai dia sujud kerana tidak mendapat rakaat.

Makmum II – Dia akan terus takbiratul ihram dan sujud. Hal ini kerana dia mengetahui kaedah sebenar mengikut sunnah nabi. Terdapat satu hadis yang menyebut apabila seorang makmum masuk solat, hendaklah dia melakukan apa yang dilakukan oleh imam. Dia tahu bahawa dia akan mendapat ganjaran kerana mengikut imam seperti yang dinyatakan dalam hadis.


2. Sejarah bacaan ketika iktidal.


Seterusnya diceritakan bahawa pada awal-awal dahulu, apabila mahu berpindah dari satu rukun ke rukun yang lain, nabi membaca takbir intiqalat (Allahu Akbar) – termasuklah ketika iktidal. Suatu malam nabi mengajar para sahabat yang berbunyi, “Bukan dari kalangan kami mereka yang tidak mengasihi orang tua dan kanak-kanak.” Pada Subuh berikutnya, Abu Bakr as-Shidiq bertemu seorang tua dalam perjalanan ke masjid. Orang tua berjalan dalam kepikunan sehingga Abu Bakr menuntunnya. Sampai sahaja di masjid, Abu Bakr menjemput lelaki tua itu masuk. Orang tua itu menjawab, “Aku tidak boleh masuk kerana aku Yahudi.” Apabila masuk nabi sudah rukuk. Abu Bakr Ash-Shidiq sempat rukuk bersama nabi dan mengucapkan syukur. Ucapan syukur dijawab oleh Allah. Melalui Jibrail, diperintahkan nabi mengucapkan Sami’allahu li man hamidah (Allah telah mendengar orang memuji-NYA). Kita pula menyusul seruan Allah itu dengan Rabbanaa Laka al-hamdu (Tuhan kami, bagimu segala pujian). Dalam mazhab Hanbali, ditambah ‘wa’ menjadi Rabbanaa wa laka al-hamdu.


3. Fokus tempat sujud.


Untuk menambah khusyuk dalam solat, hendaklah ditetapkan pandangan mata pada tempat sujud. Melihat di tempat sujud lebih afdhal sekali pun bersolat di Ka’abah. Sekiranya tempat sujud terdapat suatu yang boleh menganggu khusyuk seperti corak sajadah atau karpet, maka diharuskan seseorang menutup matanya. Hukum asal menutup mata adalah makruh.


4. Buku berkaitan solat.




Ada sebuah buku mengenai solat yang baik untuk dibaca. Buku ini dijual kepada saya oleh Ustaz. Abd. Azizi Arof. Buku ini telah dicetak sebanyak 18 000 naskhah. Mengandungi Kata Pengantar daripada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Prof. Dr.Haron Din al-Hafiz, Dr. Abdul Aziz Hanafi dan Dr. Luqman Hj. Abdullah (Pengetua Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas). Buku ini berjudul AMALAN SUNNAH SELEPAS SOLAT DAN KELEBIHANNYA, tulisan Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman Al-Hafiz dan Ust. Mohd Rifqi Myddin. Buku ini dijual pada harga RM35.00. Sebarang pertanyaan tentang buku ini boleh diajukan kepada pihak penerbit Maahad Tahfiz Darul Quran wal Qiraat – 09-790 6651/019-939 4185 atau emel maahadtahfizdarulquran@yahoo.com. Keistimewaan buku ini tentunya dari segi olahan iaitu sandaran kepada kajian terperinci berdasarkan hadis dan pendapat ulama muktabar.


5. Komentar isu semasa


Dewasa ini kita dihidangkan dengan cerita-cerita khurafat. Pelbagai cerita hantu disogokkan sehingga anak-anak menjadi takut dan percaya hantu itu wujud dan boleh memudharatkan. Dalam suatu hadis dinyatakan “Tiada kesialan akibat gagak mati (‘Iyarah) dan tiada kesialan disebabkan hal selain itu [seperti mangkuk/gelas pecah, haiwan yang melintas jalan seperti biawak/ular/babi] (‘Iyadhah) dan tidak juga mayat menjadi hantu (hammah)…” Bagaimana unsur khurafat ini dipopularkan melalui drama atau filem? Tidakkah mereka rasa bersalah? Jelas sekali perkara ini amat bahaya kepada sistem nilai dan kepercayaan orang Melayu – Islam. Cerita-cerita seperti ini tidak wajar ditonton oleh kita kerana jauh menyimpang dari hakikat sebenar. Melihatnya seolah-olah mengikitraf khurafat yang dilakukan oleh mereka.

---------#-----------



Ringkasan Kuliah Maghrib Ust. Abd. Aziz Arof, Masjid al-Hidayah, Sentul. 09-01-2011.

Tiada ulasan: