Jumaat, Januari 21, 2011

Dapatan Wacana Industri Lakon

Sutradara Erma Fatima tidak dapat hadir. Khabarnya dikejarkan ke hospital kerana keracunan makanan. Dua panelis lagi hadir. Dr. Muhaimin Sulam memenangi Tempat Pertama Skrip Drama TV IKIM 2006 yang berjudul Menanti Perang Berakhir. Wang kemenangan RM20000 diguna untuk membiayai perjalanan beliau ke UK sebagai melengkapkan pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD). Seorang kolumnis Harakah dan aktivis PAS. Ustaz Jazlan Othman seorang pensyarah yang juga Ketua Ulama Muda UMNO (ILMU). Di samping itu saudara Jef Hazimin Jaafar turut serta dan diberi ruang menyuarakan pandangan golongan yang terlibat secara langsung dalam bidang seni lakon.

Ustaz Jazlan memulakan perbincangan dengan menyatakan perkara-perkara yang dilarang dalam lakonan iaitu:
• Melakonkan watak nabi atau sahabat baginda yang soleh.
• Melakonkan watak syaitan
• Melakonkan ibadah-ibadah khusus
• Melakonkan binatang
• Berlakon sebagai jantina yang berlawanan iaitu lelaki berlakon sebagai perempuan, begitu juga sebaliknya.


Dalam industri perfileman, dengan 99 buah pawagam seluruh negara kira-kira RM6.0 bilion volum pasarannya pada tahun 2010. Kutipan filem sepanjang tahun lalu RM460.6 juta. Daripada jumlah itu, filem tempatan hanya 32 buah dengan kutipan kasar RM64.16 juta. Selebihnya filem yang diimport.
Mengikut Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) filem ditafsirkan sebagai keseluruhan atau apa-apa bahagian:
(i) sesuatu filem sinematografi; dan
(ii) sesuatu pita video, disket, cakera laser, cakera padat, cakera keras dan rekod lain; yang asal atau pendua bagi suatu urutan imej gambar tampak, yang merupakan suatu rekod yang dapat digunakan sebagai suatu cara untuk menunjukkan urutan itu sebagai suatu gambar bergerak, sama ada atau tidak diiringi dengan bunyi.


Jika dikaji Garis Panduan Penafisan filem, sebenarnya belakangan ini banyak perkara yang digariskan tidak dipatuhi. Tiada penguatkuasaan seperti yang digariskan. Di mana silapnya?


Saya petik beberapa panduan yang dilarang, antaranya
(vii) filem khayalan yang mengandungi unsur seks dan keganasan yang keterlaluan.
(viii) filem bertema hantu yang terlampau menyeramkan, yang melakukan keganasan terhadap manusia dan alam.
(ix) pemujaan kuasa hantu sebagai melebihi kuasa Tuhan.
(x) memperlekeh dan mempersenda gaya hidup orang kurang upaya, atau golongan kurang bernasib baik atau golongan terpinggir;
(xi) dialog, adegan atau babak perbuatan keji, tingkah laku biadab, perbuatan tercela dan perlakuan kurang sopan digambarkan sebagai satu amalan biasa atau bahan ketawa;
(xii) bahasa kesat, lucah, bahasa bercampur aduk (rojak), ungkapan bernada kebencian atau ejaan yang tidak sempurna seperti bahasa SMS;
Sumber

Kembali kepada perbincangan forum, apabila ditanya apakah ada usaha dibuat sebagai garis panduan kepada pengarah filem, krew dan artis supaya mengikut aliran agama (shariah compliance) dalam sesebuah filem? ILMU setakat ini tidak mempunyai garis panduan seperti itu. Dari segi pengarahan, tidak ramai pengarah drama tivi atau filem yang betul-betul mematuhi syariah. Di Malaysia, Zabidi Mohamad dan Abu Hassan Morad adalah antara individu yang mempunyai disiplin kerja mengikut amalan Islam. Hanya akhir-akhir ini muncul beberapa nama baharu yang mula berjinak-jinak ke arah itu.

Timbul juga dilema daripada keadaan ini. Kadang-kadang penulis skrip sudah menyediakan bahan yang baik, malangnya rosak apabila ditangani pengarah filem yang tidak memahami atau tidak berminat dengan karya Islam. Masalah yang berlaku di Malaysia menurut Dr. Muhaimin Sulam ialah filem diguna sebagai bahan propaganda. (Ini saya tambah: Mengapa dilakonkan watak-watak agamawan itu mesti begitu begini seolah-olah mahu memperlihatkan satu golongan itu tidak betul pegangan Islamnya, jumud atau ekstrem? Dan ini tentulah menjadi persepsi umum yang salah terhadap sesuatu pihak. Hal ini disebabkan pengaruh politik yang menjadi agenda dalam sesebuah drama atau filem.)

1 ulasan:

Hunny berkata...

Salam singgah,

Malaysia masih ketandusan filem dan drama yang bermutu.Saya suka kalau kita dapat ketengahkan drama seperti Nur Kasih.