Isnin, Januari 24, 2011

Sistem peringatan

Sistem peringatan. Sistem yang dibuat membolehkan kita diingatkan beberapa perkara. Paling dekat dengan kita ialah jam loceng. Sebelum menggunakan telefon bimbit, kita menggunakan jam loceng. Setiap pagi, tidur akan dikejutkan deringan loceng. Hanya ketika terlalu letih sahaja kita tidak sedar tangan kita ringan mematikan deringan itu. Orang Melayu tradisional yang tidak pernah menggunakan jam loceng biasanya dikejutkan kokokan ayam. Maha Suci Allah, DIA mengilhamkan kepada makhluk ini untuk berzikir. Kokokan ayam menandakan ada malaikat dan biasanya berlaku ketika hampir Subuh. Maka orang Melayu tradisional memanfaatkan kesempatan ini untuk bangun setiap malam. Bagi mereka yang tidak menggunakan mana-mana kaedah di atas, mereka biasanya mengamalkan bacaan ayat 110 surah al-Kahfi. Apabila sampai kepada frasa ‘fal ya’mal ‘amalan sholihaa..’ mereka berhenti sejenak dan menanam niat untuk bangun pada sekian-sekian jam. Setelah berniat, mereka menghabiskan ayat tersebut.

Apabila saya dikenakan dua saman ekor tahun lepas, baharulah saya sedar kadang-kadang kita tetap mahu melanggar peringatan. Sikap gelojoh akhirnya merugikan diri. Dalam banyak hal kita sedar di bahu jalan ada tanda jalan 80 km/j atau 110 km/j atau Awas! Kurangkan kelajuan. Tetapi kita tetap melangkau batasan tersebut. Samalah seperti cerita kanak-kanak yang kita pernah baca. Seekor monyet apabila melihat lada, ia sangat teruja. Meski diingatkan lada itu pedas, monyet tidak mempedulikannya. Akhirnya monyet tahu makna nasihat yang diberi kepadanya. Kasihan. Tentu sahaja saya terkejut melihat dua saman sekali gus. RM600.00. Maka saya mula berfikir alangkah baik kalau saya mendapat peringatan lebih awal (yang sudah terlewat) sekurang-kurangnya ketika saya mula-mula dikenakan saman ekor. Datang dua saman ekor serentak memanglah memeritkan. Jika notis saman ekor yang pertama datang dahulu, saya fikir (dalam keadaan saya) tidak mungkin saman kali kedua dikenakan. Kita akan beringat seperti mana budaya orang-orang Arab; tidakkan jatuh ke lubang ular yang sama dua kali.

Oleh sebab pengurusan berkaitan kerajaan kurang cekap di samping keupayaan penyampaian khidmat yang terbatas, sebahagian perkhidmatan diserah kepada pihak swasta. Semua pihak maklum hal ini menerusi Dasar Penswastaan. Hari ini Myeg diberi peluang menguruskan sebahagian kaunter agensi kerajaan. Kalau tidak silap saya, ada 12 kaunter. Salah satunya saman polis. Saya mendaftar sebagai pengguna di laman web Myeg (www.myeg.com.my) bagi memudahkan saya menyemak status saman secara berkala. Saya menguruskan pembaharuan cukai kenderaan melalui Myeg dan siap dalam masa dua hari. Semua bayaran dibuat secara online. Dan hari ini status saman akan dimaklum secara automatik secara percuma melalui emel. Tetapi jika anda lebih kaya, bolehlah memilih opsyen SMS.

Sistem peringatan yang dibangunkan oleh manusia kadang-kadang tidak tepat. Buktinya sistem amaran awal puting beliung di AS, dalam kes Katrina. Kegagalan sistem disebabkan kelajuan angin melebihi meter angin yang dipasang sehingga digelar sebagai aftermath hurricane. Ribut ini melanda AS pada 2005 melibatkan kerugian USD81 bilion. Kelajuannya 280 km per jam. Angin bermula di Bahamas, Utara Florida dan berakhir di Utara Amerika dalam masa sembilan hari bermula 23 ogos sehingga 31 Ogos 2005. Bencana ini meragut 1836 nyawa.

2 ulasan:

Afida Anuar berkata...

Kadang-kadang dah kena saman berkali-kali pun, nak pandu laju gak lagi. Yer dop naim? saya mcm tu la.Cuma alhamdulillah, polis tak buat speed trap. Kalau buat, mahu berbelas-belas saman dah rasanya..

Kalau peringatan manusia ni, kita buat tak endah, tak mengapa lagi rasanya..setakat kena saman..bayar.., tapi kalau peringatan dari Allah kita pun nak buat tak endah..alamat tunggulah balanya nanti.

WaAllahualam

Naim berkata...

Afida, benar.