Ahad, Februari 20, 2011

Momentum kebangkitan

Saya pernah mendaftar syarikat sendiri bertaraf enterprise ketika mula-mula tamat belajar. Saya usahakan jualan buku. Menjual bahan bercetak seperti buku memang perit. Dan terakhir saya membuka gerai jualan dalam Pesta Buku Terengganu pada Jan 2007. Saya ingat lagi ketika itu mantan PM ke Hulu Terengganu melancarkan Zon Industri Akuakultur (ZIA). Apa khabar ZIA? Bagi pembaca setia blog Tulisan Siber, mungkin anda pernah lihat foto saya berlatar papan tanda projek ZIA di Sungai Chamar. Saya masih ingat, saya dengan senang hati dapat ke Kuala Terengganu kerana tidak akan ada yang syak saya berkenderaan dari Hulu Terengganu. Kenapa? Sebab jalan raya ketika itu bersih. Tiada 'tar' terlebih di sepanjang jalan. Itulah bagusnya kalau pemimpin besar turun padang.

Oleh sebab saya tidak mempunyai ilmu yang baik dalam perniagaan, diringkaskan cerita saya terpaksa lupakannya. Terpaksa akur dengan kehendak bapa. Ibu bapa mana yang mahu lihat anaknya susah? Saya pun memohon kerja seperti graduan-graduan lain. Mula-mula dapat Guru Sandaran Tak Terlatih (GSTT). Bulan pertama gaji lumayan kerana dihantar ke sekolah menengah. Bulan kedua gaji jadi kecil semula kerana dihantar ke sekolah rendah. Ayah merungut dan bertanya, "Sampai bila hendak jadi begini? (Gaji tidak tentu)" Saya cari kerja lain, dan letak jawatan sebagai GSTT. Ditawarkan pula kerja sebagai Pengurus Pengeluaran di sebuah kilang produk kesihatan. Tapi saya amat malu untuk menyebut nama produk kilang tersebut. Memang langsung tidak sesuai dengan jiwa saya. Sehingga kadang-kadang telinga saya merah mendengar komen kawan-kawan ayah saya. Insiden ini berlaku ketika saya menyertai gotong-royong membersih kawasan kubur di kampung kami. Saya dapat bertahan di kilang tersebut selama enam bulan. Kerja kadang terpaksa membuat shift. Pernah saya diarah menguruskan logistik dan terpaksa menunggang motosikal ke rumah pada jam 2.00 pagi. Memang menakutkan terutama apabila melalui kawasan hutan dan gelap-gelita.

Setelah saya berhenti, saya menjadi penganggur terhormat selama dua bulan. Kemudian saya mendapat peluang untuk duduk di syarikat saya bekerja sekarang. Sebuah kota metropolitan. Saya setkan dalam diri suatu hari saya mahu pulang bekerja di Terengganu semula. Tambahan pula isteri saya bekerja di Terengganu. Memang mencabar pasangan berkahwin tinggal berjauhan. Lebih mencabar lagi tatkala isteri mengandung zuriat kami yang pertama. Saya kadang-kadang menangis dan merintih sendiri. Betapa tidak efisyen saya sebagai suami dalam keadaan begini. Syukurlah isteri saya sentiasa faham. Dan setiap kali dia menceritakan letih, sakit peningnya menanggung amanat rezeki kami, setiap kali itulah saya meniupkan kata-kata perangsang kepada beliau. Begitu juga sebaliknya. Jika saya mengatakan saya letih bekerja, dia pun memberi dorongan kepada saya untuk terus gigih berusaha.

Hari ini saya sedang berusaha mengubah kehidupan. Secara jujur saya nyatakan bahawa saya memang miskin di bandar raya serba moden ini. Memang tidak cukup bebas kewangan saya. Sebab itu saya hanya mampu pulang sekali sebulan. Saya belajar dari kegagalan lalu. Kegagalan adalah pengalaman dan guru terbaik. Gagal sekali tidak bererti saya gagal selama-lamanya. Saya bersyukur kepada DIA kerana memberi saya kesempatan untuk menjadi kreatif. Terima kasih juga saya ucapkan kepada penerbit novel sulung saya. Bayaran royalti enam bulan pertama sudah saya terima. ALhamdulillah. 1087 buah dijual jika saya merujuk angka yang dibayar. Tidak lain tidak bukan DIA-lah yang menggerakkan hati-hati kalian untuk membantu saya yang dhaif ini. Tanpa penerbit buku, tanpa pembaca, tanpa dorongan ibu ayah, adik-beradik dan isteri; mana mungkin saya dapat mengecap nikmat ini.


Saya sentiasa optimis dengan kata-kata ini, "Tiada manusia dilahirkan sebagai orang yang tewas. Lawan tetap lawan!" Doakan saya moga dapat bangkit semula dan melupakan luka dahulu. Mungkin ada di antara pembaca blog ini doanya maqbul kerana maqamnya tinggi di sisi-NYA.

3 ulasan:

Afida Anuar berkata...

Allahuakbar....Naim, tahniah kerana bakal menjadi bapa!! moga anak yang keluar kelak bakal menjadi anak yang soleh/solehah..

awal-awal habis belajar dulu, saya pun bekerja merata2 jugak. Jadi cikgu sementara..kerja di kedai sepupu saya... sehinggalah rezeki Allah saya kecap di bumi Cyberjaya ni. Saya percaya, setiap yang Allah rencanakan untuk kita, adalah yang terbaik utk kita. Semuanya berhikmah, semuanya baik...

Tanpa Nama berkata...

Naimisa,
Ini sudah bagus. Teruskan tapi menulis bukan jaminan hanya untuk tambahan.
Semangat yang kental itulah yang baik.

Untuk permulaan, biarlah orang kata apapun, terus saja. Sangat beruntung kalau orang kritik.
Salam
Azizi Hj Abdullah

Naim berkata...

Hj. Azizi (Tukya); dorongan itu saya kejap dalam minda. Insya-Allah saya terus berusaha.

Afida, terima kasih.