Disunatkan memberi salam secara berturutan. Bagi makmum disunatkan memberi salam setelah imam selesai memberi salam yang kedua. Hal ini lebih afdhal bagi makmum.
Bagi imam, disunatkan menghadap rusuk kanan (bahu kanan) ke arah makmum dan bahu kiri ke arah kiblat ketika membaca wirid Allahumma Anta al-Salam.[1] Tidak digalakkan imam menghadap makmum secara berdepan. Amalan ini bersandar kepada hadis yang bermaksud, "Sesungguhnya kami apabila solat di belakang Rasulullah, kami suka mengambil tempat sebelah kanannya. Apabila selesai solat baginda akan berpaling dengan menghadap mukanya ke arah kami(yang berada di sebelah kanan)...." (Riwayat Imam Muslim dari al-Barra' radhiallahu'anhu.)[2]
Ketika berwirid, menurut pendapat Isnawi (seorang ulama fiqh) adalah memadai (harus) seseorang mengetahui maksudnya. Tidak seperti bacaan al-Quran yang bersifat ta’abbudi, ayat yang dibaca sama ada faham sebahagian atau langsung tidak memahaminya tetap mendapat ganjaran 10 pahala bagi setiap huruf.
Apabila berdoa, disunatkan mengangkat tangan dengan hujung jari tangan separas bahu. Bagi doa-doa yang lebih mustahak seperti hajat besar disunatkan mengangkat tangan lebih tinggi. Doa dimulakan dengan memuji Allah dan selawat kepada Nabi S.A.W dan diakhiri dengan selawat dan puji-pujian kepada Allah.
----------
Nota kuliah maghrib, 13 Feb 2011, Ust. Abd. Aziz Arof, Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.
[1]Fathu al-Muin, muka surat 101.
[2]Amalan Sunnah Selepas Solat dan Kelebihannya, muka surat 29.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan