Selasa, Februari 15, 2011

Sempena Maulid ar-Rasul: Nota 1

Firman Allah,



Maksudnya, “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (al-Juma’ah: 2)

Allah mengutuskan nabi Muhammad dengan untuk umat manusia dengan tujuan berikut:

  1. Membacakan ayat-ayat Allah.
  2. Membersihkan jiwa manusia daripada kesesatan.
  3. Mengajar kandungan al-Kitab (Al-Quran) dan hikmah.

Peringkat pertama pengutusan nabi adalah membetulkan akidah manusia dengan membaca ayat-ayat Allah. Akidah manusia dibetulkan dengan menyatakan hanya DIA (Allah) Tuhan yang layak disembah. 13 tahun Allah menurunkan ayat Makiyyah di Mekah fokus kepada bab akidah. Dalam ayat lain, Allah berfirman yang bermaksud, “Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah) dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka.” (An-Nisaa: 117)

Hari ini kita lihat manusia berpegang pada perkara-perkara lain selain dari Allah. Berideologi selain syariat Allah. Berhukum dengan hukum buatan manusia, berurusan dengan muamalat bukan Islam. Semua ini adalah berhala bentuk baharu. Kalau kita kata “Satu Malaysia Satu Ummah” ini kurang tepat. Kenapa? Mari kita renung ayat ini,

Dalam ayat ini (al-Anbiya: 92) dinyatakan ummah itu dengan makna agama iaitu Islam. Dan penegasan di akhir ayat ini adalah, “...dan Aku (ALLAH) Tuhan kamu, maka sembahlah Aku.” Apakah kita dalam segenap lapangan kehidupan ini menyembah Allah sepenuhnya? Solat, puasa, zakat dan haji kita mengguna pakai hukum Allah. Hendak berkahwin, kita guna cara Islam. Dalam solat kita memakai pakaian menutup aurat, tetapi di luar solat kita buka aurat. Ketika akad nikah di masjid kita bertudung, semasa bersanding di atas pelamin, tudung dibuang. Maka sempurnakah pengabdian (penyembahan) kita kepada Allah? Mana standard kita sebagai orang Islam? Tetapi mereka yang bertindak demikian akan tetap menjawab, “Apa salahnya, Islam juga.”

Baiklah, kita buat analogi begini sebagai mengambarkan piawai. Kalau kita membeli satu produk berjenama Panasonic. Kotaknya tertera jenama Panasonic. Kad jaminan Panasonic. Tiba-tiba apabila kita keluarkan produk, jenama sebenarnya Pensonic. Tidakkah itu tidak piawai? Maka perlulah kita sedar, kalau kita benar-benar menyayangi nabi, ikutlah Islam yang dibawa baginda secara menyeluruh. Usah diambil hanya perkara yang memudahkan hidup kita di dunia demi kepentingan nafsu. Itulah bukti betapa kita mahu kepada Islam secara serius, bukan main-main.

Baru-baru ini kita didedahkan isu Hari Kekasih. Dalam khutbah Jumaat minggu lepas, dinyatakan Majlis Fatwa Kebangsaan menghukumkan Haram menyambut Hari Kekasih. “Tetapi ada pula segolongan yang berkata; Kalau sambut tidak buat dosa, apa salahnya?” Betapa sudah ada pemikiran baru perkara Haram tidak berdosa dan Haram berdosa. Subhanallah. Kalau Haram hukumnya satu, berdosa. Kita perlu sedar Malaysia hari ini sudah ada kira-kira 200 ribu anak tidak sah taraf (anak luar nikah) yang berdaftar. Itu belum dikira kes pengguguran dan buang bayi. Kalau tidak gugur atau dibuang, berapa ramai pula yang tidak didaftarkan?

Kesedaran kita meraikan hari kelahiran nabi bukan setakat berselawat dan berarak. Selepas berarak dan berselawat, kita tidak ikut nabi. Kalau kita lihat kaedah yang ditunjukkan dalam al-Quran ayat 56 al-Ahzab, “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” Pertama Allah dan para malaikat berselawat kepada nabi. Allah membela perjuangan nabi. Malaikat diutuskan dalam Medan Badar dan Uhud. Semua ini sebagai pembelaan Allah dan malaikta-NYA. Konsep selawat itu bukan sekadar mengucapkan selawat, tetapi yang lebih dalam lagi menyambung perjuangan baginda. Mari kita fikirkan, di mana kita?

Hari ini dalam hidup penuh pancaroba, kita sering mengimpikan kehidupan yang baik. Firman Allah yang bermaksud, “Sesiapa yang beramal kebajikan (sholeh) sama ada lelaki mahupun perempuan sedang dia beriman, maka baginya kehidupan yang baik. Dan Kami ganjarkan kebaikan bagi apa yang mereka kerjakan.” Al-Qurtubi dalam Jami’ al-Ahkam mengatakan tanda orang beriman ialah mereka dapat menyegerakan tuntutan syariat. Apabila diseru solat, kita hadir ke tempat solat. Apabila dicegah melakukan kemungkaran, kita meninggalkan kemungkaran itu. Al-Qurtubi juga mengatakan, “Ciri orang beriman ialah mudah menerima petunjuk (taufiq).” Petunjuk datang dalam bentuk nasihat dan peringatan. Kadang-kadang kita ada ego untuk menerima nasihat yang baik. Tatkala ego itu datang, iman kita belum sempurna.

-------------
Nota Kuliah Subuh, Ust. Ismail Abbas, 15 Februari 2011, Masjid al-Hidayah Sentul, KL.

6 ulasan:

Afida Anuar berkata...

Pasai dari kes haram yang tidak berdosa tu la ramai yang kene cekup pada malam Maulidur Rasul akibat perbuatan tidak senonoh antara lelaki dan perempuan.....yang kebanyakannya beragama Islam...

kesian..

Naim berkata...

Fida, mereka keliru kerana tiada penghayatan.

Pustaka NurIman berkata...

moga kita tergolong dlm golongan yg mendpt syafaat Baginda di akhirat kelak...amin

Naim berkata...

Pustaka Nurul Iman, Amin.

Tokanpuakajoran® Cikgu Budr berkata...

salam maulidurrasul

Naim berkata...

Tokan, salam kembali.
Terima kasih. :)