Khamis, Februari 24, 2011

Sunyikah dia dalam penantian?

Sudah dua hari berlalu. Dia dapati masih belum ada tanda-tanda uzur. Inilah kali pertama melanda dirinya sepanjang lima tahun tiga bulan usia perkahwinan. Dia menelefon ibunya, “Emak saya rasa pelik. Tidak senang duduk.”
Ibunya menyelidik, “Kenapa? Sunyi atau demam?”
“Hal orang perempuan saya tidak normal.” Balasnya bersahaja.
“Sudah berapa hari?” suara ibunya seperti orang gembira.
Dia membuat kiraan pantas, “Sepatutnya tiga hari lalu.”


“Pergi farmasi. Hannan cari kit ujian kehamilan. Mudah dan murah,” Cadang ibunya.
Siapa tidak teruja? Seorang wanita yang sekian lama menunggu dan berimaginasi mendapat cucu. Dia pun turut teruja. Memanglah mencabar hidup tanpa anak. Kadang-kadang terbit tekanan perasaan. Kadang-kadang rasa bersalah. Kadang-kadang rasa berputus asa. Kadang-kadang rasa rendah diri. Kadang-kadang malu bersua rakan-rakan jika ditanya, “Anak berapa orang?” Hanya DIA sahaja yang Maha Tahu.


Dia memohon kebenaran Zainal melalui esemes, ‘Abang sayang mohon izin ziarah emak. Hendak bermalam di sana.’ Beberapa saat kemudian dia menerima maklum balas, ‘Baiklah puteri jantung hatiku. Hati-hati memandu. Abang doakan keselamatanmu.’ Dia menyediakan dua pasang baju kurung dan keperluan asas. Lalu dimasukkan ke dalam beg kembara sederhana besar. Dia memanaskan enjin kereta. Sementara menunggu enjin panas dia berjumpa ibu mertuanya. Dia menyampaikan maksudnya, “Bonda, saya mahu berhujung minggu di kampung.” Ibu mertuanya membalas, “Sampaikan salam ingatan bonda pada keluarga.”


“Baiklah.”


Dia menempuh perjalanan singkat. Jarak waktu dengan pemanduan sederhana laju hanya setengah jam. Dia sengaja mengambil susur ke pusat bandar raya Kota Bharu. Dia masuk dari arah Hospital Besar Kota Bharu kemudian membelok ke kanan di persimpangan mahkamah. Laluan utama ke terminal bas memang sentiasa sibuk. Mulanya dia mahu berhenti di tempat letak kereta berhadapan Hotel Ansar, Jalan Dato’ Pati. Tetapi kemudian dia merungut sendiri, “Ah lupa! Jalan ditutup. Kuliah mingguan di Dataran Ilmu.” Dia memilih parkir sebelah perhentian kereta sewa berdekatan Bank Kerjasama Rakyat. Pusat perniagaan dengan mercu tanda Pusat Beli Belah Billion menjadi pilihannya. Jaraknya tidak sampai seratus meter.


Kuliah ilmu sedang berlangsung. Dia sangat cam suara pengkuliah yang disegani, tidak lain tidak bukan Tuan Guru Menteri Besar. Corong mikrofon dipasang di kawasan strategik sehingga jangkauannya dalam radius 500 meter. Setakat berada di Pasar Siti Khadijah atau Hotel Lake View atau tepi Hospital Besar Kota Bharu tidaklah menjadi masalah untuk mengikuti kuliah ilmu. Menapak ke dalam Billion juga tidak menghalang lintas langsung dari Dataran Ilmu. Pengusaha pasar raya tidak membenarkan lagu-lagu dimainkan sepanjang sesi kuliah.


Dia merujuk kiosk. Pada ruang carian, dia menekan F dan semua perniagaan bermula dengan huruf F tertera. “Oh, sudah ada ciri-ciri semantik dalam carian maklumat di sini.” Orang yang berada di sebelahnya menyapanya, “Ya?” Pemuda itu kehairanan. “Err.., tidak. Saya sebenarnya teruja. Saya bercakap sendirian tadi.”


Dia menapak ke premis Farmasi al-Iman. Dia membuat soal selidik ringkas, “Bagaimana kit ini berfungsi?” Ahli farmasi al-Iman menjawab, “Alat ini dilengkapkan pengesan hormon human Chorionic Gonadotropin atau ringkasnya hCG.”


Dia bertanya lagi, “Bagaimana mekanismanya?”
Jurujual farmasi menjawab dengan yakin, “Hormon hCG larut dalam air kencing. Sebab itu pengujiannya memerlukan air kencing.”
“Bagaimana kejituannya?”
“99.99 peratus. Keputusannya tidak sampai lima minit.”


Dia mengikut jurujual ke satu rak, “Ini beberapa jenama kit pengujian kehamilan. Pilihlah berdasar citarasa puan.”
“Baiklah, ambil yang berwarna oren dan biru.” Dia mengeluarkan sekeping not merah.

** **

Dia tiba di rumahnya pada jam 11.00 pagi. Kepulangannya disambut oleh ibu tercinta. Dia segera ke tandas dan mengambil sampel air kencing. Dia membawa sampel air kencing ke biliknya. Tangannya terketar-ketar ketika menitikkan air kencing ke atas sensor penguji. Dia rasa esofagusnya berombak kuat.
Beberapa minit kemudian dia menjerit, “Ya Allah!”


Nota: Ini sebahagian proses rekayasa sekuel RSM. Dalam proses mengeluarkan sebahagian kandungan novel, mungkin akan nampak perkara yang tidak konsisten. Hal ini perkara yang disengajakan. Maklum sahaja zaman ini, orang mudah sahaja menciplak dengan kaedah copy & paste.. Pun begitu, jalan ceritanya masih ada.

Bersambung dalam bab seterusnya iaitu Bab 11


2 ulasan:

Afida Anuar berkata...

ahaa, mmg konpius sedikit..sekejap bab tu, sekejap bab ni. Nampaknya memang kena beli ni;)

Naim berkata...

Fida, teknik menulis seperti ini namanya teknik penulisan tulang ikan. (lupa pula istilah Jepunnya). Saya cedok ilmu ni dalam kursus penulisan PTS.

P/S: Promo; dialu-alukan anda beli nanti.