Rabu, Februari 23, 2011

Hannan bisakah dia menjadi sekuat Maryam

Waktu pejabat hari itu terpaksa disingkatkan. Mujur juga ketua jabatan memberi pelepasan awal yang dimohon. Syukur.


Sampai di rumah, dia melihat kelibat Zainal mengemaskan bagasi. Dia bergegas memasukkan pakaian dan barang lain yang hendak dibawa. “Jam berapa akan bertolak?”


“Sepuluh malam. Boleh tolong hantar abang ke KLIA?” tanya suaminya.
Dia angguk.

“Tapi sebelum itu mesti ke rumah emak dahulu,” balasnya.


“Macamlah rumah emak jauh sangat. Berdehem pun emak dengar.” Zainal cuba berlucu.
Itulah kelebihan mereka. Apabila berlaku hal seperti ini, sekurang-kurangnya dia rasa selamat. Dia tidak terlalu sunyi. Dia mengikut Zainal ke rumah sebelah kanan. Wanita lewat 60-an menyambut mereka dengan penuh kasih sayang. “Emak masakkan makanan kegemaran engkau, Zainal.” Riak wajahnya memancarkan kesungguhan.


Setelah bersalaman dan mengambil tempat di meja makan, dia memerhati menu kegemaran Zainal. Ada patin gulai tempoyak, kerabu mangga, ulam raja dan pisang. “Tenung lama-lama begitu kenyang?” Soal emak mertuanya. Ibu mertuanya menyedok nasi lalu disuakan kepada mereka berdua.


“Tidak. Cuma terfikir hendak tahu rahsia resipi masakan emak. Boleh?” Balasnya.
“Boleh. Nanti ada masa dalam seminggu ini datanglah berguru.”
Zainal hanya senyum. Tetapi senyumnya luar biasa.

“Kenapa senyum begitu?” soalnya.

“Emak memasak dengan hati yang tulus. Apa pun emak masak tetap yang terbaik. Itulah rahsia resipi masakan terunggul.” Zainal memandang ibunya.

Wanita itu sekadar mengangguk. Usai makan, mereka bertiga menaiki kenderaan yang dipandu Pak Semail. Askar pencen itu tinggal sekampung dengan ayah Zainal. Usianya 40-an. Pak Semail pencen awal. Dia sebatang kara. Disebabkan kemahiran Pak Semail ketika berkhidmat dalam tentera tidak laku, sukar baginya mendapat pekerjaan. Walhal dalam perkhidmatan dia bertindak selaku pemandu trak tentera. Ayah Zainal sedar akan hal. Pak Semail menerima tawaran kerja sebagai pemandu. Waktu senggang Pak Semail menghabiskan masa di bengkel ukiran. Dia membuat ukiran seni khat yang ditempah peminat-peminat khat. Itu pun setelah dia mmenerima baik cadangan bapa Zainal. Mulanya dia keberatan. Maklum sahaja memasarkan produk bukan senang. Hasil usaha di samping cerita mulut ayah Zainal dan pelanggan-pelanggan, Pak Semail boleh merasa hasilnya.

“Hari ini tuan haji balik lewat sedikit. Sempatlah saya jemput setelah kita pulang dari KLIA.” Tiba-tiba sahaja Pak Semail memaklumkan.

Zainal yang duduk di sebelah Pak Semail membalas, “Sampaikan salam saya pada ayah dengan lafaz Assalamualaikum.”

“Insya-Allah,” Pak Semail fokus pada pemanduan. Sesekali dia memotong dan kemudian beralih ke lorong kiri. Gaya pemanduan Pak Semail cermat. Cukup berdisiplin. Siapa sangka Pak Semail mempunyai rekod pemanduan bersih. Tidak pernah disaman sepanjang 30 tahun memiliki lesen memandu.

Dia merenung dan membanding dirinya dengan askar pencen di hadapannya. Baharu sahaja mendapat lesen memandu penuh dua tahun lalu, dia sudah disaman. Dua saman ekor. Memang memeritkan. Masakan tidak? Kesalahan memecut dilakukan secara tidak sedar. Selepas enam bulan dia tahu ada kesalahan trafik. Mengapa terlalu lama? Tidakkah lebih elok jika notis saman dikeluar pada hari yang sama? Atau sekurang-kurangnya ada pegawai bertugas yang menyerah sendiri notis. Tidakkah itu lebih baik?

Dia melingas bangunan di kiri kanan. Lampu sudah mula dipasang. Memang indah. Neon berkerlipan dengan aneka warna. Tiada bangunan satu tingkat yang masuk ke retina.

Pak Semail memecah kesunyian mereka berempat, “Kita singgah di masjid dulu.”

Dia melihat jam tangan. Jarum pendek pada nombor lapan. Jarum panjang pada nombor 12. Dia lega. Kitaran alami dirinya tidak hadir detik itu. Setahunya bagi seorang wanita ada waktu dipanggil idrak. Masih terngiang-ngiang di telinga kuliah Ustaz Raihan, “Oleh sebab tertentu seorang wanita tidak dapat menunaikan solat walaupun sudah masuk waktu. Tiba-tiba haid keluar, padahal sebelum itu dia sempat menunaikan solat jika tidak ada hal yang melengahkannya. Maka solat itu perlu diganti semula setelah suci haidnya.” Dia sudah lama tidak berpeluang mengikuti kuliah kitab Bahrul Mazi bersama ustaz. Khabarnya ustaz mengambil cuti sebatikal menyambung pelajaran di Madinah.

Pak Semail menghulur selipar kepada Zainal, “Ini biasa tuan haji lakukan. Kasut ditinggal dalam kereta.”

“Ya. Di mana-mana pun sekarang sudah tidak selamat,” kata Zainal sambil menyambut pemberian Pak Semail.

** **
Pagi Sabtu yang sunyi. Subuhnya tidak ditemani Zainal. Sudah dua hari berlalu. Dia dapati masih belum ada tanda-tanda uzur. Inilah kali pertama melanda dirinya sepanjang lima tahun tiga bulan usia perkahwinan. Dia menelefon ibunya, “Emak saya rasa pelik. Tidak senang duduk.”
Ibunya menyelidik, “Kenapa? Sunyi atau demam?”
“Hal orang perempuan saya tidak normal.” Balasnya bersahaja.

Nota: sebahagian dari kandungan sekuel RSM.

2 ulasan:

Afida Anuar berkata...

RSM?

eh yang Qayyum, Arwah Munir tu yang lain kan?

ni yang lain pula?

Naim berkata...

Fida, sama;