Khamis, Mac 02, 2006

Saya hormat guru

Mengajar mesti kreatif. Itulah kata kaunselor kepada mana-mana pendidik. Dunia pendidikan melibatkan guru-guru, sifu, tuan guru, ustaz, ustazah dan panggilan-panggilan lain sebenarnya merujuk kepada muaddib. Mendidik tidak sama dengan mengajar. Mendidik jauh lebih halus seninya berbanding mengajar. Maka implikasi perkataan pendidikan berbanding pelajaran juga sangat berbeza sehingga ditukar beberapa kali untuk sebuah kementerian di negara kita. Kita mungkin biasa mendengar muaddib yang murabbi. Bagaimana acuan pendidikan itu digambarkan sebagai tugas mulia bagi membentuk sikap dan akhlak seorang pelajar. Pendidik bukan sekadar mengajar, malah membentuk minda dan sikap pelajar. Justeru jika hanya menjadi pengajar, ia setakat menyampaikan maklumat yang perlu difahami oleh pelajar. Sebaliknya mendidik melibatkan proses membina acuan dalam kerangka untuk menghasilkan seorang pelajar yang mantap dari segi akademik dan sahsiah. Maka pendidik mempunyai tanggungjawab memberi contoh yang baik kepada pelajar untuk diteladani.

Peredaran zaman merubah wajah dan dunia pendidik. Jika dahulu, pelajar-pelajar amat menghormati seorang guru. Jika dahulu seorang guru sangat bersungguh-sungguh mendidik anak bangsa. Zaman moden barangkali telah merobah arus pendidikan dengan gelombang kebobrokan. Banyak sekali insiden-insiden yang tidak diingini berlaku dalam dunia pendidikan. Dunia pendidikan lewat abad kedua puluh satu dicemari dengan pelbagai anasir yang menggugat kemurnian dan keharmoniannya. Lihat sahaja kes-kes yang melibatkan pelajar dan guru-guru, ponteng kelas, ugut guru, mencederakan guru atau pelajar, gunting tudung, rotan, kelas tuisyen dan jenayah seksual di antara guru dan pelajar. Perkara-perkara yang disebutkan terjadi apabila mereka yang terlibat tidak menghayati konsep pendidikan sehingga membelakangkan nilai yang baik. Guru dengan kerenah sebagai guru, manakala pelajar dengan karenah pelajar. Persoalannya apakah guru sudah berubah mindanya kerana ruang pekerjaan itu dikatakan sebagai pilihan terakhir setelah tidak berjaya mendapat pekerjaan lain? Atau apakah guru mengajar kerana mengejar keuntungan untuk menambah wang saku? Apakah juga pendidik hanya memikirkan sudah cukup memberi maklumat yang digariskan dalam buku teks? Tidak adil pula jika persoalan-persoalan hanya diajukan kepada pendidik.

Sebagai pelajar pula, apakah sikap yang seharusnya ada bagi setiap pelajar? Apakah persepsi pelajar terhadap seorang guru? Jika pelajar melakukan kebiadaban terhadap guru, siapakah yang harus dipersalahkan? Pelajar, guru atau ibu bapa? Apabila guru menghadapi tekanan kerja, mereka kadang-kadang melepaskan kemarahan kepada pelajar. Maka wujudlah p[enderaan mental dan emosi yang melibatkan pelajar. Bagi saya, kes rotan di sekolah amatlah kecil. Rotan menjadi isu apabila anak-anak terlalu dimanjkan oleh ibu bapa. Dirotan sedikit cuma, dibesar-besarkan pula oleh pelajar seolah-olah guru mendera mereka. Akhirnya rotan digantung dan kuasa merotan dikhaskan kepada guru disiplin sahaja. Apabila tidak dapat merotan, ada juga guru yang serabut melihat pelajar-pelajar memakai tudung yang lebih labuh daripadanya. Lalu dipotong tudung supaya sama seperti tudung singkat yang dipakai oleh mereka. Kononnya itulah cara pemakaian tudung yang baik dan digariskan kepada sekolah-sekolah. Harapnya mereka yang memotong tudung bukanlah disebabkan perasaan benci atau trauma atau fobia terhadap mana-mana golongan yang dikatakan ekstremis agama. Harapnya mereka tidak mengatakan bahawa memakai tudung labuh bukan pengamal agama Islam yang ekstrem seperti pemikiran manusia ortodoks!

Mendidik memerlukan kesabaran yang tinggi. Satu hari saya ingin mengajar seorang pelajar. Amat sukar untuk membolehkannya faham konsep matematik. Tambahan lagi akhir-akhir ini kita terpaksa mengguna 'gelombang bunyi' yang asing. Tutur bicara dalam pengajaran bukan lagi bahasa ibunda, malah dipinjam dari bangsa yang diagung-agungkan. Inilah bahananya. Semakin sukar dan mencabar pula tugas mengajar. Semakin sukar pula memastikan pelajar faham, pertama faham konsep dan kedua faham bahasa. Seorang pelajar masih bertukar bagaimana mahu membezakan apakah jawapannya jika - A + B dengan - A - B. Mengapa jawapannya menjadi positif atau sebaliknya? Ya! Siapa boleh terangkan secara konsepsual dan teknikal ke atas soalan yang mencabar minda pelajar ini? Setiap kali dia menjawab sebelum memahaminya, jawapannya sentiasa salah walaupun untuk soalan -3 + 5! Saya katakan begini:

Jika - A + B
(1) Jika A > B, tolakkan A kepada B iaitu A - B, jawapan mesti bertanda NEGATIF.
(2) Jika A < B, tolakkan B kepada A iaitu B - A, jawapan mesti POSITIF.

Jika - A - B
(1) Tambahkan A dan B iaitu A + B, jawapannya bertanda NEGATIF.

Inilah rumusan konsepsual dan teknikal yang saya henyakkan kepada minda pelajar saya untuk memecah kebuntuannya. Maka selepas daripada itu saya mendapati dia dapat belajar matematik dengan keadaan yang menyeronokkan. Ya! Saya sangat menghormati tugas seorang guru kerana mendidik itu mulia. Pendidik harus mempunyai sifat murabbi yang bukan hanya memberi maklumat di dalam buku teks malah menjadi contoh yang baik untuk ditiru oleh pelajar-pelajar. Saya hormat guru.

Catatan Subuh 2 Mac 2006. Jam 0530.

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya pula mengajar begini;

apabila kedua-dua nombor mempunyai tanda yg SAMA [+ve atau -ve], TAMBAHKAN saja. nilai pd jwpn bergantung pd tanda yg terdapat pd soalan.

apabila tanda pada kedua-dua nombor itu BERBEZA, maka TOLAKKAN nilai yg besar kepada yg kecil. jika nombor yg besar ialah -ve, maka letakkan tanda -ve pd jawapan. begitu juga sebaliknya..

:: diaplikasikan kpd adik-adik tingkatan dua.

Naim berkata...

dua kali lima, lima kali dua sahaja tu hani.....tapi pasal penerangan mcm tu dia tak faham2 juga, saya terangkan menggunakan simbol tu........

cenderawasih berkata...

nak salahkan pendidik? atau nak salahkan pelajar? atau salah ibubapa?pada saya semua salah.

bermula dari rumah. terlalu dimanjakan.

di sekolah pula guru2 tidak tunjuk contoh. sekadar mengajar, tidak mahu mendidik.

pelajar2 pula tidak mahu sedar sendiri. masing2 menunggu2 disuap segala macam ilmu. sudahlah begitu, dapat ilmu, tiada amalan.

Unknown berkata...

Dulu-dulu, warga pendidik sangat dihormati. Dimuliakan dalm masyarakat. Apa yang dikata diterima dan dipegang semua.

Kini statusnya sudah sama kalau tidak lebih rendah dari profession lain.

Kini, orang bisnes lebih ramai dapat pingat dari warga pendidik..

AbGJaS berkata...

Salam perkenalan.
Saya rasa konsep blog kita agak setara, justeru diharap kita boleh bertukar2 fikiran.

Matematik juga mengenai logik. Aplikasikan kisah hutang - bayar hutang juga boleh membantu dlm memahamkan pelajar mengenai no.negatif. Namun perlu diingat, tiada satu cara tunggal yg berkesan utk semua pelajar.

Tanpa Nama berkata...

betul tu...tidak semua orang akan faham dgn satu konsep sahaja. Sepuluh orang akan mempunyai kefahaman berbeza walaupun kelihatan agak sama.

-N-