Rabu, April 21, 2010

Padang tidak rata.

Sekarang kita sibuk dengan beberapa isu kepimpinan. Mereka saling menyerang peribadi pihak yang bertentangan. Seorang tidak bertindak defensif malah bergerak dengan membicarakan agenda yang mahu dilakukan. Manakala sebelah pihak lagi menyerang sambil juga menaburkan janji-janji manis. Hakikatnya sistem yang sepatutnya sudah dilanggar. Bagaimana sebuah pilihan raya kecil boleh menjadi lebih hebat bajetnya berbanding sebuah pilihan raya umum? Apakah ia sekadar gimik untuk memancing undi? Perkara seperti ini tidak wajar berlaku. Setiap pihak yang bertanding perlu mengishtihar bajet mereka dan tidak melepasi had-had tertentu.

Lihat sahaja beberapa orang yang awalnya mencalonkan diri, kemudian menarik diri pula. Lihat pula sesetengah pemimpin yang keluar parti dan mendakwa ramai pengikut-pengikut melakukan hal yang sama. Ada yang keluar kerana tidak mendapat perkara yang dihajatkan. Jawatan yang terpaksa dilupakan menjadikannya goyah dengan perjuangan. Sesetengah pula mengada-ngada keluar kerana mahukan publisiti murahan. Tidakkah ini suatu yang aneh? Tidakkah mustahil tiada ganjaran di sebalik semua itu? Cuma tidaklah dapat dibuktikan dengan kukuh bahawa ada permainan wang di sebaliknya. Kempen pilihan raya kali ini lebih malah melampau had yang sepatutnya. Wajarkah kerana berbeda pendapat, sekeping gambar yang asalnya baik diolah (superimposed) sehingga kelihatan mengaibkan? Sudah banyak gambar superimposed ini dibuktikan autanya.

Baik di pihak kerajaan negeri (Pakatan Rakyat) mahupun pembangkang (BN), kedua-dua pihak harus berkempen di atas padang yang rata. Tiada serangan peribadi. Tiada provokasi samseng jalanan. Tiada penggunaan stesen TV melainkan kedua-dua pihak diberi hak berada di dalamnya secara langsung. Ada kata-kata pujangga yang baik untuk dihayati, “Bila menuding kepada orang, ingatlah empat jari lagi menuju ke arah kita.” Bermakna, tidak boleh tidak suatu hal yang mengaibkan dengan sendirinya akan membawa kepada aib sendiri dibongkar. Tetapi masalah sekarang kata saya, “Padang tidak rata.”


Selamat mengundi dan membuat pilihan yang betul diucapkan kepada semua pengundi Hulu Selangor.

Tiada ulasan: